Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 March, 2011

Jangan salahguna persatuan untuk tujuan politik - Naroden


Caption: TAHNIAH...Naroden sedang menyampaikan sijil kepada seorang peserta sambil disaksikan (dari kanan sekali) Rahman, Loo, Fison dan Ken ketika berlangsung majlis itu.


SRI AMAN, Sabtu (12 Mac) – Persatuan tidak harus disalahguna oleh individu untuk tujuan kepentingan politik masing-masing selepas ini kata Menteri Muda Pengurusan dan Perancangan Sumber II, Haji Mohd Naroden Majais.

Beliau berkata demikian ketika berlangsung sidang media selepas merasmikan Kursus Pengurusan Pertubuhan Siri 3 / 2011 bertempat di Bilik Auditorium, Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sri Aman hari ini.

“Kita mahu sesebuah persatuan itu menjalankan peranannya terhadap komuniti masyarakat mengikut perlembagaan atau undang-undang tubuh yang terdapat dalam persatuan itu sendiri.

“Justeru jika pemimpinnya berniat untuk menceburi bidang politik terutama sekali dari aliran pembangkang maka beliau terlebih dahulu harus meletak jawatan dalam persatuan terbabit,” katanya.

Sementara itu kerajaan katanya tidak akan menyukat Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) milik penduduk yang dipohon dengan menggunakan saluran pihak pembangkang dari masa ke semasa.

Kerajaan menerusi Jabatan Tanah dan Survei (JTS) kata Naroden akan menyukat tanah NCR milik penduduk sekiranya ia dipohon oleh mereka menerusi wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

“Tujuannya untuk memudahkan kita bekerjasama dengan penduduk dan agensi kerajaan yang terlibat bagi menjayakan kerja penyukatan tanah di bawah Pelan Inisiatif Terbaru NCR daripada kerajaan.

“Jangan gunakan saluran pembangkang untuk tujuan itu. Sebaliknya pohonlah projek ini secara berkelompok menerusi ketua kaum, pejabat residen dan wakil rakyat BN dalam kawasan masing-masing selepas ini,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa kerja penyukatan perimeter tanah NCR milik penduduk akan dilakukan secara berterusan dengan meletakkan sasaran sebanyak 1.5 juta hektar tanah NCR disukat menjelang tahun 2015 nanti.

Hadir sama ialah Pegawai Khas kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Loo Yeng Peng, Timbalan Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Haji Fison Yahaya, Pengaras ROS Sarawak, Ken Leben dan Residen Sri Aman, Abdul Rahman Sebli Sanusi.

Terdahulu seramai 170 orang peserta dari 52 buah persatuan mengambil bahagian dalam Kursus Pengurusan Pertubuhan Siri 3 / 2011 bermula dari jam 8 pagi hingga 1 petang hari ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment