Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

29 April, 2010

Part III - candid final day of Pesta Benak Sri Aman 2010







Part II - candid final day of Pesta Benak Sri Aman 2010






















Part I - candid final day of Pesta Benak Sri Aman 2010
















Pesta Benak bakal ubah wajah Sri Aman menerusi internet - Harden


Caption: TAHNIAH...Harden sedang menyampaikan hadiah kepada pemenang sambil disaksikan oleh Simoi (dua kiri) dan Shamshuddin (tiga kanan) pada majlis itu malam tadi.

SRI AMAN, Isnin (3 Mei) Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis optimis bahawa Pesta Benak Sri Aman 2010 bakal mengubah wajah pembangunan Sri Aman selepas ini.

Katanya Pesta Benak telah mempromosi produk pelancongan alam semulajadi di Sri Aman yang sekaligus dapat mengangkat prestij bandar ini terhadap penduduk luar negara pada masa akan datang.

“Pengunjung akan bercerita dengan rakan mereka yang lain mengenai keunikan fenomena Benak di Bandar Sri Aman menerusi kemudahan internet yang kian popular pada masa sekarang.

“Internet boleh diakses secara bebas oleh penduduk seluruh dunia pada masa sekarang. Justeru menerusi promosi secara tidak langsung ini maka adalah tidak mustahil sekiranya Pesta Benak Sri Aman akan menerima lebih ramai pengunjung pada masa akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutupan Pesta Benak Sri Aman 2010 di Pentas Kebudayaan Pesta Benak malam tadi.

Peningkatan populariti Pesta Benak di masa akan datang kata Harden sekaligus juga akan menyumbang perkembangan pelbagai industri yang terdapat dalam Bandar Sri Aman selepas itu.

“Industrti perkhidmatan, penginapan dan penyediaan makanan dijangka akan berkembang dengan adanya pertambahan jumlah pengunjung ke sambutan pesta yang seterusnya di masa akan datang.

“Ia secara tidak langsung akan menyumbang kepada peningkatan taraf hidup penduduk dari segi perolehan ekonomi dalam kawasan Sri Aman bukan sahaja ketika berlangsung Pesta Benak malah pada hari kebiasannya,” kata beliau.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji dan timbalannya, Felicia Tan.

Majlis Penutupan Pesta Benak Sri Aman 2010 malam tadi telah dimeriahkan lagi dengan Pertandingan Ngajat Iban, Persembahan Kebudayaan, Persembahan Nyanyian oleh Kumpulan Kugiran Rythm Of 1Malaysia, Pertandingan Shuffle, Persembahan tandak Melayu dan sebagainya.

Tamat.

Sri Aman banyak wira - Shamshuddin


Caption: INGIN TAHU...Awang (kiri) ketika bercakap kepada pihak media sambil disaksikan oleh Shamshuddin (kanan) pada majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Isnin (3 Mei) – Nama Sri Aman sebenarnya cukup gah dengan kelahiran beberapa tokoh perang yang pernah berjuang menentang komunis di negara ini pada sebelum atau selepas Persekutuan Malaysia ditubuhkan dahulu.

Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji berkata nama seperti Awang anak Raweng dari Nanga Skrang dan Temenggung Kanang anak Langkau yang kini menetap di Putat adalah merupakan antara beberapa orang tokoh perang yang pernah berjuang menentang komunis dalam negara ini pada suatu masa dahulu.

“Keberanian mereka menentang komunis bukan sahaja mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Malaysia bahkan ada juga anak jati Sri Aman kita yang mendapat pengiktirafan daripada kerajaan British.

“Ia terbukti apabila Awang Raweng hanya merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang menerima anugerah pingat George Cross daripada kerajaan British ketika perang menentang gerila komunis di Kluang, Johor pada tahun 1951 dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berlangsungnya sidang media bersempena dengan Majlis Penyerahan Insentif Kepada Bekas Petugas Keselamatan Semasa Zaman Pemerintahan British iaitu Awang anak Raweng yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Pejabat Residen Sri Aman hari ini.

Demi mengenang jasa dan pengorbanan tokoh terbabit kata Shamshuddin maka sudah tibanya untuk semua penduduk Sri Aman mempelajari dan mengetahui kisah perjuangan mereka ketika menentang pihak komunis dengan penuh berani pada masa dahulu.

Golongon generasi muda misalnya menurut beliau harus diterapkan dengan semangat nasionalisme yang tinggi menerusi kisah perjuangan tokoh-tokoh perang supaya ia terus kekal menjadi ingatan dan kebanggaan masing-masing di masa akan datang.

“Usaha perjuangan menentang komunis bukannya mudah sebelum atau selepas Malaysia baru dibentuk pada masa dahulu. Perjuangan mereka ini harus dihargai oleh semua pihak terutama sekali golongan generasi muda selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kebajikan Veteran Keselamatan Sarawak, Mejar Monday Juhit, Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan, Temenggung Kanang anak Langkau, Pengerusi Persatuan Bekas Tentera Malaysia Sri Aman, Nalang Selingau, PWI (Bersara) Beliang Bali dan para penerima elaun yang lain.

Pingat George Cross merupakan satu-satunya anugerah pingat tertinggi oleh kerajaan British terhadap orang awam yang pernah menyumbang bakti terhadap bekas kerajaan kolonial berkenaan terutama sekali ketika perang manakala pingat Victoria Cross pula merupakan anugerah pingat tertinggi terhadap individu tentera British yang berjuang untuk negara berkenaan ketika perang.

Awang Raweng berkhidmat sebagai Penjejak Hutan (Jungle Tracker) ketika berkhidmat dengan Angkatan Diraja Tentera British pada tahun 1951 di Kluang, Johor. Beliau menerima anugerah pingat George Cross memandangkan beliau adalah orang awam.

Tamat.

Pesta Benak Sri Aman 2010 berakhir


Caption: BORONG HABIS GENG!Gambar menunjukkan para pengunjung yang sedang membanjiri Gerai Bazaar Ria Pesta Benak pada hari terakhir sambutan pesta berkenaan malam tadi.

SRI AMAN, Isnin (3 Mei) - Benak Sri Aman 2010 telah berakhir secara rasminya dalam bandar ini malam tadi semenjak ia bermula pada 28 April lepas.

Sudah tentunya Bandar Sri Aman telah menerima lebih 20,000 pengunjung dari dalam dan luar kawasan Sri Aman tanpa mengira umur, latar belakang agama dan etnik kaum di negeri ini.

Tinjauan rambang Utusan Sarawak pada malam tadi mendapati bahawa ribuan orang pengunjung membanjiri kawasan Bazaar Ria untuk membeli barangan atau produk tertentu.

Para pengujung berpeluang untuk berbuat demikian setelah para peniaga mula menutup operasi Gerai Bazaar Ria di beberapa kawasan tertentu dalam bandar ini melainkan di laluan Main Bazaar dan kawasan Jalan Astana.

Selain itu para pengunjung juga turut tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan Pertandingan Benak Idol di Pentas Sri Aman Kitchen dan Majlis Penutupan Pesta Benak Sri Aman 2010 di Pentas Kebudayaan Pesta Benak.

Majlis Penutupan Pesta Benak Sri Aman 2010 yang disempurnakan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis merupakan simbolik penutupan Pesta Benak bermula 28 April hingga 2 Mei.

Secara keseluruhannya sambutan Pesta Benak Sri Aman 2010 telah memberikan kepuasan terhadap semua pengunjung yang hadir bagi memeriahkan penganjuran pelbagai acara menarik dalam bandar ini.

Sambutan selama lima hari Pesta Benak ini membolehkan para pengunjung untuk menyaksikan acara Regatta, Sukaneka Air, Pertandingan Rythm Of 1Malaysia, Sri Aman Kitchen, Pameran, Bazaar Ria, Wayang Pacak, Persembahan Kebudayaan, Pertunjukkan Bunga Api dan banyak lagi.

Seorang penduduk, Gabriel Genut, 22, ketika ditemui menjelaskan bahawa Bandar Sri Aman tiba-tiba menjadi amat sepi selepas tamatnya sambutan Pesta Benak Sri Aman 2010 malam tadi.

“Pesta Benak kali ini dianggap amat menarik. Tentulah hanya pada hari terakhir sambutan Pesta Benak barulah hujan turun menyebabkan kurangnya kehadiran penduduk pada waktu pagi kelmarin.

“Menyaksikan kedatangan Benak berketinggian 6.3 meter di Sungai Batang Lupar pada hari Jumaat lepas adalah pengalaman paling bermakna untuk diri saya. Ditambahi pula kemeriahan sambutan Pesta Benak 2010 tetap akan diingati oleh saya selepas ini,” katanya.

Tamat.





Awang Raweng terima elaun Kerajaan Malaysia


Caption: PENGHARGAAN...Shamshuddin (kiri) sedang menyampaikan elaun tertangguh kepada Awang (kanan) sambil disaksikan oleh Monday (lima kiri), Felicia (dua kanan), tetamu jemputan dan penerima pada majlis itu.

SRI AMAN, Isnin (3 Mei) – Jabatan Hal Ehwal Kebajikan Veteran Keselamatan Sarawak telah menyampaikan elaun tertangguh, elaun pencen dan bantuan kebajikan kepada tiga orang penerima menerusi majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Pejabat Residen Sri Aman hari ini.

Tiga orang penerima berkenaan ialah Awang anak Raweng dari Nanga Skrang, Ika anak Maweng dari Gua Sukat dan Istella anak Miaw, balu kepada mendiang Backer Noda Bali.

Penerima pertama iaitu Awang anak Raweng, 81, telah menerima elaun tertunggak daripada Kerajaan Malaysia yang telah berkuatkuasa pada 1 Julai 2009. Beliau telah menerima bayaran elaun bulanan sebanyak RM2,000 berkuatkuasa pada tarikh berkenaan.

Elaun terbabit adalah merupakan pengiktirafan Kerajaan Malaysia terhadap sumbangan beliau yang juga telah dianugerahkan pingat George Cross oleh Kerajaan British pada awal tahun 1960 dahulu ketika usaha menentang keganasan komunis di Kluang, Johor pada tahun 1951.

Dalam kejadian itu Awang Raweng mengalami kecederaan parah di bahagian paha kiri dan lengan kanan ketika bertempur dengan pengganas komunis di Kluang, Johor bersama dua orang lagi anggota pasukan Tentera Diraja British.

Manakala itu penerima kedua pula ialah Ika anak Maweng dari Kampung Gua Sukat, Sri Aman. Beliau telah menerima bantuan kebajikan pada majlis itu di atas jasa beliau ketika berkhidmat sebagai Penjejak Hutan (Jungle Tracker) pada era darurat dahulu.

Seterusnya Istella anak Miau telah menerima bantuan berupa elaun pencen bulanan daripada Jabatan Hal Ehwal Kebajikan Veteran Keselamatan Sarawak demi mengenang jasa mendiang suaminya Backer Noda Bali yang mati dalam perkhidmatan ketika berkhidmat untuk Angkatan Tentera Malaysia.

Residen Bahagian Sri Aman telah diberikan penghormatan untuk menyampaikan sumbangan berkenaan kepada para penerima pada majlis yang berlangsung di bilik mesyuarat, pejabat beliau bermula jam 10 pagi.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kebajikan Veteran Keselamatan Sarawak, Mejar Monday Juhit, Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan, Temenggung Kanang anak Langkau, Pengerusi Persatuan Bekas Tentera Malaysia Sri Aman, Nalang Selingau, PWI (Bersara) Beliang Bali dan para penerima elaun yang lain.

Tamat.


Bunga api meriahkan malam pesta benak


UNIK...Seorang pengunjung sedang menyaksikan pertunjukkan Bunga Api yang diadakan pada malam sambutan hari ketiga (30 April) Pesta Benak Sri Aman 2010 dalam Bandarn Sri Aman. Pertunjukkan Bungi Api di langit Bandar Sri Aman telah berlangsung selama 15 minit selepas ia dilancarkan sekitar jam 10.20 hingga 10.35 malam. Secara keseluruhan Pesta Benak Sri Aman 2010 telah berjaya menarik kedatangan 20,000 orang pengunjung bermula 28 April hingga 2 Mei lepas. - 3 Mei

'Ikan Tapah' di simpang Pantu kena conteng


Caption: MEMALUKAN...Replika Ikan Tapah di simpang jalan masuk menuju ke Pekan Pantu diconteng oleh pihak tidak bertanggungjawab baru-baru ini.

PANTU, Ahad (2 Mei) – Perbuatan vandalisme sememangnya sering berlaku terhadap harta benda persendirian, swasta dan kerajaan di mana-mana kawasan dalam negeri ini khasnya di kawasan Sri Aman.

Terbaru perbuatan vandalisme yang dianggap paling memalukan di kawasan daerah kecil Pantu telah berlaku kelmarin apabila terdapat pihak yang sengaja menconteng replika Ikan Tapah di persimpangan jalan masuk menuju ke Pekan Pantu.

Pihak tidak bertanggungjawab ini telah bertindak menyembur ikon Pekan Pantu ini dengan menulis perkataan lucah dan ayat BN (Barisan Nasional) Tipu di sudut badan utama replika Ikan Tapah terbabit.

Replika patung Ikan Tapah yang telah dipagarkan oleh pihak kerajaan sekitar tiga minggu lepas nampaknya tidak berkesan untuk menghalang perbuatan vandalisme dikalangan pihak tertentu yang semestinya mempunyai motif politik untuk bertindak sedemikian kelmarin.

Pada pandangan penulis orang biasa tidak akan bersusah payah mahu memanjat pagar terbabit hanya semata-mata untuk menconteng perkataan berunsur politik pada replika berkenaan melainkan sekiranya mereka diupah oleh pihak tertentu untuk berbuat demikian sebelum ini.

Maklumlah pilihan raya negeri mungkin akan berlangsung pada akhir tahun ini atau pertengahan tahun hadapan. Pihak tertentu sudah tertentunya mengambil kesempatan ini untuk melakukan perbuatan vandalisme terhadap mana-mana harta kerajaan untuk tujuan politik kotor masing-masing.

Sama ada BN tipu atau tidak itu bukan perkara utama yang perlu diutarakan di sini. Pihak terbabit harus menghormati harta benda kerajaan, swasta atau persendirian terutamanya replika Ikan Tapah yang menjadi kebanggaan penduduk Pantu selama ini.

Menconteng replika Ikan Tapah di simpang Pantu hanya akan mendatangkan kebencian penduduk terhadap pihak yang sengaja melakukan perbuatan ini hanya semata-mata untuk kepenting politik masing-masing.

Lagipun Pesta Ikan Tapah Pantu mungkin akan berlangsung pada penghujung bulan Mei ini di Pekan Pantu. Perbuatan ini mungkin akan mengaibkan penduduk Pantu itu sendiri dikalangan pengunjung luar selagi-lagi replika Ikan Pantu ini tidak dicat semula selepas ini.

Sebenarnya mana-mana pihak pun bebas menyuarakan rasa tidak puashati masing-masing berhubung isu pembangunan penduduk dalam kawasan masing-masing dan politik di negeri ini.

Bagaimanapun menconteng replika Ikan Tapah Pantu sebenarnya mengambarkan kebodohan pihak itu sendiri memandangkan terdapat banyak akhbar yang bukan pro-kerajaan di kawasan Sri Aman untuk mereka meluahkan rasa tidakpuas hati masing-masing selepas ini.

Justeru diharap agar perbuatan vandalisme seumpama ini dapat dihentikan pada masa akan datang. Amalkan sikap politik yang ‘bersih’ sekiranya mahu berkempen pada pilihan raya negeri akan datang dan bukannya bertindak harta benda awam untuk kepentingan diri masing-masing selepas ini.

Tamat.







Tengok Benak - Sambutan Hari pekerja amat bermakna


Caption: UNIK...Fenomena Benak dengan ketinggian 6.2 meter kelihatan sedang menyusuri Sungai Batang Lupar Sri Aman ketika berlangsungnya Hari Pekerja kelmarin.

SRI AMAN, Ahad (2 Mei) – Sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei lalu secara tidak langsung telah memberi peluang kepada orang ramai untuk sama-sama meriahkan sambutan hari ke-4 Pesta Benak Sri Aman 2010 di sini kelmarin.

Lebih bermakna lagi ialah apabila orang ramai terutamanya para pekerja swasta berpeluang membawa saudara-mara dan sahabat handai masing-masing untuk menyaksikan fenomena Benak yang menyusuri Sungai Batang Lupar Sri Aman lewat petang kelmarin.

Rata-rata golongan terbabit termasuk ribuan para pengunjung yang lain mula membanjiri kawasan Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman bermula dari kawasan kuil hinggalah ke Kubu Alice Sri Aman seawal jam 5 petang untuk menyaksikan benak di situ.

Penantian mereka berakhir satu jam kemudian apabila fenomena Benak tiba di kawasan Dermaga Sungai Batang Lupar berkenaan pada jam 6.04 petang dengan ketinggiannya mencecah paras ketinggian 6.2 meter dari aras Laut China Selatan.

Walaupun ketinggian Benak menurun berbanding 6.3 meter pada hari Jumaat lalu kedatangan fenomena terbabit di Sungai Batang Lupar dilihat mengamit hati ribuan orang pengunjung yang tidak melepaskan peluang untuk merakamkan video dan gambar fenomena Benak terbabit.

Fenomena Benak bagaimanapun hanya menyusuri di hadapan mata ribuan orang pengunjung selama lima minit di Taman Tebingan Sungai Batang Lupar ini sebelum kesemua mereka bersurai selepas itu.

Terdahulu sambutan hari ke-4 Pesta Benak Sri Aman 2010 diserikan dengan Pertandingan Memancing, Sukaneka Air, Sukan Rakyat, Pameran Motor Berkuasa Tinggi, Sayembara Deklamasi Puisi Benak Meniti 1Malaysia, Regatta dan Konsert Astro Live.

Sambutan Pesta Benak Sri Aman 2010 telah dirasmikan oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud pada 28 April lalu yang seterusnya merasmikan pelancaran Buku Sri Aman Mansang Maju.

Tamat.

Guna pendekatan 3B dekati rakyat - Wahbi


Caption: UNTUK ALBUM...Wahbi (duduk tengah) ketika merakamkan gambar kenang-kenangan bersama peserta kursus.

BETONG, Ahad (2 Mei) – Kerajaan akan menggunakan pendekatan 3B iaitu ‘Bercakap, Bersurat dan Berbuat’ untuk menambahkan keyakinan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas terhadap Barisan Nasional (BN) selepas ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Dr Haji Wahbi Junaidi berkata pendekatan 3B ini penting untuk mengembalikan keyakinan penduduk Saribas yang telah terkeliru oleh fitnah dan hasutan pihak pembangkang sebelum ini.

“Pertama iaitu Bercakap: AJK termasuk ketua ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di setiap ranting hendaklah pandai bercakap untuk menerangkan dasar pembangunan dan politik kerajaan disamping mengetengahkan isu semasa yang relevan dan tidak mengelirukan.

“Kedua iaitu Bersurat: Menggunakan bahan cetakan seperti keratan akhbar dan kenyataan oleh pemimpin BN Sarawak mahupun di Semenanjung Malaysia yang menerangkan kejayaan kerajaan dalam membantu rakyat termasuk,” katanya.

Satu lagi pendekatan iaitu Berbuat kata Wahbi merupakan kesinambungan dari Bercakap dan Bersurat iaitu tindakan mengotakan janji kerajaan dengan memberi kemudahan jalan, bekalan air bersih, kebajikan, bantuan kepada penduduk miskin dan kepada gologan yang memerlukan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Bela Nusa anjuran PBB cawangan N.30 Saribas dengan kerjasama RELA, JASA dan KEMAS Betong bertempat di Dewan Pahlawan Tujuh, Kampung Bungin Spaoh, Betong baru-baru ini.

Selain itu kawasan Saribas menurut Wahbi juga telah menerima banyak pembangunan seperti pembinaan jalan Tui – Pusa dan Jalan Manggut - Tui yang menelan peruntukan bernilai jutaan ringit sebelum ini.

“Manakala kerajaan pula akan membina ban di kawasan Debak bagi menambat kemasukan air yang boleh menyumbang kepada kejadian banjir disamping juga mengemskinikan sistem peparitan untuk kemudahan penduduk di situ.

“Penghuni Iban dari rumah panjang di sekitar kawasan Saribas juga tidak dikecualikan dari mendapat peruntukan kerajaan dan ia terbukti apabila kerajaan telah memberi cek peruntukan kepada penduduk rumah panjang Dit, Debak dan pemberian cek bantuan kepada beberapa rumah panjang di sekitar kawasan Saribas,” katanya.

Justeru Wahbi berharap agar penduduk di kawasan Saribas tidak mudah terpengaruh dengan hasutan pihak tertentu menjelang pilihan raya negeri akan datang demi pembangunan yang berterusan daripada BN selepas ini.

Kursus yang diadakan selama tiga hari itu telah disertai oleh AJK cawangan dan Ranting N.30 Saribas. Seramai 60 org telah berjaya menamatkan kursus dan memperolehi sijil masing pada majlis berkenaan.

Hadir sama ialah Penghulu Kampung Bungin, Haji Seliman Bujang, Ketua Kampung Bungin, Haji Mat Yakop, ketua peserta kursus iaitu ASP (Bersara) haji Piee Alwi, penceramah dari Jabatan Hal Ehwal Khas, Awang Dzulkarnain Ali dan penceramah KEMAS, Norkusaiani Bujang.


Tamat.


Cyber Croc juara Rythm Of 1Malaysia











Caption: UNTUK ALBUM...Para kumpulan pemenang merakamkan gambar kenangan bersama Yusli (duduk tengah kanan), Zaidi (duduk tengah kiri) dan petugas Pertandingan Rythm Of 1Malaysia yang lain di sini hari ini.

SRI AMAN, Ahad (2 Mei) – Kumpulan Cyber Croc muncul juara Pertandingan Ryhtm Of 1Malaysia menerusi pertandingan peringkat akhir yang berlangsung di Minis Stadium Sri Aman hari ini.

Cyber Croc yang berjaya membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM800 menerusi Pertandingan Ryhtm Of 1Malaysia ini muncul juara setelah mengumpul mata sebanyak 66.34 peratus menerusi persembahan lagu berjudul Semangat Lamina dan Bengang.

Kedudukan tempat ke-2 pula dimenangi oleh kumpulan Short-C-Cute yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM600 menerusi persembahan lagu berjudul Dari Kaca Mata dan Debunga Wangi.

Kumpulan dari Saratok, Muhibbah Studio berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM400 setelah menduduki tempat ke-3 dalam pertandingan ini menerusi persembahan lagu berjudul Kesal dan Kamar Unggu.

Dua buah lagu kumpulan yang berjaya membawa pulang hadiah wang saguhati bernilai RM200 pada Pertandingan Ryhtm Of 1Malaysia ini ialah kumpulan Inspirasi dan Un X’treme.

Kumpulan Inspirasi mempersembahkan lagu berjudul Madah Berhelah dan Aku Stesy manakala kumpulan Un X’treme pula mempersembahkan lagu berjudul Diari Habil Qabil dan Musibah.

Lima buah kumpulan yang layak ke peringkat akhir Pertandingan Ryhtm Of 1Malaysia berkenaan hari ini ialah kumpulan D’addario, The Weapon, Ameringgo, D SE 3rd Generation dan Norinaki.

Kesemua lima buah kumpulan yang memperoleh kedudukan tempat pertama hingga kelima dalam Pertandingan Ryhtm Of 1Malaysia ini kemudiannya dijemput untuk melakukan persembahan khas di Pentas Kebudayaan Pesta Benak pada malam itu.

Pertandingan peringkat akhir Ryhtm Of 1Malaysia turut disaksikan oleh Pegawai Perpaduan dan Intergrasi Nasional Bahagian Sri Aman, Mohd Yusli Nasir, SAO Zaidi Sarkawi, Timbalan Pengerusi KRT Kampung Muhibah, Ramli Abu Sera dan 500 orang penduduk dalam bandar ini.

Terdahulu sejumlah 35 buah kumpulan mengesahkan penyertaan masing-masing dalam Pertandingan Rythm Of 1Malaysia yang bakal berlangsung di Mini Stadium Sri Aman yang bermula pada 30 April.

Tamat.

Part VI - Candid sekitar sambutan Pesta Benak Sri Aman 2010 28 April - 2 Mei
















Part V - Candid sekitar sambutan Pesta Benak Sri Aman 2010 28 April - 2 Mei
















Part IV - Candid sekitar sambutan Pesta Benak Sri Aman 2010 28 April - 2 Mei
















Part III - candid sekitar sambutan Pesta Benak Sri Aman 2010 dari 28 April hingga 2 Mei
















Part II - candid sekitar sambutan Pesta Benak Sri Aman 2010 dari 28 April hingga 2 Mei
















Antara gambar yang dirakam pada sambutan Pesta Benak Sri Aman 2010 dari 28 April hingga 2 Mei.