Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

10 February, 2011

Penduduk Betong dan Sri Aman dipelawa sertai Pertandingan Fotografi Cap Goh Mei 2011

SRI AMAN, Khamis (10 Feb) – Penduduk kawasan Bahagian Sri Aman dan Betong dipelawa untuk menyertai Pertandingan Fotografi yang diadakan bersempena dengan perayaan Pesta Cap Goh Mei Bahagian Sri Aman 2011.

Siaran media yang dikeluarkan hari ini memberitahu Pertandingan Fotografi anjuran Kesatuan Soon Heng Simanggang dan Pejabat Residen Bahagian Sri Aman itu tidak terhad penyertaan kepada semua penduduk dari kedua-dua wilayah berkenaan.

“Foto milik peserta hendaklah asli tanpa sebarang manipulasi lain. Setiap foto yang dipertandingkan hendaklah bersaiz 8R (8”X12”) dan penyertaan akan menjadi hak milik penganjur selepas itu,” katanya.

Penduduk yang mahu menyertai pertandingan berkenaan katanya hendaklah memastikan bahawa nama, nombor kad pengenalan, alamat dan nombor telefon dicatatkan pada bahagian belakang foto milik masing-masing.

Foto bersama salinan asal (soft copy) dalam format JPG yang dihantar pada pertandingan itu kata kenyataan terbabit hendaklah dikirimkan ke tingkat bawah kuil Ciyun, bangunan Kesatuan Soon Heng Simanggang sebelum jam 4 petang pada 28 Februari ini.

“Penganjur akan menentukan tarikh pengumuman keputusan kelak. Sila pastikan bahawa temanya mempunyai kaitan dengan perayaan Cap Goh Mei Bahagian Sri Aman anjuran Simanggang Soon Heng Society dan Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, “ katanya.

Johan pertandingan ini katanya akan memperoleh hadiah wang tunai bernilai RM400 besertra sijil, RM300 dan sijil untuk naib johan, RM200 dan sijil untuk pemenang tempat ketiga, RM150 dan sijil untuk pemenang tempat keempat dan empat hadiah galakan bernilai RM100 serta sijil.

Tamat.

No comments:

Post a Comment