Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 December, 2011

Happy New Year 2012

Sri Aman News mengucapkan Selamat Tahun Baru 2012 kepada semua rakyat - rakyat yang menyokong blog ini. THank U all

Banjir di Pangkalan Pantu mulai surut




Caption: PETANDA BAIK...Beberapa kawasan jalan mula kelihatan dengan beberapa buah kereta sudah pun memasuki kawasan Pangkalan Pantu semenjak banjir melanda kawasan tersebut semenjak 25 Disember lepas.

PANTU, Jumaat (30 Dis) – Keadaan banjir di Pangkalan Pantu mula menunjukkan tanda positif apabila paras air bah yang melanda kawasan berkenaan semenjak 25 Disember lepas mula menunjukkan tanda penurunan pada awal pagi hari ini (30 Disember).

Tinjauan Utusan Sarawak sekitar jam 9 pagi hari ini mendapati bahawa paras air bah turun sebanyak setengah kaki hingga menyebabkan sebahagian kawasan jalan masuk menuju ke Pangkalan Pantu mula kelihatan.

Ia sekaligus membolehkan para mangsa banjir terbabit memandu masuk kenderaan mereka ke kawasan Pangkalan Pantu untuk memeriksa keadaan rumah masing-masing pada waktu itu.

Seorang penduduk ketika ditemui memberitahu beliau bersama keluarganya sudah mula tinggal di rumah dalam kawasan Pangkalan Pantu malam tadi walaupun amaran pulang ke kediaman masing-masing belum dikeluarkan oleh kerajaan.

“Hujan lebat mula kurang semenjak kebelakangan ini. Walaupun hujun turun pada waktu malam tadi namun ia tidak menyebabkan berlaku kenaikan paras air banjir di Pangkalan Pantu,” katanya.

Sementara itu tinjauan Utusan Sarawak ke Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Pantu pada waktu pagi hari ini (30 Disember) juga mendapati bahawa jumlah mangsa banjir bertambah kepada 102 orang.

Seorang petugas di situ melaporkan bahawa pihaknya sudah dimaklumkan bahawa paras air banjir di Pangkalan Pantu mulai menurun pada hari ini namun masih belum menerima arahan untuk mengarahkan mangsa banjir tersebut pulang.

“Jika paras air bah terus menurun esok maka saya yakin kesemua mangsa banjir dari kawasan Pangkalan Pantu ini akan menerima arahan untuk pulang kembali ke rumah,” katanya.

Tamat.

SOP Pelita Batu Lintang turun padang bantu mangsa kebakaran Rumah Jegai Jawa


Caption: PRIHATIN...Shoffian (kiri) menyampaikan cek bantuan kepada Tr Jegai (kanan) sambil disaksikan oleh Tr Romeo Serit (tengah) di sini kelmarin.

- 30 Disember

SRI AMAN, Jumaat – Nasib malang yang menimpa 17 buah keluarga mangsa kebakaran dari Rumah Jegai, Sungai Purai, Undop Batu, Batu Lintang terus mendapat perhatian pelbagai pihak di kawasan Sri Aman ini.

Ia terbukti apabila pihak SOP Pelita Batu Lintang turun padang untuk membantu menghulurkan sumbangan berupa wang tunai dan makanan kepada keluarga mangsa kebakaran berkenaan.

Sumbangan wang tunai dan makanan kepada keluarga mangsa kebakaran itu telah pun disumbangkan oleh Pengurus Kanan Ladang SOP Pelita Batu Lintang iaitu Mohd Shoffian Jalil kepada Tuai Rumah Jegai Jawa di kampung berkenaan.

Shoffian ketika ditemui memberitahu sumbangan terbabit bertujuan untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh kesemua 17 buah keluarga mangsa kebakaran rumah panjang di situ pada 27 November lepas.

“Lagipun sumbangan terbabit adalah merupakan tanggungjawab sosial korporat daripada pihak syarikat yang terlibat dalam pembangunan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Ulu Undop, Batu Lintang, Sri Aman,” katanya.

Justeru beliau berharap agar lebih ramai individu atau persatuan tampil untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran Rumah Jegai Jawa, Sungai Purai, Undop, Batu Lintang tersebut selepas ini.

“Paling penting orang ramai harus membuktikan sifat keprihatinan mereka dalam membantu mangsa bencana alam dan tragedi yang berlaku dalam kawasan Sri Aman,” katanya.

Hadir sama untuk menyaksikan upacara penyampaian bantuan ini ialah Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Kawasan atau ADC iaitu Tuai Rumah Romeo Serit, ketua kaum dan kakitangan SOP Pelita Batu Lintang yang lain.

Tamat.

Fifa FC juara Kategori Lelaki Piala YB Simoi



Caption:

1. UNTUK ALBUM...Bakthiar (belakang tengah) merakamkan gambar kenangan bersama pasukan pemenang pada pertandingan itu.

2.  KAMI JUARA...Pasukan Fifa FC muncul juara bagi kategori lelaki pertandingan berkenaan yang berlangsung di Kampung Hulu, Maludam, Betong kelmarin.

- 30 Disember

Pasukan Fifa FC telah membuktikan kehebatannya apabila muncul juara bagi Kategori Lelaki Pertandingan Futsal 2011 Piala Yang Berhormat Hajah Simoi Haji Peri, Ahli Dewan Undangan Negeri N.23 Lingga.

Kejuaraan telah diperoleh pasukan berkenaan apabila menewaskan pasukan Pipit Chelum menerusi aksi final pertandingan itu yang berlangsung di Gelanggang Futsal 1 Malaysia Kampung Hulu, Maludam, Betong kelmarin.

Dengan kemenangan ini pasukan Fifa FC telah membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM500, piala pusingan, piala iringan dan juga pingat bagi kejuaraan tersebut.

Pasukan naib juara bagi kategori lelaki pertandingan tersebut iaitu Pipit Chelum pula membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM300, piala dan pingat.

Manakala itu pasukan pemenang tempat ketiga dan keempat bagi kategori lelaki iaitu Kelab Mesra dan Under 18 pula membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM200 dan RM50 beserta dengan piala dan pingat.

Sementara itu kategori wanita pula menyaksikan pasukan MAMA FC menumpaskan pasukan Metro World menerusi aksi final yang juga berlangsung di gelanggang kampung berkenaan.

Kemenangan ini membolehkan pasukan juara membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM300, piala dan pingat manakala pasukan Metro World pula membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM200, piala serta pingat.

Pasukan pemenang tempat ketiga iaitu Semarang 1 membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100, piala dan pingat manakala pasukan kedudukan tempat keempat iaitu InsyaAllah pula memperoleh hadiah bernilai RM30, piala serta pingat.

Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.23 Lingga, Bakthiar Mathan telah mewakili Simoi untuk merasmikan majlis dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pasukan pemenang.

Pegawai JASA DUN Lingga, Sulaiman Amut, Pengerusi Gelanggang Futsal 1Malaysia Kampung Hulu, Meludam, Haji Aidie Jemat, AJK cawangan PBB bagi Kawasan Meludam, Kiprawi Yat, Ketua Pemuda Ranting Kampung Tengah Meludam,. Tarip Kidi, dan ketua kaum di sini hadir sama bagi menyaksikan majlis berkenaan.

Terdahulu sejumlah 21 buah pasukan lelaki dan tujuh buah pasukan wanita berentap untuk merebut kejuaraan dalam pertandingan yang telah berlangsung selama tiga hari di Gelanggang Futsal 1 Malaysia Kampung Hulu, Maludam, Betong.

Tamat.



Lori melintang lagi di Bukit Begunan


MELINTANG LAGI...Sebuah lori pengangkut muatan yang dipercayai dalam perjalanan dari arah Sri Aman menuju ke Kuching dipercayai telah gagal mendaki laluan jalan raya menuju kawasan puncak Bukit Begunan, Sri Aman sebelum ia surut dan melintang ke kawasan separuh laluan jalan di situ pada 23 Disember lepas. Lori pengangkut muatan berkenaan dipercayai telah terbiar di situ sehinggalah ia mula ditunda kelmarin (29 Disember). Kemalangan ini bagaimanapun tidak menimbulkan kesesakan lalu lintas memandangkan separuh dari laluan jalan itu masih dapat digunakan oleh pengguna kenderaan di sini. Ia merupakan kejadian ketiga yang direkodkan berlaku selepas dua kemalangan serupa terjadi di kawasan Simpang Punda, Simunjan dan Bukit Begunan, Sri Aman bagi sepanjang bulan Disember ini. - 30 Disember

Permohonan penempatan semula Saudara Kita di Pantu akan dipertimbang - Masir


Caption: TERIMALAH...Shamsuddin (kiri) menyerahkan cenderamata kepada Masir (kanan) sambil disaksikan oleh Shamsul (empat kanan), Masitah (belakang kiri) dan tetamu khas yang lain ketika berlangsungnya majlis itu baru-baru ini.

PANTU, Khamis (29 Dis_ – Kerajaan akan mempertimbangkan permohonan penempatan semula untuk golongan Saudara Kita di Pangkalan Pantu selepas ini demikian menurut Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.

Pertimbangan permohonan ini kata beliau akan dilakukan memandangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) faham terhadap nasib golongan Saudara Kita di Pangkalan Pantu yang sering berhadapan dengan masalah banjir selama ini.

“Cuma saya meminta semua golongan Saudara Kita dari Pangkalan Pantu untuk sebulat suara berpindah ke tapak penempatan baru sekiranya permohonan mereka sudah diluluskan oleh kerajaan selepas ini.

“Jangan ada yang mahu dan ada yang enggan sekiranya permohonan terbabit sudah diluluskan memandangkan senario seperti itu hanya akan mendatangkan masalah kepada urusan perpindahan mereka,” katanya.

Beliau turut menambah penduduk di kawasan Pangkalan Pantu yang masih belum menerima bantuan daripada kerajaan boleh menghantar permohonan tersebut kepada beliau untuk dipertimbangkan semula selepas ini.

Masir berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Berambeh Bersama Saudara Kita anjuran Urusetia Saudara Kita (USK) Bahagian Sri Aman dengan kerjasama USK cawangan Pantu di Pangkalan Pantu baru-baru ini.

Selain itu beliau juga meminta penduduk untuk terus menyokong BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang demi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan Pantu selepas ini.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Abang Shamsuddin Abang Seruji, Pengurus TBS cawangan Sri Aman, Shamsul Bahri Manap, Pengerusi USK Bahagian Sri Aman, Masitah Abdullah, Ketua Biro Dakwah USK Bahagian Sri Aman, Yusof Haji Mohd Nuli, Setiausaha USK Bahagian Sri Aman, Tantiana Len Abdullah dan Bendahari USK Bahagian, Zeleha Abdullah.

Majlis perasmian itu turut disaksikan oleh Pengerusi Hikmah cawangan Sri Aman, Haji Bujang Sabli, Pembantu Pegawai Agama Islam Bahagian Sri Aman, Ustaz Rizwandy Padil dan para Pengerusi USK cawangan dari sekitar Sri Aman iaitu Shahdan Abdullah, Hamdan Abdullah, Ibrahim Ulin, Hajo Mohd Nuli Abdullah dan Abdul Taib Abdullah.

Masir menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi tahun 2012 bernilai RM5,000 kepada USK Bahagian Sri Aman dan RM2,000 kepada USK cawangan Pantu.

Tabung Baitulmal Sarawak atau TBS cawangan Sri Aman juga menyampaikan bantuan berupa beg sekolah kepada 15 orang anak-anak golongan Saudara Kita dari Pangkalan Pantu pada majlis itu.

Tamat

Penduduk dakwa jalan kampung Muhibbah banyak berlubang


Caption: PERLU TINDAKAN...Kerosakan berupa jalan di Kampung Muhibbah memerlukan perhatian segera pihak berkuasa tempatan manakala gambar kecil ialah pengadunya iaitu Ramli Abu Sera.
 
SRI AMAN, Khamis (29 Dis) – Kerosakan jalan raya di kawasan Kampung Muhibbah, Sri Aman dipercayai telah menyumbang kepada berlaku kes kemalangan sendiri yang sering membabitkan pengguna motorsikal di situ semenjak enam bulan lepas.

Seorang penduduk iaitu Ramli Abu Sera ketika ditemui memberitahu kerosakan terbabit adalah berupa lubang sedalam lima 10 hingga 15 sentimeter yang terdapat di atas jalan raya dalam sekitar kawasan kampung mereka.

“Terdapat 10 buah kerosakan berupa lubang di atas laluan jalan raya yang kebanyakkan terdapat di sekitar kawasan Zon Tengah dan Zon Timur dalam Kampung Muhibbah, Sri Aman.

“Lubang terbabit nyata telah menakung air lebih-lebih lagi ketika berlangsungnya musim tengkujuh pada masa sekarang sehingga mengelirukan penunggang motorsikal dalam kawasan kampung berkenaan,” katanya.

Kemunculan lubang berkenaan kata Ramli telah menyebabkan penunggang motorsikal mengalami kemalangan sendiri hanya disebabkan mahu mengelak dari melalui jalan berlubang berkenaan.

Justeru beliau berharap agar pihak berkuasa tempatan mengambil langkah segera untuk menampal kesemua 10 buah kerosakan jalan tersebut demi mengelak berlakunya kemalangan jalan raya di situ pada masa akan datang.

“Saya yakin tindakan segera pihak berkuasa tempatan untuk menyelesaikan masalah ini akan dapat mengembalikan semula keselesaan pengguna kenderaan dalam kawasan Kampung Muhibbah Sri Aman pada masa akan datang,” katanya.

Tamat.

Jalan Pantu rosak semula



Caption: PERLU TURAP...Gambar menunjukkan sebuah jengkaut yang cuba melintasi laluan rosak berdekatan dengan jalan kereta di kawasan Pantu hari ini.
 
PANTU, Khamis (29 Dis) – Kisah mengenai kerosakan jalan raya akibat pembinaan longkang dipercayai bagi mengurangkan masalah banjir di Pantu pernah disiarkan dalam akhbar ini pada 21 Disember lepas.

Dengan tanah merentangi laluan jalan menuju ke Pekan Pantu (berdekatan jalan keretapi) telah menyukarkan lalu-lalang pengguna kenderaan di situ maka tindakan segera diambil dengan meletak longgokan batu di situ setelah berita ini disiarkan dalam akhbar.

Sudah tentunya tindakan terbabit kembali menyenangkan pengguna kenderaan yang sering berulang-alik dari Pekan Pantu ke kampung halaman masing-masing di daerah kecil terbabit selepas itu.

Namun begitu tindakan melonggok batu ini hanya dianggap penyelesaian sementara apabila lori dan jentera muatan berat telah kembali merosakkan semula jalan berkenaan semenjak tiga hari lepas.

“Sekarang kepayahan pengguna kenderaan di Pantu kembali sukar seperti dulu diakibatkan oleh longgokan batu berkenaan,” menurut seorang penduduk yang melaporkan perkara ini kepada Utusan Sarawak.

Beliau mendakwa bahawa longgokan batu yang digunakan untuk menutup laluan bertanah di atas jalan raya berkenaan nyata tidak lagi rata seperti dahulu dan sukar dilalui oleh kenderaan pada masa sekarang.

Katanya kerosakan berupa longgokan tanah di situ sebelum ini nyata lebih mudah dilalui oleh semua pengguna kenderaan berbanding dengan melalui laluan longgokan berbatu terbabit pada masa sekarang.

“Justeru jalan penyelesaian paling baik ialah menurap kembali laluan tersebut. Lagipun musim persekolahan anak-anak akan kembali bermula tidak kurang dari tempoh seminggu mulai sekarang,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa penduduk akan melalui laluan terbabit pada setiap hari untuk menghantar anak-anak yang menuntut di Sekolah Kebangsaan (SK) Pantu dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Cina Pantu pada 4 Januari depan.

Tamat.

Produk Coop 1 Malaysia bakal raih sambutan



MENARIK...Penolong Pegawai Hal Ehwal Ekonomi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sarawak Bahagian Limbang, Ismandi Yusuf sedang mempromosikan produk Coop 1 Malaysia ketika berlangsungnya Karnival Jualan Produk Koperasi yang berlangsung di kawasan Terminal Bas Sri Aman pada 21 hingga 23 Disember lepas. Produk Coop 1 Malaysia adalah merupakan barangan berasaskan makanan yang dikeluarkan oleh Felda Trading Sendirian Berhad. Produk Coop 1 Malaysia yang diedarkan ke koperasi seluruh Malaysia ini akan dijual pada harga 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding produk barangan biasa dalam negara ini. Felda Trading telah pun memperkenalkan sejumlah 25 buah produk Coop 1 Malaysia dalam negara ini dengan 125 buah produk lagi akan diperkenalkan menerusi jenama itu pada tahun hadapan. - 29 Disember



Kelab Ek Ek Sri Aman anjur Parti Krismas 2011



Caption: UNTUK ALBUM...Elison (belakang tengah) ketika bergambar kenangan bersama Father Harold (duduk tengah) dan para ahli yang lain ketika berlangsungnya majlis itu malam tadi.
 
SRI AMAN, Rabu (28 Dis) – Kelab Ek Ek Sri Aman telah menganjurkan Parti Sambutan Krismas 2011 yang berlangsung di belakang Restoran Makanan Laut Elison, Sri Aman  malam tadi.

Pengerusi Kelab Ek Ek Sri Aman, Elison Lingoh ketika ditemui berkata turut diadakan menerusi parti itu ialah majlis meraikan perpisahan Father Harold Hall yang akan berpindah tugas dari Gereja Saint Luke Sri Aman akhir tahun ini.

“Disamping meraikan perayaan Hari Krismas bersama keluarga, Kelab Ek Ek Sri Aman juga turut mengambil peluang untuk merayakan sambutan Hari Krismas ini bersama para ahli malam tadi.

“Justeru kita berharap agar ikatan tali silaturahim dapat diperkukuhkan dikalangan para ahli menerusi majlis ini dengan memastikan kejayaan perlaksaan pelbagai program anjuran kelab bermula tahun hadapan,” katanya.

Selain itu majlis jamuan Krismas ini juga kata Elison juga secara tidak langsung dapat menunjukkan penghargaan pihak kelab terhadap Father Harold dalam menjayakan aktiviti keagamaan dalam bandar ini.

Kelab Ek Ek Sri Aman tambah beliau berharap agar Father Harold Hall dapat melaksanakan tugas dengan lancar sekiranya sudah berpindah tugas ke lokasi baru selepas ini.

Hadir sama ialah timbalan pengerusi kelab, Gilbert Meur, setiausaha kelab, Vyonnie Maclean, wakil Kelab BSA Road Warrior, Patrick Michael, dan para ahli yang lain iaitu Morgan Alban, Koh Pii Peng, Jonnes Mukan, Edwin Nanggah, Lakuang Ading dan Ebit Seng.

Tamat.

1,640 buah komputer riba bakal diagih kepada penduduk dalam Parlimen Lubok Antu tahun depan - Nyalau

Caption: MESRA RAKYAT….Nyalau (kiri) dan Dr Rayong (belakang tengah) sedang bersalam dengan rakyat ketika berlangsungnya majlis tersebut baru-baru ini. 
 
ENGKILILI, Rabu (28 Dis) – Sejumlah 1,640 buah unit komputer riba akan diedar kepada rumah panjang dalam kawasan Parlimen Lubok Antu mulai tahun hadapan kata wakil rakyatnya, William Nyalau Badak.

Menurut beliau sebuah rumah panjang dalam kawasan Parlimen Lubok Antu bakal memperoleh satu atau dua buah unit komputer riba terbabit bergantung kepada jumlah penghuni rumah panjang tersebut.

“Komputer riba yang diberikan secara percuma kepada penduduk rumah panjang ini bertujuan untuk mendedahkan mereka kepada penggunaan Teknologi Komunikasi Dan Maklumat (ICT).

“Saya akan mula mengagihkan komputer riber terbabit bermula tahun depan demi mendekati penghuni rumah panjang dengan kecanggihan kemudahan teknologi tersebut,” katanya.

Nyalau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat (Peringkat Bahagian Sri Aman) di Rumah Anggang, Nanga Mejong, Ulu Skrang, Engkilili baru-baru ini.

Beliua juga turut memberitahu bahawa sejumlah 1,400 buah unit komputer riba akan diagihkan kepada pelajar sekolah menengah di kawasan Parlimen Lubok Antu tahun depan.

Ia kata Nyalau adalah merupakan pemberian secara percuma buat kali kedua untuk mana-mana pelajar dalam kawasan Parlimen Lubok Antu yang belum memperoleh komputer terbabit sebelum ini.

“Pemberian komputer secara percuma ini sekaligus membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) amat bersungguh-sungguh mahu membantu rakyat dan pelajar sekolah di kawasan luar bandar.

“Justeru saya mengajak rakyat di negara ini terutama sekali dalam kawasan Parlimen Lubok Antu untuk terus memberi sokongan padu terhadap calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Cassiddy Morris, Pegawai Penerangan JASA Parlimen P.202 Sri Aman, Whelton Lumpoi, Pegawai Penerangan Parlimen JASA P.203 Lubok Antu, Geoffery Baja Ricky Maba dan ketua kaum di sini.

Tamat...



.



TBS Sri Aman turun padang bantu mangsa banjir di Pangkalan Pantu



Caption: TURUN PADANG...Shamsul (kiri) menyerahkan bantuan kepada Sheirena (kanan) sambil disaksikan oleh keluarga mangsa banjir di Pusat Pemindahan Bencana SJK Chung Hua Pantu kelmarin.

PANTU, Rabu (28 Dis) – Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) cawangan Sri Aman telah turun padang untuk menghulurkan bantuan kecemasan kepada mangsa banjir di kawasan Pangkalan Pantu kelmarin.

Bantuan kecemasan itu telah disampaikan kepada kesemua keluarga mangsa banjir menerusi Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Sri Aman, Sheirena Jeryin di Pusat Pemindahan Bencana, SJK Chung Hua Pantu.

Ketua Zon Selatan, Shamsul Bahri Manap ketika ditemui memberitahu bantuan kecemasan berupa barangan makanan dan minuman itu adalah merupakan inisiatif daripada pihaknya bagi membantu mengurangkan bebanan mangsa banjir.

“Pihak TBS cawangan Sri Aman amat prihatin terhadap masalah banjir yang melanda penduduk di kawasan Pangkalan Pantu pada masa sekarang khasnya dari segi perkara keperluan asasi mereka.

“Justeru pihak kita telah turun padang bagi menghulurkan bantuan kepada kesemua keluarga mangsa banjir ini,” katanya sambil menasihatkan ibubapa agar memantau pergerakan anak-anak ketika berlakunya musim banjir tersebut.

Shamshul turut memberitahu bahawa pihak TBS akan sentiasa mengambil berat hal ehwal penduduk yang dilanda musibah dan berharap agar mereka banjir sentiasa berhubung dengan pihak berwajib untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan.

Hadir sama dalam upacara penyerahan bantuan kecemasan kepada mangsa banjir Pangkalan Pantu itu ialah Pengerusi Urusetia Saudara Kita cawangan Pantu, Shahdan bin Abdullah.

Terdahulu seramai 30 buah keluarga terpaksa dipindah ke Pusat Pemindahan Bencana di SJK Chung Hua Pantu berikutan berlakunya kejadian banjir di kawasan mereka semenjak 25 Disember lepas.

Tamat.

100 mangsa banjir Pangkalan Pantu ditempat di SJK Chung Hua Pantu


Caption: BELUM SURUT...Gambar pada jam 9 pagi, 28 Disember ini menunjukkan jalan raya masih dinaiki air banjir dan menutup laluan masuk menuju ke penempatan penduduk di kawasan Pangkalan Pantu, Sri Aman.

PANTU, Rabu (28 Dis) – Sejumlah 100 orang mangsa banjir masih lagi ditempatkan di Pusat Pemindahan Bencana, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Pantu pada masa sekarang.

Seorang kakitangan petugas di situ ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini memberitahu kesemua mangsa banjir terbabit masih lagi belum menerima arahan pulang ke rumah ekoran kejadian banjir yang melanda kawasan tersebut pada 25 Disember lepas.

“Air bah masih lagi belum surut di kawasan Pangkalan Pantu pada masa sekarang. Justeru kesemua 100 orang mangsa banjir ini masih lagi ditempatkan di sini hingga masa sekarang,” katanya.

Katanya kesemua mangsa banjir yang direkodkan pada hari ini terdiri daripada 20 orang kanak-kanak, 67 orang dewasa dan 13 orang Warga Emas semenjak Pusat Pemindahan Bencana SJK Chung Hua Pantu mula dibuka pada 27 Disember lepas.

Sementara itu tinjauan rambang Utusan Sarawak pada jam 9 pagi hari ini (28 Disember) mendapati bahawa mangsa banjir mengambil kesempatan pulang ke rumah masing-masing untuk mengambil barangan peribadi dengan menggunakan perahu.

Ia berikutan banjir yang melanda Pangkalan Pantu semenjak malam 25 Disember itu masih belum surut disebabkan oleh faktor hujan lebat dan juga air pasang di kawasan Sungai Batang Strap.

“Air banjir pada malam tadi tidak meningkat dan juga tidak surut. Ia kekal seperti ini semenjak malam tadi hingga ke waktu pagi ini,” kata salah seorang mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemulihan banjir berkenaan.

Beliau mendakwa bahawa kejadian banjir yang melanda kawasan Pangkalan Pantu kali ini adalah lebih teruk berbanding dengan kejadian banjir yang melanda kawasan penempatan mereka pada 4 Disember lepas.

“Air bah kali ini lebih tinggi berbanding air bah pada 4 Disember lepas. Masalah ini menyebabkan ramai penduduk di Pangkalan Pantu mula melakukan persiapan untuk berbanding pada hari pertama sambutan perayaan Krismas,” katanya.

Utusan Sarawak turut mendapati bahawa hujan lebat berterusan pada 24 Disember lepas menyebabkan berlakunya kejadian pokok tumbang dan tanah runtuh (skala kecil) tidak jauh dari kawasan Sungai Tenggang, Pantu.

Tamat.



Part 5 - Rakaman Pentas Krismas (Program Jalinan Mesra 16 - 18 Disember 2011)

 Stonton @ Mujab mempamerkan aksi perut sambil menggoreng gitar

 Peserta Rentak Juara 2011 merangkap pemenang pertandingan mencari itit bergambar kenangan

 Mujab & Bunyau : "Mari menyanyi beramai-ramai...jingle bell jingle bell jingle all the way... no prebet,"
Maxwell  Saran:"Hari Gawai ley ley ley ley,"
Edwin : " Gawai? ermm? La la Hari Tahun Baru,"
(belakang dari kiri ke kanan) Jones Mukan, Rozilawati, Ita Medin, Depa Masterpiece : "Apa ini tulisan Turkistan?? Hentam la... selamat Hari Krismas,"


Part 4 - Program Rakaman Pentas Krismas (Program Jalinan Mesra)

 Kumpulan Pemenang Tempat Ketiga Pertandingan Rentak JUara 2011 mendapat hadiah berupa 
piala plastik dan pensil kaler daripada YB Simoi 

 Bassist : "Tengok wa tunjuk skill gulung Bass pakai kod D,"
Gitarist :"Fokus woi! Tengah bertanding ni. Masuk Kod G! kod G,"

 Mujab (kanan): "Ok adik tahniah sebab dapat cornflake. Lepas ni share pakai plastik ya,"
Bunyau : "i pun mau share jugak,"
Budak: "Bencilah,"

Edwin RTM : "Sekarang diumumkan keputusan pertandingan menembak unta dan menunggang itit,"
Penonton 1 : "Kan tadi pertandingan battle of the band?"
Penonton 2 : "Mungkin ini rancangan lawak. Jom gelak beramai-ramai,"

22 December, 2011

Happy Krismas 2011

Sri Aman News mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada semua geng geng blog ini. 
 See ya again on 28 Disember.

Part 3 - Candid Program Jalinan Mesra : Program Rakaman Pentas Krismas 2011

Natala : "Adik adik kakak kakak semua terima kasih sudi menonton konsert mega saya
kali ini. I love u all..,"

RTM : "Berani dia bilang ini konsert mega,"

Masterpiece : "Mulut madah sayau... tang pala aku palau.. yeh" - Lagu Sinu

Kiri--> Mujab (Stonton) : "Ok Bunyau. Konsert malam ini pecah rekod apabila 10 ribu itit hadir bagi menyaksikan konsert kita,"

Kanan --> Bunyau (Ken) : "Bangkak!! (mangkok)"

Ruth : "Terimalah kompang ni ya YB sebagai tanda perhargaan kami,"
YB Simoi : "Aik, kompang ker? Hari tu janji gitar karan,"

25 produk IKS disenarai dalam produk Coop 1 Malaysia


Caption:

1. TERIMALAH...Rohani menyampaikan replika cek kepada wakil Koperasi Al – Bait Sarawak iaitu Shamshul Bahri Manap sambil disaksikan (dari kiri) Masir, Ishak, Simoi dan Felecia pada majlis itu hari ini.

2. RASMI...Rohani sedang menunjukkan banner selepas selesai menyempurnakan simbolik perasmian majlis itu sambil disaksikan oleh (dari kiri) Masir, Ishak, Simoi dan Felecia pada majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Khamis (22 Dis) – Industri Kecil Sederhana (IKS) dalam negeri ini dinasihat untuk mengemukakan produk makanan masing-masing kepada Felda Trading agar ia dapat dijadikan sebagai produk Coop (Koperasi) 1 Malaysia selepas ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim berkata demikian kepada para pemberita selepas merasmikan Karnival Jualan Produk Koperasi di sini hari ini.

“Felda Trading akan memeriksa kualiti dan keupayaan pembekalan berterusan produk yang dikemukakan oleh sesebuah IKS itu sebelum ia boleh dijadikan sebagai produk Coop 1 Malaysia

“Ia kemudiannya dihantar kepada koperasi di seluruh negara dengan sasaran harga jualan berada dalam lingkungan antara 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada produk biasa di negara ini,” katanya.

Dengan Felda Trading berperanan penuh terhadap proses pembungkusan dan pemasaran produk itu maka usaha ini kata Rohani secara tidak langsung akan dapat mengangkat produk tempatan yang dihasilkan oleh IKS pada masa akan datang.

Selain itu Felda Trading kata Rohani juga telah pun memperkenalkan sejumlah 25 buah produk Coop 1 Malaysia dalam negara ini dengan 125 buah produk lagi akan diperkenalkan menerusi jenama itu pada tahun hadapan.

Kesemua produk Coop 1 Malaysia ini jelas beliau dijual dengan harga murah disamping mempunyai kualiti yang setanding dengan produk-produk berjenama yang berada di pasaran tempatan pada masa sekarang.

“Keistimewaan produk Coop 1 Malaysia ini ialah harganya dijual pada harga yang sama oleh semua koperasi mahupun peruncit Bumiputera dan Bukan Bumiputera di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Justeru harapan kita ialah memperkenalkan produk Coop 1 Malaysia di peringkat antarabangsa ketika berlangsungnya ekspo membabitkan koperasi dari seluruh dunia selepas ini,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa peruncit Bumiputera dan Bukan Bumiputera boleh menghubungi pembekal produk Coop 1 Malaysia daripada Koperasi Nilam (Zon Selatan), Koperasi Miri Port (Zon Utara) dan Koperasi Bintulu Port (Zon Tengah) jika mahu menjual produk tersebut di masa akan datang.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Peri, Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Haji Ishak Samdin.

Terdahulu Karnival Jualan Produk Koperasi anjuran SKM dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Sri Aman yang mempertengahkan pelbagai produk menarik dari koperasi ini telah pun berlangsung dari 21 hingga 23 Disember.

Tamat.

Kedai peralatan sekolah di Simanggang digalak sertai Program Back To School

Caption: RASMI...Felicia sedang memotong reben sebagai simbolik pelancaran program itu sambil disaksikan oleh Rahim (kiri) dan Kae Feng (kanan) serta tetamu khas yang lain pada majlis itu hari ini. 
 
SRI AMAN, Khamis (22 Dis) – Kedai yang menjual pakaian dan peralatan sekolah dalam kawasan Sri Aman digalak untuk menyertai Program Back To School yang telah pun dilancar baru-baru ini.

Justeru kedai yang berminat boleh memohon daripada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (PDNKK) Bahagian Sri Aman sekiranya berminat untuk menyertai program berkenaan.

Ketua Sekysen Penguatkuasaan, Kementerian PDNKK Sarawak, Mohd Rahim Ibrahim berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Program Back To School di Kedai One Stop Super Store, Sri Aman hari ini.

“Program Back To School ini mengalakkan para peniaga pakaian dan peralatan sekolah di negeri ini menjual barangan masing-masing pada harga diskaun kepada golongan pelajar.

“Dengan adanya perlaksanaan program ini maka para pelajar akan dapat membeli barangan keperluan sekolah masing-masing pada harga istimewa berbanding harga biasa sebelum bermulanya musim persekolahan tahun hadapan,” katanya.

Terdahulu majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Residen Bahagian Sri Aman (Sosial), Felicia Tan sambil disaksikan oleh Pengurus Kedai One Stop Super Store Sri Aman, Eg Kae Feng dan kakitangan PDNKK Bahagian Sri Aman yang lain.

One Stop Super Store Sri Aman ini telah menjadi kedai jualan pakaian dan peralatan sekolah pertama dalam bandar ini yang menyahut seruan program terbabit dengan menjual barangan tersebut pada harga diskaun.

Tamat.

Kalau mau 'stand' PRU13 mesti berani cakap - Rohani

SRI AMAN, Khamis (22 Dis) – Individu yang berhasrat menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang perlu bersikap lebih berani dalam mengumumkan hasrat mereka selepas ini.

Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim berkata individu terbabit tidak harus menggunakan orang lain bagi menyatakan kehendak diri sendiri untuk bertanding pada PRU13 akan datang.

“Ini perkara biasa menjelang musim pilihan raya. Akan muncul ramai individu yang mahu bertanding bagi sesebuah kawasan DUN atau parlimen itu dengan menggunakan tiket BN.

“Bagaimanapun jangan mempertikaikan keupayaan wakil rakyat BN sedia ada di kerusi yang ingin mereka tandingi. Jika mahu maka umumkanlah hasrat terbabit dan bukannya menggunakan kumpulan penduduk tertentu bagi tujuan itu,” katanya.

Selain itu Rohani juga melahirkan rasa kesalnya terhadap tindakan sesetengah pihak yang gemar ‘menganggu’ kawasan parlimen yang diduduki oleh wakil rakyat wanita dalam negeri ini.

Beliau juga turut menyatakan kesediaan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batang Lupar pada PRU13 sekiranya direstui oleh Pengerusi BN Pusat iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi BN Negeri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

“Saya sentiasa turun padang menemui rakyat dalam kawasan Parlimen Batang Lupar tanpa mengira musim pilihan raya atau tidak. Itu tugas saya sebagai wakil rakyat di sini dan ia haruslah sentiasa dilaksanakan,” katanya.

Tamat.

Harden tak sambut Krismas 2011 di Simanggang

Mugshot: DATUK FRANCIS HARDEN HOLLIS


SRI AMAN, Khamis (22 Dis) – Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis bersama keluarga tidak akan mengadakan sambutan Rumah Terbuka sempena perayaan Krismas 2011.

Beliau ketika menghubungi Utusan Sarawak memberitahu bahawa dia bersama keluarga kini sedang berada di luar negara pada masa sekarang hingga berlangsungnya sambutan utama bagi penganut Kristian itu nanti (25 Disember).

“Saya memohon maaf kepada semua penduduk dalam kawasan saya iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) N.27 Simanggang kerana tidak dapat bersama mereka untuk perayaan Krismas tahun ini.

“Justeru saya bersama keluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut perayaan Hari Krismas 2011 kepada semua penganut Kristian dalam kawasan DUN Simanggang,” katanya.

Beliau juga berharap agar penganut Kristian dalam kawasan DUN Simanggang dapat meneruskan semangat 1 Malaysia dengan memeriahkan sambutan Krismas bersama rakan bukan seagama yang lain pada 25 Disember ini nanti.

Tamat.





Masir sokongn PRU13 diadakan sebelum bulan Mei 2012


Mugshot: MASIR KUJAT

SRI AMAN, Khamis (22 Dis)  – Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat amat bersetuju sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU) diadakan pada bulan Mac atau pun bulan Mei tahun hadapan.

Katanya adalah lebih baik sekiranya PRU13 diadakan pada bulan Mac atau Mei memandangkan terdapatnya petanda krisis ekonomi dunia yang sedang melanda beberapa buah negara maju pada masa sekarang.

“Kita tidak mahu masalah ekonomi sedunia yang bakal merebak ke lain-lain negara dunia pada masa akan datang memberi impak terhadap negara lebih-lebih lagi sebelum berlangsungnya PRU13.

“Justeru saya amat bersetuju sekiranya PRU13 diadakan sebelum impak masalah ekonomi dunia melanda negara ini iaitu pada bulan Mac ataupun pada bulan Mei tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Simbolik Penyerahan Cek Replika Bantuan Khas Persekolahan RM100 Untuk Pelajar Sekolah bagi Parlimen Sri Aman di Hotel Hoover Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu Masir juga akan menggunakan jentera pilihan raya dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang, Balai Ringin dan Bukit Begunan bagi menghadapi PRU13 kelak.

“Saya sudah pun membuat persediaan bagi menghadapi PRU13 kelak dengan turun padang untuk meninjau masalah rakyat dalam kawasan Parlimen Sri Aman dari masa ke semasa.

“Paling penting ialah rakyat dalam kawasan Parlimen Sri Aman haruslah terus menyokong Barisan Nasional (BN) demi memastikan pembangunan berterusan di kawasan mereka selepas ini,” katanya.

Terdahulu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang telah menerima replika cek bantuan persekolahan bernilai RM94,100 sambil diikuti oleh SK Selanjan (RM6,300) dan SK Bangkong (RM15,400) menerusi majlis itu.

Hadir sama ialah Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Jamit Ajok, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Yusuf Haji Lugom dan Yang Dipertua Majlis Guru Besar Sri Aman, Louis Aom.

Tamat.





KRT Kampung Muhibbah jayakan rondaan kampung



 
Caption:

1. SEDIA BERKHIDMAT...Latipah (duduk tengah) sambil diapit oleh Ramli (duduk kiri) bergambar kenangan bersama anggota yang lain sebelum bermulanya SRS di Kampung Muhibbah malam kelmarin.

2. PENERANGAN...Ramli sedang memberi taklimat mengenai disiplin sebelum bermula sesi rondaan keselamatan di Kampung Muhibbah malam kelmarin.

SRI AMAN, Khamis (22 Dis) – Kawalan keselamatan penduduk di Kampung Muhibah, Sri Aman diperkukuhkan lagi dengan adanya aktiviti Skim Rondaan Sukarela (SRS) di kawasan kampung berkenaan malam kelmarin.

Aktiviti yang diketuai oleh Rami Abu Sera sambil dipengerusikan oleh Latipah Mantali dan disertai seramai 10 orang angggota sedia berkhidmat dari kampung berkenaan telah pun memulakan rondaan mereka sekitar jam 8 malam.

Ramli ketika ditemui berkata aktiviti SRS ini telah melibatkan rondaan oleh kesemua anggota bermula dari kawasan lorong 1B hingga ke lorong 27B dalam kampung berkenaan.

“SRS ini merupakan salah satu usaha daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Muhibbah untuk membantu mengurangkan kes jenayah yang berlaku dalam kawasan ini dari masa ke semasa.

“Dengan adanya SRS terbabit pihak kami yakin bahawa kegiatan jenayah akan dapat dibasmi dalam kawasan Kampung Muhibbah dan sekaligus membantu pihak polis mengurangkan kadar jenayah di Sri Aman selepas ini,” katanya.

Justeru beliau berharap agar penduduk Kampung Muhibbah bersama-sama menjayakan perlaksanaan SRS itu demi mencegah aktiviti jenayah seperti pecah rumah di kawasan penempatan masing-masing pada masa akan datang.

“Keselamatan kampung sebenarnya bergantung kepada kerjasama semua penduduk. Perlaksanaan SRS ini misalnya adalah salah satu platform penting bagi mewujudkan semangat kerjasama di antara semua penduduk pada masa akan datang,” katanya.

Tamat.

Ruangan Menjejak Denai Kejayaan : Bivinia Betty usahawan salon berjaya di Simanggang







Caption:

1. USAHAWAN...Minat telah mendorong Betty menceburi bidang saloon di Bandar Sri Aman pada usia 22 tahun.

2. BERKUALITI...Biviana Unisex Hair Saloon menawarkan pelbagai produk berkualiti dan berjenama tinggi demi kepuasan pelanggannya dari dulu hingga sekarang.

3. SELAMAT DATANG...Betty bersama pekerja iaitu Lim Mei Yek, Nas dan Vensheal Nicy Tan Lian Keaw di hadapan premis Biviana Unisex Hair Saloon ketika ditemui hari ini.

4. UNTUK DISEWA... Biviana Unisex Hair Saloon juga turut menyediakan pakaian pengantin khas untuk disewa oleh para pelanggan yang berminat dalam bandar ini.

5. UNIK...Gambar menunjukkan rupa hiasan ruang dalam premis Biviana Unisex Hair Saloon yang mengekalkan ciri-ciri tradisional sesuai dengan identiti pemiliknya.

6. SIBUK...Pekerja Biviana Unisex Hair Saloon sedang melakukan proses meluruskan rambut salah seorang pelanggannya.

7. TUNGGU GILIRAN...Para pelanggan ternyata sanggup menunggu di luar Biviana Unisex Hair Saloon hanya disebabkan mahu mendapatkan perkhidmatan premis berkenaan.

- 21 Disember

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat kaum Iban di Sri Aman juga mampu mengukir kejayaan dalam mana-mana bidang perniagaan yang mereka ceburi selama ini.

Kemahuan dan kesungguhan mereka nyata sudah terbukti selama ini dengan pembabitan diri masing-masing dalam bidang perniagaan restoran, jualan alat binaan dan beberapa jenis perniagaan yang selama ini dimonopoli oleh kaum Bukan Bumiputera.

Untuk itu Utusan Sarawak berkesempatan menemubual Biviana Betty anak Reba iaitu satu-satunya peniaga salon kecantikan berketurunan Iban yang beroperasi dalam Bandar Sri Aman ini.

Pemilik premis Biviana Unisex Hair Saloon itu telah mula menceburi bidang perniagaan terbabit semenjak dari tahun 1996 dan nyata meraih kejayaan cemerlang setanding dengan pemilik saloon Bukan Bumiputera dalam bandar ini hingga sekarang.

“Saya mula menceburi bidang ini pada usia 22 tahun dengan membuka premis Biviana Unisex Hair Saloon yang beroperasi berdekatan kawasan Taman Tebingan Sungai Batang Lupar sebelum berpindah ke Gerai Mara di Jalan Counsil pada tahun 1998.

“Dengan menggunakan modal sendiri lebih dari RM50,000, Biviana Unisex Hair Saloon nyata sudah setanding dengan lain-lain salon dalam bandar ini berdasarkan kepada sambutan pelanggan dan mutu perkhidmatannya hingga sekarang,” kata beliau.

Dengan berbekalkan minat dan dorongan yang tinggi daripada suami iaitu Mullen Edward Landong, Betty sanggup memulakan perniagaan terbabit sambil belajar demi mendapatkan sijil bagi tujuan itu di Melisan Beauty Centre dalam bandar ini.

Tidak cukup dengan itu beliau juga meneruskan pembelajarannya di Roses Hair And Beauty Centre Studio di Sibu pada tahun 2003, Akademy Diploma Award Toni And Guy (Kuala Lumpur, 2007), Akademy Diploma Award Thomas And Guy (Kuala Lumpur, 2009) dan S.T.R Education College (Kuala Lumpur, 2010).

“Kemahiran saya dalam bidang ini turut dimantapkan lagi dengan adanya bimbingan kursus dari MARA iaitu Kursus Pengurusan Kewangan, Asas Perakauan, Winda Dressing, Pembangunan Penyewa, Simpan Kira-Kira Asas dan Pengurusan Kewangan, Seminar Kejayaan Keusahawan.

“Kesemua kursus terbabit secara tidak langsung telah memantapkan lagi ilmu pengetahuan dalam diri saya bagi memantapkan lagi pengurusan dan operasi Biviana Unisex Hair Saloon,” menurut beliau.

Sambil dibantu oleh tiga orang pekerjanya iaitu Lim Mei Yek, Nas dan Vensheal Nicy Tan Lian Keaw, Biviana Unisex Hair Saloon menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan kepada pelanggan dalam bandar ini.

Antara perkhidmatan terbabit kata Betty adalah gunting rumbit, lurus rambut, dye rambut, cuci rambut, cabut bulu muka, cabut bulu kening, rawatan rambut, pakej perkahwinan, kek perkahwinan dan solekan untuk majlis makan malam.

Selain itu Biviana Unisex Hair Saloon kata beliau juga menawarkan pakej bergambar dengan menggunakan pakaian tradisional yang mencakupi etnik Orang Ulu dan Dayak dalam negeri ini.

Dengan kadar bayaran perkhidmatan yang berpatutan, Biviana Unisex Hair Saloon kata beliau akan menjanjikan kepuasan kepada mana-mana pelanggan yang mahu mencuba perkhidmatan mereka selepas ini.

“Para pelanggan boleh datang sendiri ke Biviana Unisex Hair Saloon, Bridal And Tailor mulai sekarang jika mereka ingin mencuba dan mengetahui lebih lanjut tentang harga setiap perkhidmatan di sini,” katanya.

Usahawan muda yang meniti usia 37 tahun pada masa sekarang ini telah menyimpan hasrat untuk membuka cawangan Biviana Unisex Hair Saloon di Bandar Betong dalam masa terdekat kelak.

“Saya akan membuka cawangan Biviana Unisex Hair Saloon di Betong jika sudah melatih seorang pembantu yang berkemahiran serta berkebolehan bagi tujuan itu selepas ini,” katanya.

Betty turut menambah bahawa Biviana Unisex Hair Saloon akan menyediakan pakej diskaun untuk perkhidmatan di saloon ini acapkali menjelang perayaan utama di negeri ini.

Terdahulu Biviana Unisex Hair Saloon merupakan satu-satunya saloon yang diusahakan oleh individu Bumiputera dalam Bandar Sri Aman dan sering menjadi tumpuan puluhan orang pengunjung pada setiap hari ini.

Selain tawaran perkhidmatan kepada pelanggan, Biviana Unisex Hair Saloon juga pernah menempah nama menerusi penganjuran fesyen pakaian pengantin dan Pekit Kumang dalam negeri ini.

Saloon yang terletak berdekatan dengan bangunan EON Bank cawangan Sri Aman itu beroperasi dari jam 8 pagi hingga 6 petang pada setiap hari dan adakalanya hingga waktu malam bergantung kepada jumlah pelanggan.

Tamat.