Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

05 March, 2011

Jangan tunggu kerajaan laksana kempen Gotong Royong - Masir


Caption: PENGHARGAAN...Tr Bala (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Piau (kiri) sambil disaksikan oleh Harden dan Masir (dua kiri) ketika berlangsungnya majlis itu.


SRI AMAN, Sabtu (5 Mac) – Penduduk luar bandar dinasihat agar tidak menunggu tindakan pihak berkuasa tempatan untuk memulakan kerja membersih kawasan penempatan mereka selepas ini.

Tanggungjawab berkenaan sebaliknya harus dilakukan sendiri oleh penduduk penempatan berkenaan secara berdikari tanpa menunggu arahan daripada pihak berkuasa tempatan.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat menyatakan nasihat terbabit ketika pada Majlis Perasmian Kempen Kebersihan / Gotong-Royong Dan Anti Denggi bertempat di Rumah Bala anak Buntuk, Sungai Tanduk, Batu Lintang Sri Aman baru-baru ini.

“Saranan mengenai langkah penjagaan kebersihan kawasan masing-masing oleh kerajaan sepatutnya sudah diketahui oleh penduduk di kawasan luar bandar menerusi siaran media cetak dan elektronik selama ini.

“Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sepatutnya sudah memulakan kerja menjaga kebersihan kawasan masing-masing secara berdikari dan proaktif tanpa menunggu arahan pihak berkuasa selepas ini,” katanya.

Usaha berkenaan jelas beliau juga akan dapat membantu kerajaan mengurangkan masalah penularan wabak Demam Denggi dan Chikungunya yang berpunca dari Nyamuk Aedes pada masa akan datang.

Sampah sarap terutama sekali kawasan yang mampu menakung air kata Masir berpotensi untuk menjadi sarang pembiakan nyamuk berkenaan sekiranya tidak dibersihkan oleh penduduk selepas itu.

“Justeru saya meminta penduduk terutama sekali dari kawasan luar bandar untuk lebih serius menjaga kebersihan kawasan penempatan mereka demi kebaikan semua pihak dari masa ke semasa,” katanya.

Majlis ini dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis. Hadir sama ialah Walikota Sri Aman, Piau anak Inggot, Pegawai JASA Parlimen P.202 Sri Aman, Whelton Lumpoi, wakil Residen Sri Aman, SAO Rickson Jauu, para ahli majlis MDSA dan ketua kaum di sini.

Harden mengumumkan peruntukan bernilai RM3,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Bala manakala Masir pula mengumumkan peruntukan bernilai RM2,000 untuk biro wanita rumah panjang berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment