Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

09 February, 2011

Jabu berhasrat tubuhkan cawangan kampus universiti di Betong


Caption: MANFAATKAN...Jabu menyampaikan cek geran MRP kepada salah seorang penerima pada majlis itu.

BETONG, Rabu (9 Feb) – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang berhasrat untuk menubuhkan cawangan kampus universiti di Betong sebelum berakhirnya karier politik beliau pada masa akan datang.

Beliau melahirkan impian ini ketika berucap merasmikan Upacara Penyerahan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Penerima Kawasan Betong bertempat di Rumah Rehat Kerajaan Betong hari ini.

Katanya semenjak menjadi wakil rakyat kawasan ini bermula dari tahun 1975 dahulu, sebanyak enam buah sekolah menengah termasuk sebuah maktab sains MARA telah pun dibina bagi tujuan pendidikan di Betong berbanding dua buah sekolah rendah sebelum itu.

“Standart kemudahan pendidikan dalam kawasan Betong kemudiannya dipertingkat ke tahap lebih tinggi selepas itu dengan adanya kelulusan terhadap projek pembinaan metro politeknik di sini.

“Pihak Kementerian Pengajian Tinggi akan ke Betong hari ini untuk mengisytiharkan berita baik ini. Jika projek pembinaan metro politeknik Betong mula dilaksana tahun ini maka impian terakhir saya ialah pembinaan cawangan kampus universiti di sini sebelum bersara dari dunia politik,” menurut beliau.

Justeru Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Menteri Permodenan Pertanian berharap agar pembangunan pendidikan yang pesat di kawasan Betong akan memberi manfaat terhadap peningkatan taraf hidup penduduk selepas ini.

Terdahulu beliau pada upacara terbabit telah menyampaikan geran MRP yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM738,600 kepada 42 buah persatuan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan tadika dalam kawasan Betong.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Betong, Datu Romie Sigan Daniel, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Isik Utau, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Betong, Peggy Ronin, para pegawai kerajaan dan penerima geran MRP di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment