Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

25 February, 2011

Wanita harus lengkapkan diri dengan ilmu, Hajah Nancy






Caption: UNTUK ALBUM...Hajah Nancy (baju putih) merakamkan gambar kenangan bersama ahli Persatuan Ibu Tunggal Simunjan ketika berlangsungnya majlis itu.

Oleh Abang Yuseri Ismail

SIMUNJAN, Jumaat (25 Feb) – Kaum wanita harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan pelbagai kemahiran untuk membina jati diri serta daya saing yang tinggi, nasihat Ahli Parlimen Batang Sadong, Hajah Nancy Syukrie


Beliau menyatakan nasihat terbabit memandangkan masyarakat dunia kini khususnya wanita hidup dalam era globalisasi yang memungkinkan mereka berkongsi ilmu pengetahuan dan maklumat dengan cepat menerusi pelbagai teknologi komunikasi yang sedia ada.


“Oleh itu sebagai seorang wanita, kita perlu mempunyai perancangan, matlamat yang jelas dan pelan bertindak untuk mengatasi segala cabaran,” katanya sambil menambah bahawa ianya selaras dengan Pembangunan Modal Insan yang menjadi agenda baru kerajaan untuk mengukuhkan jati diri masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Jualan Dan Sukaneka Persatuan Ibu Tunggal Daerah Simunjan bertempat di Padang Sentral, dalam Pekan Simunjan baru-baru ini.

Selain itu beliau juga mahu kaum wanita memberi perhatian kepada pelbagai masalah sosial yang melanda masyarakat pada masa sekarang termasuklah hal kesihatan, buta huruf, miskin tegar, penjagaan golongan Orang Kurang Upaya, budaya lepak, seks rambang dan jenayah.

“Wanita boleh memainkan peranan mereka untuk membantu mengurangkan masalah sosial yang kian melanda masyarakat pada masa sekarang ini dengan melaksanakan kegiatan kebajikan.

“Mereka boleh mendapatkan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, PEMADAM atau daripada lain-lain agensi kerajaan yang berkaitan sekiranya mahu menjayakan kegiatan kebajikan mereka,” katanya.

Hadir sama ialah Pengerusi Ibu Tunggal Cawangan Simunjan, Sa’amah binti Adis. Majlis dimeriahkan dengan senaman poco-poco, sukaneka rakyat, pertandingan mewarna, pertandingan masakan kuih tradisional (Bingka) dan Gubahan bunga serta banyak lagi.

Tamat.

No comments:

Post a Comment