Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

02 May, 2011

Projek perparitan bernilai RM200k untuk Kampung Tui, Debak - Razi


Caption: TAHNIAH...Ricky menyampaikan hadiah kepada wakil pelajar SK Dato Bandar sambil disaksikan oleh Julaihi (kiri) dan Penghulu Ahmad (kanan) pada majlis itu.


DEBAK, Isnin (2 Mei) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Ricky @ Mohammad Razi Sitam telah mengumumkan berita baik untuk penduduk Kampung Tui, Debak, Betong.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Kebudayaan dan Kesenian Peringkat Sekolah-Sekolah Zon Debak di Dewan Sri Rimbas, Sekolah Kebangsaan (SK) Tui, Debak baru-baru ini.

Berita baik pertama menurut beliau adalah projek perparitan Kampung Tui, Debak manakala berita baik keduanya pula projek pembinaan masjid baru di kampung berkenaan.

“Projek perparitan ini menelan kos sebanyak RM200,000 dan pembinaannya dalam masa terdekat ini mendapat kerjasama serta kelulusan daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bagi mengatasi masalah banjir di kampung terbabit.

“Manakala itu tapak pembinaan masjid baru pula sudah pun dikenalpasti bagi tujuan pembinaan. Justeru saya berharap agar pembinaan kedua-dua kemudahan penting itu nanti akan dapat menaiktaraf hidup penduduk Kampung Tui di masa akan datang,” katanya.

Razi turut menambah bahawa masih banyak projek perparitan telah dibincang oleh beliau bersama pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar demi kebaikan penduduk di kawasan Saribas selepas ini.

Selain itu Razi juga mengucapkan terima kasih terhadap pucuk pimpinan BN Negeri terutama sekali Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi wakil rakyat di N.30 Saribas.

 “Saya akan berusaha untuk membalas kepercayaan itu dengan melaksanakan khidmat penuh dedikasi disamping mendampingi penduduk dalam kawasan Saribas dari masa ke semasa,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Guru Besar SK Tui, Julaihi bin Haji Inu dan Guru Besar SK Bungin, Mamin bin Chek, Penghulu Ahmad bin Ludin serta para tetamu undangan khas yang lain.

Terdahulu Sekolah Dato' Bandar Debak telah dinobatkan juara keseluruhan Pertandingan Tarian Sekolah Zon Debak manakala SK Dato' Bandar Debak telah menguasai acara Tarian Etnik dan Rampaian sekaligus dinobatkan juara keseluruhan bagi kategori itu.

Kategori Pertandingan Bagi Bintang Kecil bersempena dengan majlis itu menyaksikan Noorhaiza binti Ilah dari SK Manggut muncul juara sambil diikuit oleh Nurul Syabitah Norkusaini dari SK Bungin dan Nor Azita Kahar dari SK Tui yang memperoleh kedudukan naib juara dan ketiga bagi pertandingan tersebut.

Tamat.


No comments:

Post a Comment