Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

03 February, 2011

Tahun Baru Cina meriah di Kampung Kesindu, Simunjan





Caption: 1MALAYSIA! Kee (duduk dua kiri) ketika bergambar kenangan bersama pengunjung pada hari pertama Sambutan Tahun Baru Cina kelmarin.


SIMUNJAN, Jumaat (4 Feb) – Pada kebiasaannya orang hanya beranggapan bahawa perayaan Tahun Baru Cina disambut meriah di kawasan penempatan yang terdiri daripada majoriti penduduk kaum Cina.

Tanggapan ini nyata salah memandangkan perayaan Tahun Baru Cina juga turut disambut meriah di kawasan penempatan penduduk yang terdiri daripada minoriti penduduk kaum Cina pada setiap tahun.

Untuk itu Utusan Sarawak berkesempatan melakukan kunjungan ke sebuah buah rumah penduduk berketurunan kaum Cina ketika berlangsungnya sambutan hari pertama Tahun Baru Cina 2011 di Rumah Robert Gana Jampong, Kesindu, Simunjan kelmarin.

Keluarga yang dimaksudkan adalah Foo Hek Kee yang menyambut Tahun Baru Cina pada setiap tahun bersama isteri, Sanam Adam dan empat orang anaknya iaitu Foo Sek Chang, Foo Ai Leen, Foo Jit Fa, Foo Ai Lan dan Foo Ai Chin.

“Saya bersama keluarga sememangnya menyambut Tahun Baru Cina di kampung ini pada setiap tahun dan sering menerima ramai kunjungan yang terdiri daripada penduduk kaum Iban di sini.

“Kampung Kesindu cuma ada tiga keluarga berketurunan Cina. Walaupun kaum kamia adalah minoriti di sini namun sambutan Tahun Baru Cina sememangnya disambut meriah pada setiap tahun,” kata Foo kepada Utusan Sarawak.

Lebih manis kata beliau ialah apabila sambutan Tahun Baru Cina 2011 kali ini disambut bersama menantu dan cucu beliau yang kini bekerja di kawasan Kuching dan Balai Ringin, Serian.

Sementara itu anak lelaki beliau iaitu Foo Sek Chang berpendapat bahawa Kampung Kesindu sememangnya unik dengan penduduknya terdiri daripada kaum Iban, Melayu, Bidayuh dan Cina.

“Sebab itulah terdapat empat perayaan utama di Kampung Kesindu iaitu Hari Gawai, Krismas, Hari Raya dan juga Tahun Baru Cina memandangkan penduduk di sini terdiri daripada tiga kaum.

“Justeru Kampung Kesindu sebenarnya adalah penempatan penduduk yang sudah menyemai nilai 1Malaysia walaupun ia telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun lepas,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment