Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

17 March, 2011

RM84 juta untuk lima projek agropolitan di Sarawak



Caption:

1. SELAMAT DATANG YB...Shafie sedang bersalaman dengan penduduk sambil diiringi oleh Simoi (belakang) ketika tiba untuk merasmikan majlis itu.

2. UMUM...Shafie sedang mengumumkan cabutan penentuan lot rumah di penempatan Kampung Baru Pulau Seduku sambil disaksikan oleh Simoi (kanan) dan tetamu khas yang lain.


LINGGA, Khamis (17 Mac) – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan memperuntukan sebanyak RM84.7 juta bagi menjayakan perlaksanaan Projek Agropolitan di lima buah kawasan dalam negeri Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata lima buah kawasan dalam negeri Sarawak yang terlibat dalam perlaksanaan Projek Agropolitan ini adalah Sadong Jaya, Batang Lupar (Seduku), Pulau Bruit, Bukit Sadok dan Rajang (kawasan RASCOM).

“KKLW akan menyalurkan peruntukan ke lima buah kawasan Projek Agropolitan terbabit yang melibatkan tanah seluas 10,000 hektar dengan penyertaan seramai 2,645 orang peserta.

“Peruntukan terbabit bukan sahaja bertujuan untuk menampus kos pembinaan rumah dan perlaksanaan projek pertanian malah turut diguna untuk membina prasarana penting menerusi projek itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Agropolitan Seduku, Batang Lupar bertempat di penempatan Kampung Baru Pulau Seduku, Lingga hari ini.

Selain itu Projek Agropolitan Seduku, Batang Lupar jelas Shafie juga kini hampir 95 peratus siap dari segi pembinaan kediaman peserta, kemudahan jalan raya dan bekalan elektrik kecuali bekalan air bersih.

“Penduduk Kampung Baru Pulau Seduku bakal menikmati air bersih menjelang bulan Februari tahun depan dengan adanya perlaksanaan projek bekalan air Stumbin – Seduku – Lingga bagi peringkat Fasa I yang yang menelan kos sebanyak RM7.8 juta,” katanya.

Selain itu penduduk Kampung Baru Pulau Seduku katanya juga bakal menikmati pendapatan antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan menerusi kerja penanaman sawit dan getah di atas tanah berkeluasan 1,600 hektar untuk projek Ladang Mesra di situ pada masa akan datang.

Malahan pihak KKLW kata Shafie juga telah pun meluluskan peruntukan sebanyak RM85,000 untuk penduduk Kampung Baru Pulau Seduku bagi membolehkan mereka membeli pukat untuk tujuan perikanan selepas ini.

“Justeru saya berharap agar Projek Agropolitan Seduku, Batang Lupar bakal mengubah wajah pembangunan di kawasan Lingga demi kebaikan semua penduduk mulai sekarang,”katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Timbalan Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Haji Yusof Doha, Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Haji Juzilman Basir, Residen Sri Aman, Abdul Rahman Sebli Sanusi, para pegawai dan ketua kaum di sini.

Shafie bersama rombongan berkesempatan melawat ke perumahan penempatan semula Kampung Baru Pulau Seduku sebelum melakukan lawatan ke tapak penanaman getah dan kelapa sawit bagi projek Ladang Mesra.

Tamat.

No comments:

Post a Comment