Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

11 April, 2011

Banyak kawasan kelabu makin baik, peralihan kuasa CM akan tetap berlaku - Najib


SRI AMAN, Isnin (11 April) – Sokongan rakyat Sarawak terhadap Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya DUN Sarawak Ke-10 berada pada tahap yang baik kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Justeru pihaknya kata beliau akan meneruskan usaha bagi meraih sokongan rakyat di negeri ini demi memastikan kemenangan BN bagi pilihan raya negeri Ke-10 ini pada 16 April kelak.

“Petanda baiknya di sini ialah apabila ada kawasan ‘kelabu’ yang makin sudah bertambah baik. Namun begitu usaha untuk meraih sokongan rakyat akan dipertingkatkan sebab saingan daripada parti lawan lebih hebat pada masa kini berbanding pilihan raya dahulu,” katanya.

Najib berkata demikian kepada pemberita ketika berlangsungnya sidang media di tingkat 1, Bilik Mesyuarat, Hospital Sri Aman selepas melakukan Program Lawatan ke situ pada jam 2.30 petang hari ini.

Selain itu beliau pada sidang media itu juga turut memberitahu bahawa proses peralihan kuasa bagi menggantikan Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud akan tetap berlaku.

Bagaimanapun Najib enggan mendedahkan nama penganti Taib dan juga tarikh berlakunya peralihan kuasa terbabit ketika ditanya oleh pihak pemberita mengenai perkara itu.

“Saya dan beliau (Taib) telah pun mencapai kata persefahaman berhubung perkara ini dan perkara mengenai proses peralihan kuasa ini akan kita dedahkan apabila tiba masanya kelak.

“Lagipun proses peralihan kuasa itu perlu ditangani dengan baik dan bagi mengelakkan berlakunya masalah selepas itu. Pentingnya di sini ialah agar proses peralihan kuasa itu berjalan dengan lancar,” katanya.

Najib turut menambah bahawa Taib langsung bukan bebanan kepada BN sebaiknya menyumbang kepada keutuhan hubungan antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri sehingga masa sekarang.

Tamat.

No comments:

Post a Comment