Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

05 March, 2011

2,095 Tanah NCR penduduk Ulu Kabo, Saratok bakal disukat mulai 5 Mac 2010

e-mail dikirim oleh Abang Hipeni

JTS Betong

SRI AMAN, Sabtu (5 Mac) – Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Betong akan memulakan kerja penyukatan perimeter terhadap Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) seluas 2,095 hektar di kawasan Ulu Kabo, Saratok bermula minggu ini.


Ulu Kabo, Saratok yang berada di bawah kawasan Penghulu Bujang @ Latan anak Ambau merupakan kawasan ketiga di Bahagian Betong yang akan disukat di bawah Inisiatif Baru NCR bagi tahun 2011.


Perkara ini dimaklumkan oleh Penguasa JTS Bahagian Betong, Peggy Ronin anak Edin menerusi siaran berita yang dikirim menerusi mail elektronik kepada Utusan Sarawak hari ini.


“Majoriti penduduk Iban memiliki kawasan tanah di Ulu Kabo, Saratok dan mereka berharap agar kerajaan turut menyukat tanah pusaka milik mereka menerusi Inisiatif Terbaru NCR.


“Kerajaan telah pun memenuhi impian penduduk kawasan ini apabila kerja pengukuran perimeter bagi kawasan mereka bakal bermula setelah dirasmikan oleh Menteri Muda Pertanian (Kemudahan Peladang dan Koperasi), Datuk Peter Nyarok anak Entrie kelmarin,” katanya.


Selain itu JTS kata Peggy juga sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka untuk menerima pendapat dan pandangan daripada penduduk setempat berhubung proses pelaksanaan Inisiatif Baru NCR itu.


Katanya sebarang aduan dan permasalahan berhubung Inisiatif Baru NCR boleh diajukan kepada JTS memandangkan pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan para ketua kaum bagi mencari penyelesaian berhubung isu berkaitan Inisiatif Baru NCR.


“JTS mensasarkan untuk menyiapkan kerja pengukuran di kawasan Ulu Kabo, Saratok dalam tempoh sebulan dan kita berharap agar kerja dapat berjalan lancar dengan adanya kerjasama daripada pemilik tanah,” katanya.


Tanah NCR yang telah disukat menerusi pelan ini menurut beliau akan diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri Warta Seksyen 6.

Ia akan disimpan di JTS dan pejabat daerah manakala satu salinan akan diberi kepada para ketua kaum sebagai bukti yang kawasan tersebut telah disukat serta telah menjadi hak milik sah kepada komuniti di situ.


Terdahulu Datuk Peter Nyarok telah merasmikan dan Pelancaran Kerja Ukur Bagi Inisiatif Baru NCR di Rumah Chunggat Talit, Munggu Ubah, Lempa Krian pada 3 Mac lepas.


Majlis turut dihadiri oleh Residen Bahagian Betong, Datu Romie Sigan Danile, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, Peggy Ronin Edin, Pegawai Daerah, Saratok, Julaihi bin Kadir serta ketua kaum di sini.


Tamat.

No comments:

Post a Comment