Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

06 February, 2011

Upacara pembukaan perniagaan Lion Dance bermula


Caption: SEMOGA MURAH REZEKI...Pasukan Tarian Singa dari Persatuan Hakka Sri Aman ketika melakukan upacara berkenaan di Restoran Elison Seafood.


SRI AMAN, Isnin (7 Feb) – Kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina di Bandar Sri Aman dimeriahkan lagi dengan upacara pembukaan perniagaan di 70 buah kediaman dan premis perniagaan dalam bandar ini.

Upacara yang bermula dari jam 8 pagi itu telah membabitkan aktiviti persembahan Tarian Singa di dalam premis perniagaan dan kediaman orang Cina yang dikendalikan oleh Persatuan Hakka Sri Aman.

Utusan Sarawak yang berkesempatan membuat liputan mengenai upacara ini mendapati bahawa ia bertujuan untuk memberi berkat kepada pemilik premis atau kediaman selepas hari ke-4 sambutan Tahun Baru Cina.

“Masyarakat kaum Cina percaya bahawa upacara pembukaan perniagaan ini akan memberi berkat atau rezeki terhadap tuan rumah atau pemilik premis perniagaan bagi musim tahun 2011.

“Tuan rumah atau pemilik premis perniagaan akan memberi ‘angpow’ kepada pasukan Tarian Singa ini sebaik sahaja upacara berkenaan selesai dilakukan di lokasi mereka,” jelas jurucakap penganjur.

Sementara itu seorang penduduk kaum Cina menjelaskan bahawa pasukan Tarian Singa di Sri Aman bebas melakukan upacara ini terhadap mana-mana premis perniagaan dan kediaman kaum Cina dalam bandar ini.

Senario ini katanya amat berbeza berbanding dengan pasukan Tarian Singa di Kuching apabila pemilik premis perniagaan terpaksa menempah mereka dahulu dengan harga yang mahal bagi tujuan itu.

Beliau menambah bahawa pemilik premis perniagaan di Sri Aman bebas meletak nilai angpow kepada pasukan Tarian Singa yang datang melakukan upacara ini di kawasan mereka berbanding dengan Kuching.

“Upacara pembukaan perniagaan juga turut dilakukan oleh pasukan Tarian Singa dari pihak yang berbeza sehingga tiba sambutan perayaan Cap Goh Mei ini nanti,” menurut beliau.

Tamat.

No comments:

Post a Comment