Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

22 March, 2011

Pertubuhan diminta main peranan sebar dasar kerajaan



Caption: SEMPURNA...Harden sedang menyempurnakan upacara pecah tanah sambil disaksikan oleh para ketua kaum dan ahli persatuan ketika berlangsungnya majlis itu baru-baru ini.


SRI AMAN, Selasa (23 Mac) – Setiap pertubuhan dinasihat agar memainkan peranan untuk menyebar dasar pembangunan kerajaan Barisan Nasional (BN) dari masa ke semasa kata Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Katanya pertubuhan boleh memainkan peranan ini dengan berkesan memandangkan ia menjadi platform bagi penduduk untuk sama-sama berkongsi aktiviti dan bertukar pendapat selama ini.

“Pertubuhan boleh mengambil peluang ini dengan membantu kita untuk turun padang bagi membantu menyebarkan dasar pembangunan kerajaan kepada penduduk di kawasan masing-masing.

“Peranan mereka amat diperlukan bagi membolehkan kerajaan melaksana pelbagai projek pembangunan dengan lebih mudah di masa akan datang,” kata ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Naiktaraf Dewan Pertubuhan Meninggikan Akhlak Chee Chuan Khor Simanggang baru-baru ini.

Selain itu Harden yang juga penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang berharap agar pertubuhan dalam kawasan pentadbirannya melaksanakan tanggungjawab sosial dengan lebih proaktif mulai sekarang.

Kerajaan katanya amat memerlukan sumbangan pertubuhan bagi membantu mewujudkan golongan komuniti penduduk yang amat sesuai bagi memenuhi keperluan tenaga kerja negara dan negeri selepas ini.

“Kita mahu pertubuhan memainkan peranan untuk mewujudkan golongan modal insan berkualiti kerana hala tuju pembangunan negara bergantung sepenuhnya terhadap komuniti kita pada masa sekarang.

“Justeru saya berharap agar pihak tertentu tidak menyalahgunakan pertubuhan untuk tujuan yang tidak elok lebih-lebih lagi ketika menjelang pilihan raya negeri dalam masa terdekat ini,” katanya.

Hadir sama ialah Penghulu Lee Shiang Hua, Pengerusi Pertubuhan Meninggikan Akhlak Chee Chuan Khor Simanggang, Kapitan Kuek Aik Seng, para kanselor dan kapitan dalam bandar ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment