Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

11 April, 2011

Kerja bina Hospital Sri Aman yang baru mula tahun ini


Caption: BERITA BAIK...Najib (tengah) sedang mengumumkan projek pembinaan Hospital Bahagian Sri Aman kepada penduduk ketika berlangsung Program Tinjauan Mesra di Bandar Sri Aman hari ini. Turut kelihatan ialah (dari kiri) Harden, Masir , Simoi dan Liow (belakang Simoi).


SRI AMAN, Isnin (11 April) – Kerja pembinaan Hospital Bahagian Sri Aman yang baru akan bermula pada tahun ini dengan kos bernilai RM200 juta demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau mengumumkan perkara itu kepada pemberita ketika berlangsungnya sidang media di tingkat 1, Bilik Mesyuarat, Hospital Sri Aman selepas melakukan Program Lawatan ke situ pada jam 2.30 petang hari ini.

“Pihak kita sudah pun mengenalpasti kawasan tapak tanah bagi tujuan pembinaan Hospital Bahagian Sri Aman baru ini yang boleh menampung sejumlah 108 buah katil pesakit.

“Kini kerja pemeriksaan tapak tanah masih lagi dilakukan. Jika sudah selesai maka kerja pembinaan Hospital Bahagian Sri Aman yang baru akan boleh dimulakan (tahun ini) dan dijangka siap pada tahun 2013 kelak,” katanya.

Najib bagaimanapun tidak menyatakan secara tepat tarikh bermulanya kerja pembinaan Hospital Bahagian Sri Aman yang baru ketika ditanya oleh pihak pemberita pada sidang media berkenaan.

Sementara itu kerajaan katanya juga sedang mempertimbangkan kemungkinan bagi Kementerian Kesihatan untuk menempatkan dua orang pakar perubatan di Hospital Bahagian Sri Aman dengan segera selepas ini.

“Masalah ketiadaan pakar di Hospital Bahagian Sri Aman selama ini menyebabkan pesakit yang mengalami penyakit serius dirujuk ke Hospital Umum Sarawak di Kuching dengan perjalanan menggunakan ambulan mengambil masa selama dua jam.

“Justeru kerajaan menerusi pihak Kementerian Kesihatan berkemungkinan akan menghantar dua orang pakar atau setidak-tidaknya seorang terlebih dahulu bagi menyelesaikan masalah ini dengan segera,” katanya.

Hadir sama pada program itu ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, calon Barisan Nasional (BN) untuk DUN N.27 Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis, Calon BN N.23 Lingga, Hajah Simoi Peri, dan para ketua jabatan kerajaan.

Terdahulu Najib turut mengumumkan projek pembinaan Hospital Bahagian Sri Aman yang baru pada penduduk ketika berlangsung Program Tinjauan Mesra di kawasan Stesen Bas Sri Aman selepas selesai melawat Hospital Bahagian Sri Aman.

Tamat.

No comments:

Post a Comment