Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

27 May, 2011

Bantuan kerajaan adalah untuk semua kaum - Harden



Caption: PRIHATIN...Harden (tengah) bersama Sharifah (dua kiri) dan tetamu jemputan khas bergambar kenangan bersama penerima bantuan kerusi roda di sini kelmarin.

SRI AMAN, Khamis (26 Mei) – Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mengamalkan sikap berat sebelah dalam menghulurkan bantuan kepada golongan yang amat memerlukan dalam negeri ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata kerajaan BN yang terdiri daripada komponen parti pelbagai kaum wajar memberi bantuan dan sumbangan mereka terhadap semua rakyat dalam negara ini khasnya di Sarawak.

“Bantuan tidak mengenal latar belakang dan agama. Selagi mereka berkelayakan maka kerajaan menerusi agensinya akan sentiasa turun padang bagi membantu menaiktaraf hidup rakyat yang memerlukan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Taklimat Pengurusan Bantuan Jabatan Kebajikan Bahagian Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman kelmarin.

Selain itu Harden juga menasihatkan rakyat agar memanfaatkan sebaik mungkin bantuan yang mereka terima daripada kerajaan selepas ini dan bukannya disalahguna untuk kepentingan diri sendiri.

“Bagaimanapun kerajaan mahu rakyat sedar bahawa BN amat mengambilberat kebajikan hidup mereka yang amat memerlukan dengan memperkenal pelbagai jenis bantuan seperti e-kasih, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan sebagainya.

“Justeru saya berharap agar rakyat sentiasa memberi sokongan penuh terhadap BN agar hal ehwal kebajikan hidup mereka sentiasa dibela oleh kerajaan dari masa ke semasa,” katanya.

Hadir sama ialah Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman, Sharifah Ranimah Wan Hashim, Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Fachrio Ferdian Shah, Pegawai Tadbir Sarawak, Shamsiah Deli dan wakil IPD Sri Aman.

Terdahulu Harden telah menyempurnakan majlis penyampain kerusi roda kepada dua orang wakil pengidap penyakit Ahmar dan bantuan kebajikan kepada seorang fakir miskin hasil sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sri Aman yang diusahakan oleh pihak Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang sebelum ini.

Harden juga turut menyampaikan cek MRP bernilai RM3,000 kepada Kelab Kebajikan dan Rekreasi Jabatan Kebajikan Masyarakat Sri Aman.

Seramai 200 orang ketua kaum yang terdiri daripada para Penghulu, Ketua Kampung dan Tuai Rumah dari kawasan Lingga, Sri Aman dan Pantu menghadiri sesi taklimat berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment