Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

17 March, 2011

Projek pembangunan diperhebat di Kpg Seduku Baru, Lingga

LINGGA, Khamis (17 Mac) – Usaha pembangunan di sekitar kawasan penempatan semula Kampung Baru Pulau Seduku, Lingga masih sedang diperhebat dengan beberapa buah projek yang sedang atau bakal dilaksana selepas ini.

Jurutera Bahagian, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman, Meehan Jorai berkata antara projek berkenaan adalah pembinaan surau bernilai RM600,000 dan juga Taman Bimbingan Kanak-Kanak yang menelan belanja sekitar RM418,000.

Projek seterusnya kata beliau adalah pembinaan lima buah unit premis perniagaan dengan rekabentuk baru yang menelan kos sekitar RM700,000 dan bakal dikeluarkan tender pada hujung bulan ini.

“Kita juga sedang melaksana projek bekalan air Fasa 1 dari Stumbin – Seduku – Lingga yang menelan kos sebanyak RM7.8 juta semenjak 24 Oktober tahun lepas dan dijangka siap pada bulan Februari tahun hadapan.

“Peruntukan bernilai RM16 juta juga sudah diluluskan untuk tujuan memperbesarkan semula tangki rawatan air di kawasan Lingga,” katanya ketika menyampaikan taklimat pada Majlis Perasmian Projek Agropolitan Seduku, Batang Lupar bertempat di penempatan Kampung Baru Pulau Seduku, Lingga hari ini.

Selain itu peruntukan bernilai RM50 juta bagi tujuan pembinaan Jalan Sri Aman – Stumbin – Lingga kata Meehan juga sudah diluluskan namun dianggap masih belum cukup untuk jika berpandukan kepada pelan rekabentuk jalan berkenaan.

Permohonan peruntukan tambahan bagi tujuan pembinaan jalan raya itu menurut beliau sudah pun diajukan kepada pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada masa sekarang.

“Kita juga bakal melaksanakan projek pembinaan jalan raya Stumbin – Tanjung Bijat dengan kos bernilai RM21 juta. Perbincangan dengan pihak kontraktor berhubung projek ini sudah pun selesai,” katanya.

Terdahulu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal telah hadir bagi merasmikan Majlis Perasmian Projek Agropolitan Seduku, Batang Lupar di situ.

Hadir sama ialah ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Timbalan Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Haji Yusof Doha, Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Haji Juzilman Basir, Residen Sri Aman, Abdul Rahman Sebli Sanusi, para pegawai dan ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment