Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 April, 2011

Proses Penamaan Calon di Sri Aman menarik


Caption: BERSEMANGAT...Para penyokong BN – PBB sedang berarak di Jalan Hospital ketika menghantar calon N.23 Lingga, Hajah Simoi Haji Peri ke pusat penamaan calon di Dewan Suarah Sri Aman.


SRI AMAN, Khamis (7 April) – Proses Hari Penamaan Calon bagi tujuan Pilihan Raya Negeri DUN Sarawak Ke-10 yang berlangsung di Sri Aman kelmarin nyata berlangsung dengan lancar dan tenang tanpa ada sebarang kekacauan.

Tinjauan pada Hari Penamaan Calon di tiga buah lokasi Pusat Penamaan Calon dalam Bandar Sri Aman bermula pagi kelmarin mendapati bahawa tidak wujud situasi renggang antara penyokong parti kerajaan dan pembangkang.

Para penyokong kedua-dua pihak sebaliknya dilihat saling bermesra di antara satu sama yang lain walaupun pakaian yang digunakan oleh mereka melambangkan parti milik masing-masing.

Keadaan ini dilihat amat berbeza dengan situasi musim pilihan raya di Semenanjung Malaysia apabila penyokong daripada kedua-dua pihak tidak dibenarkan hampir disebab oleh sensitiviti politik antara satu sama lain.

“Lazimnya mereka akan bertelingkah jika terlalu hampir. Senario ini tidak sama di Sri Aman apabila kedua-dua pihak saling bermesra dan berbual antara satu sama ketika berlangsung proses penamaan calon.

“Terus terang saya katakan bahawa saya amat menyukai keadaan ini. Terlalu fanatik terhadap politik boleh mengundang masalah kepada diri mereka sendiri sebaik sahaja tamat pilihan raya kelak,” kata seorang pegawai kerajaan.

Sementara itu seorang peniaga makanan ketika ditemui mendakwa bahawa pilihan raya negeri di Sri Aman tidak semeriah pilihan raya parlimen yang berlangsung pada tahun 2008 lepas.

Ia menurut beliau disebabkan oleh tiga pecahan lokasi penamaan calon yang pusat Bandar Sri Aman berbanding pilihan raya parlimen yang hanya berpusat di satu lokasi pada tahun 2008 dahulu.

“Bagaimanapun saya tidak menafikan bahawa wujudnya sikap saling hormat-menghormati di antara penyokong pembangkang dan kerajaan ketika berlangsungnya proses penamaan calon itu,” katanya.

Terdahulu lebih daripada 3,000 orang penyokong kerajaan dan pembangkang membanjiri kawasan pusat Bandar Sri Aman ketika berlangsung pusat penamaan calon di tiga buah lokasi kelmarin.

Para penyokong ini datang dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

Tamat.

No comments:

Post a Comment