Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

17 February, 2011

Aktiviti gerai Jualan Beraneka sempena Cap Goh Mei Sri Aman meriah


Caption: TERTARIK...Dua orang penduduk iaitu Gabriel John (hujung) dan Wilson Embas Hearold (depan) sedang meninjau produk yang dijual di gerai jualan beraneka sempena sambutan perayaan Cap Goh Mei di sini.


SRI AMAN, Khamis (17 Feb) – Aktiviti gerai jualan beraneka yang berlangsung di kawasan perkarangan Stesen Bas Sri Aman nyata berlangsung dengan penuh meriah semenjak ia bermula tengahari kelmarin.

Aktiviti gerai jualan beraneka yang diusahakan oleh Kesatuan Soon Heng Simanggang ini diadakan bagi memeriahkan suasana sambutan perayaan Cap Goh Mei peringkat Bahagian Sri Aman pada hari ini.

“Aktiviti gerai jualan beraneka akan tamat menjelang malam ini (17 Feb). Ia merupakan salah satu aktiviti yang kita adakan bagi menyerikan suasana sambutan perayaan Cap Goh Mei peringkat Bahagian Sri Aman bermula 10 Februari lepas.

“Dengan adanya aktiviti seumpama ini pihak Kesatuan Soon Heng Simanggang yakin akan dapat membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk menyatu-padukan penduduk berbilang kaum dalam Bandar Sri Aman,” kata jurucakap penganjur.

Dianggarkan lebih daripada 5,000 orang penduduk membanjiri kawasan Stesen Bas Sri Aman untuk meninjau dan membeli pelbagai produk menarik yang ditawarkan pada aktiviti gerai jualan beraneka berkenaan sehingga berita ini ditulis.

Antara produk yang ditawarkan kepada penduduk menerusi aktiviti gerai jualan beraneka ini adalah pakaian, hasil kraftangan, aksesori berupa jam, perkakasan elektronik, kerusi, ubat-ubatan, buku bacaan dan banyak lagi.

Terdahulu sambutan perayaan Cap Goh Mei turut diserikan dengan program Malam Kesenian 1Malaysia, Persembahan Pentas Persatuan Bahasa Cina SMK Saint Luke, Pertandingan Nyanyian Lagu Mandarin Kategori Warga Emas, Persembahan Kumpulan Forever, Persembahan Persatuan Agama Buddha Sri Aman, Persembahan Persatuan Bahasa Cina SMK Simanggang dan perarakan sempena perayaan Cap Goh Mei.

Kesemua program yang diadakan bersempena dengan sambutan perayaan Cap Goh Mei peringkat Bahagian Sri Aman 2011 bermula 10 Februari lepas ini turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Residen Bahagian Sri Aman.

Tamat.

No comments:

Post a Comment