Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 April, 2011

Harden layak diamanahkan jawatan Menteri penuh - Tr Umbek



Musghot : UMBEK ACHAT


SRI AMAN, Selasa (26 April) – Penduduk Kampung Dayak Baru Kejatau menyokong penuh Datuk Francis Harden anak Hollis untuk mengisi jawatan menteri (penuh) dalam Kabinet Kerajaan Negeri selepas ini.

Tuai Rumahnya, Umbek anak Achat berkata Harden yang kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang bagi penggal ke-4 layak diberi amanat untuk memegang portfolio menteri penuh Kabinet Kerajaan Negeri memandangkan beliau seorang wakil rakyat yang rajin.

“Kesemua 49 buah keluarga dalam Kampung Dayak Baru Kejatau berharap agar beliau memegang jawatan menteri penuh berdasarkan kepada pengalamannya ketika memegang jawatan menteri muda sekarang.

“Justeru Harden layak diberi peluang untuk memegang portfolio menteri penuh dalam Kabinet Kerajaan Negeri demi memacu pembangunan kawasan Sri Aman ke tahap lebih baru selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Selain itu Menteri Muda Kemajuan Tanah itu kata Umbek juga merupakan seorang wakil rakyat yang tidak akan berkata ‘tidak’ terhadap pelawaan penduduk untuk menyertai sesebuah aktiviti atau program di kawasan mereka sehingga kini.

Wakil rakyat itu katanya amat mudah mendampingi penduduk seperti sifat mendiang ayahnya, Hollis anak Tini yang pernah menjadi ADUN kawasan Simanggang dari tahun 1973 hingga 1983.

“Atas sebab ini jika Harden menjadi menteri penuh maka beliau tidak akan mudah mengalah dalam melaksanakan pelbagai jenis tugas yang diberi oleh kerajaan terhadap beliau dari masa ke semasa,” katanya.

Umbek turut menambah bahawa kawasan DUN Simanggang tidak pernah mempunyai seorang menteri penuh sehingga sekarang melainkan mendiang Datuk Tawi Sili selaku Ketua Menteri dari tahun 1966 hingga 1970.

“Justeru kami, penduduk Kampung Dayak Baru Kejatau amat berharap agar Harden diberi peluang untuk memegang jawatan menteri penuh berdasarkan kepada kelayakan beliau selama ini,” kata pesara Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman itu.

Tamat.






No comments:

Post a Comment