Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 February, 2011

Kerosakan pada Jalan Munggu Sabun perlu diperbaiki


Caption: PERLU PERHATIAN...Lubang pada laluan Jalan Munggu Sabun menyebabkan sebuah kenderaan mengelak dari menggunakan lorong terbabit kelmarin.


SRI AMAN, Selasa (8 Feb) – Penduduk memohon jasa baik pihak berkuasa tempatan untuk memperbaiki kerosakan yang berlaku terhadap laluan Jalan Munggu Sabun berhadapan bangunan Peach Court dalam bandar Sri Aman selepas ini.

Tinjauan rambang mendapati kerosakan berupa lubang sedalam setengah kaki dengan diameter seluas dua kaki itu menyukarkan mana-mana pengguna jalan raya yang sering melalui laluan berkenaan pada setiap masa.

Seorang pengguna jalan raya yang hanya mahu dikenali sebagai Zul ketika ditemui kelmarin mendakwa bahawa kerosakan terbabit sudah berlaku di situ lebih daripada dua bulan yang lepas.

“Kadang-kadang pengguna terpaksa mengelak laluan berlubang berkenaan demi mengelakkan berlakunya kerosakan jangka panjang terhadap kenderaan masing-masing selepas itu.

“Risikonya ialah pertembungan antara dua kenderaan disebabkan tindakan elakkan mengejut ini. Justeru saya meminta pihak berkuasa tempatan untuk menurap semula lubang berkenaan demi kebaikan semua pengguna kenderaan dalam bandar ini,” katanya.

Manakala itu seorang pengguna motorsikal yang dikenali sebagai Ading berkata dia tidak akan menggunakan laluan Jalan Munggu Sabun selagi kerosakan terhadap jalan raya terbabit tidak diperbaiki.

“Kenderaan berat menyebabkan jalan di Munggu Sabun rosak. Maka diharap agar pihak berkuasa tempatan tidak membiarkan masalah ini terus berlarutan sebelum berlaku kejadian tidak diingini selepas ini,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment