Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 April, 2011

Banyak beza 'ubah' dan 'perubahan' - Razali


Caption: MESRA...Razali (tengah) sedang berbual dengan Mong (kanan) sebaik sahaja tiba untuk merasmikan program itu malam kelmarin.


SRI AMAN, Khamis (14 April) – Golongan belia di Sarawak harus memahami erti slogan ‘Ubah Sarawak’ yang ditawarkan oleh pihak pembangkang dan slogan ‘perubahan’ yang ditawarkan oleh pihak Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ini nanti.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dato Razali Haji Ibrahim berkata erti ‘ubah’ boleh bertukar dalam sekelip mata sahaja manakala ‘perubahan’ perlu mengambil masa yang panjang untuk dijayakan.

“Pihak pembangkang melaungkan ‘Ubah Sarawak’. Namun Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud sudah pun berkata akan berundur selepas pilihan raya nanti... maka apa lagi yang mahu mereka ubah terhadap negeri yang sedang pesat membangun dibawah pentadbiran beliau?

“Sebab itulah saya katakan bahawa kita tidak boleh mengubah sesuatu dalam masa yang singkat melainkan melaksana proses perubahan yang memerlu jangka masa panjang terutama sekali dari segi soal kemajuan demi kebaikan hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sembang Sembang Belia 1 Sarawak 2011 anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman di Restoran Opah Tom Yam, Kampung Hulu, Sri Aman malam kelmarin.

Selain itu Razali juga mahu belia tahu bahawa slogan ‘Ubah Sarawak’ diperkenalkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu Lim Guan Eng yang sememangnya bukan orang Pulau Pinang namun berasal dari Melaka.

“Sarawak ditadbir oleh anak jati tempatan semenjak dari dahulu hingga sekarang. Dengan kata lain orang Sarawak sememangnya berpengalaman dan berkelayakan untuk meneraju pembangunan negeri mereka sendiri.

“Lagipun adakah anda mahu Ketua Menteri Sarawak terdiri daripada orang bukan Sarawak (jika pembangkang menang) seperti mana yang telah berlaku di Pulau Pinang? Saya rasa tidak,” katanya.

Justeru Razali yakin bahawa golongan belia Sarawak cukup bijak bagi menentukan kemajuan negeri mereka sendiri iaitu dengan menyokong BN untuk terus memerintah kerajaan selepas pilihan raya umum DUN Ke-10 pada 16 April kelak.

Hadir sama ialah calon BN untuk DUN N.26 Bukit Begunan, Mong anak Dagang, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Sri Aman, Mohd Ishrak Haji Ismail, para ketua jabatan dan belia di sini.

Seramai 70 orang belia dijemput bagi menjayakan Program Sembang Sembang Belia 1 Sarawak 2011 di Restoran Opah Tom Yam bermula dari jam 6.30 petang hingga 9.30 malam.

Tamat.

No comments:

Post a Comment