Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 May, 2011

Rakyat celik IT tolong bantu JKKK guna komputer riba 1Malaysia - Masir



Caption : 1MALAYSIA... Masir (belakang tiga kiri) bersama (dari kiri sekali) Sarani, Joseph, Zaidi dan Kanang ketika bersama bergambar kenangan bersama penerima komputer riba 1Malaysia di sini hari ini.


SRI AMAN, Sabtu (21 Mei) – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kawasan Parlimen Sri Aman dinasihat agar memanfaatkan sepenuhnya Komputer Riba 1 Malaysia yang disumbangkan oleh kerajaan kepada mereka selepas ini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Komputer Riba 1Malaysia bertempat di Dewan Hollis Tini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman hari ini.

Sumbangan komputer riba itu katanya adalah merupakan salah usaha kerajaan untuk mewujudkan golongan penduduk celik IT di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara (National Broadband Initiative atau NBI).

“JKKK menerusi bantuan para ahlinya yang celik IT boleh memanfaatkan sepenuhnya penggunaan komputer itu melaksanakan pelbagai urusan rasmi yang berkaitan hal ehwal pembangunan rumah panjang.

“Ia secara tidak langsung akan dapat mengangkat lagi status JKKK terbabit selepas ini. Justeru saya berharap agar komputer riba berkenaan digunakan sebaik mungkin demi memajukan penempatan masing-masing di masa akan datang,” katanya.

Selain itu kata Masir, sejumlah 300 dari 600 buah rumah panjang atau kampung dari kawasan Parlimen Sri Aman akan menerima komputer riba bagi peringkat Fasa II tahun ini.

Selebihnya baki 300 buah rumah panjang lagi menurut beliau akan menerima komputer riba terbabit menerusi peringkat Fasa III yang menyaksikan sejumlah 100,000 komputer riba bakal diperuntuk untuk negeri ini bagi peringkat itu nanti.

Hadir sama ialah Penolong Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sarawak, Sarani Kanaidi, wakil Residen Sri Aman, Zaidi Sarkawi, Temenggung Kanang Langkau, Pengetua SMK Sri Aman, Joseph Junting Resa, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dari kawasan Parlimen Sri Aman.

Sejumlah 430 buah unit komputer riba disumbangkan kepada penerima awam dari kawasan Parlimen Sri Aman pada Majlis Penyampaian Komputer Riba 1Malaysia terbabit.

Tamat.

No comments:

Post a Comment