Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

13 April, 2011

Usaha wujudkan kemudahan jalur lebar di kawasabn luar bandar Sri Aman diperhebat - Masir


Caption: RASMI...Masir sedang menerima cenderamata daripada Lo sambil disaksikan oleh Rahman (dua kiri) pada majlis itu.


SRI AMAN, Rabu (13 April) – Kerajaan akan meneruskan usahanya untuk mewujudkan kemudahan Jalur Lebar Tanpa Wayar yang diperkenal menerusi Inisiatif Jalur Lebar Negara (National Broadband Initiative atau NBI) di kawasan luar bandar Sri Aman selepas ini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat berkata penubuhan Jalur Lebar Tanpa Wayar di kawasan luar bandar Sri Aman akan menyumbang kepada peningkatan taraf hidup yang lebih berkualiti, efisien dan dinamik.

“Kerajaan buat masa sekarang telah pun mewujudkan kemudahan Jalur Lebar Tanpa Wayar di Parlimen Sri Aman antaranya ialah di Rumah Melunggang anak Adir, Pakit A dan Rumah Ellie anak Chemeng, Sabu.

“Kita akan meneruskan usaha untuk menubuhkan lebih banyak kemudahan Jalur Lebar Tanpa Wayar di kawasan luar bandar yang mempunyai jumlah kepadatan penduduk yang tinggi, akses terhadap isyarat internet dan bekalan elektrik selepas ini,” katanya.

Masir turut menambah bahawa rakyat yang berada dalam jarak 150 hingga 200 meter dari pusat kemudahan Jalur Lebar Tanpa Wayar sesebuah kawasan itu akan turut dapat menikmati kemudahan berkenaan untuk sepanjang masa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika berlangsungnya sidang media sebaik selesai Majlis Pelancaran Kampung Tanpa Wayar di Rumah Ellie anak Chemeng, Sabu, Sri Aman hari ini.

Terdahulu Masir pada ucapannya berharap agar rakyat memanfaatkan Jalur Lebar Tanpa Wayar dengan sebaik mungkin dan bukannya menyalahguna kelebihan tersebut untuk tujuan tidak elok selepas ini.

“Justeru saya berharap agar kemudahan Jalur Lebar Tanpa Wayar ini dapat menjalinkan kampung-kampung di seluruh negara secara virtual disamping merapatkan lagi jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sri Aman, Abdul Rahman Sebli Sanusi, Penolong Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Lo Ann Ni, Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Fachrio Ferdansyah Abdillah dan Pengerusi Komuniti 1 Malaysia Kampung Sabu, Riji Lee.

Tamat.

No comments:

Post a Comment