Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

22 December, 2010

Usahawan perlu patuh lima aspek pengurusan jika mahu berjaya - Sulaiman



Caption: UNTUK ALBUM...Sulaiman (duduk tengah) sambil diapit oleh Desmond (kiri) dan Penghulu Samad (kanan) ketika merakamkan gambar kenangan bersama peserta kelmarin.


SRI AMAN, Rabu (22 Dis) – Usahawan perlu berdisplin untuk mematuhi lima aspek pengurusan perniagaan utama sekiranya mahu lebih berjaya dalam perniagaan masing-masing selepas ini.

Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Datu Dr Haji Sulaiman Haji Husaini memberitahu lima aspek terbabit adalah pengurusan kewangan, menjaga peralatan / kemudahan yang diberi oleh kerajaan, membayar kembali pinjaman, membuat perancangan perniagaan dan menitikberat aspek pemasaran.

“Pertama, para usahawan perlu cekap memastikan tiada masalah kewangan timbul dalam perniagaan anda dan keduanya pula ialah menjaga sebaik mungkin peralatan ataupun kemudahan perniagaan yang kerajaan telah salurkan kepada anda sebelum itu.

“Aspek seterusnya ialah membayar kembali pinjaman untuk memudahkan orang lain menggunakan kemudahan ini. Buat perancangan perniagaan yang betul dan pastikan anda menjaga kualiti produk (pembungkusan) demi kepuasan pelanggan anda sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Kursus Motivasi dan Asas Keusahawanan anjuran SEDC bertempat di Dewan Suarah Sri Aman petang kelmarin.

Selain itu pihak SEDC sehingga kini kata Sulaiman juga telah menyalurkan bantuan kepada 12,370 orang peserta atau usahawan dari 14 buah skim / program dalam negeri ini seperti PPRK, Ayam Komersial, Ayam Komuniti, Desa Pelbagai, Bengkel / Kursus, PUTERA, SOW, SDSI, PPKB, PUM, PROSEB, 1 Azam, SPIKS dan PIBU.

“Justeru adalah besar harapan kami untuk melihat para peserta menggunakan sepenuhnya segala kemudahan yang telah disalurkan oleh SEDC di masa akan datang demi pembangunan ekonomi penduduk,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Residen Sri Aman (Pembangunan), Desmond Douglas Jerukan, Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan, SEDC, Haji Jamaludin Yusof, Penghulu Haji Abdul Samad Abdul Rahim dan Kanselor Mas Shamsiah Haji Maslem.

Seramai 42 orang peserta dari Bahagian Sri Aman dan Betong melibatkan diri dalam Kursus Motivasi dan Asas Keusahawanan anjuran SEDC yang berlangsung selama tiga hari bertempat di Dewan Suarah Sri Aman berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment