Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

03 March, 2011

Tahun 2011 Tahun Penjenamaan semula RELA, Harden


Caption: TAHNIAH...Harden (tengah) sambil disaksikan oleh Masir (kiri), Sebli (kanan) dan Bajuri (kanan sekali) menyampaikan sijil kepada Zulia Haji Jemat pada majlis itu.


SRI AMAN, Khamis (3 Mac) – Pasukan Relawan Ikatan Rakyat atau RELA memerlukan hala tuju baru dan pendekatan yang lebih sesuai dengan gaya masa kini demikian menurut Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Ini kerana berdasarkan kepada keanggotaan RELA yang kian meningkat berlipat ganda pada masa sekarang, tahun 2011 kata beliau akan menjadi tahun penjenamaan semula pasukan berkenaan selepas ini.

“Dalam proses penjenamaan semula ini, anjakan yang ingin dilaksanakan akan meliputi tujuh aspek iaitu imej pasukan, peranan, penyertaan, program, kehadiran fizikal, kebajikan ahli dan struktur organisasi.

“Tujuh aspek itu akan mencakupi usaha menjadikan RELA sebagai pasukan profesional, mengurangkan jenayah menerusi aspek 4K, mengalakan penyertaan golongan muda, profesional, korporat, penyertaan berasaskan minat, penonjolan identiti yang lebih menarik dan sebagainya,” katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Bersama RELA Daerah Sri Aman di Mini Stadium Sri Aman malam kelmarin.

Selain itu jumlah keanggotaan RELA yang kini mencecah seramai 2.5 juta anggota kata beliau juga boleh dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menyokong perlaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Pasukan RELA boleh digerakkan bagi meningkatkan keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak PDRM seperti rondaan serta kawalan keselamatan setempat, program Rakan COP dan Skim Rondaan Setempat Kawasan Rukun Tetangga.

“Atas dasar itu kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri telah melancarkan Program 1Platun, 1Kampung, 1Taman pada 11 Disember tahun lepas bagi menjayakan usaha ini,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Residen Bahagian Sri Aman, Abdul Rahman Sebli Sanusi, Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Leftenan Kolonel (RELA) Bajuri Haji Adon, para ketua jabatan dan ketua kaum di sini.

Harden mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada RELA Daerah Sri Aman manakala Masir pula mengumumkan peruntukan berniail RM3,000 kepada pasukan terbabit pada majlis berkenaan.

Majlis Makan Malam Bersama RELA Daerah Sri Aman diserikan lagi dengan penyampaian sijil kursus RELA, penyampaian cenderahati, persembahan nyanyian karaoke dan jamuan makan malam.

Tamat.

No comments:

Post a Comment