Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 December, 2010

Tolong kemaskini profile Kampung - NYalau


Caption: PENGHARGAAN...Entalai (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Nyalau (kanan) ketika berlangsungnya majlis berkenaan.


ENGKILILI, Selasa (28 Dis) – Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dalam daerah ini dinasihat untuk menghasilkan profil mengenai latar belakang dan lain-lain maklumat mengenai penempatan mereka selepas ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata profil kampung amat penting demi memudahkan lagi urusan hal ehwal pembangunan di antara JKKK dan jabatan kerajaan di sesebuah kawasan penempatan kampung atau rumah panjang itu.

“JKKK harus menyediakan profail kampung yang merangkumi data seperti latar belakang kampung, jumlah penduduk, jenis sumber pendapatan, maklumat tahap pendidikan penghuni kampung dan banyak lagi.

“Dengan adanya profail ini, kerajaan menerusi jabatan mereka secara tidak langsung akan dapat merancang jenis program pembangunan yang boleh dilaksanakan demi kebaikan penduduk bagi sesebuah kampung atau rumah panjang itu sendiri,” katanya.

Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Merarau Hari Krismas 1Malaysia Bersama Pemimpin anjuran Persatuan Tuai-Tuai Rumah Daerah Kecil Engkilili di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Lubok Antu, Engkilili hari ini.

Selain itu Nyalau juga mahu kesemua JKKK dalam kawasan daerah ini untuk sentiasa mengemaskini profail kampung masing-masing bagi setiap tahun demi memudahkan urusan mereka dengan kerajaan pada masa akan datang.

Justeru langkah ini kata beliau akan membolehkan rumah panjang atau kampung di daerah ini membangun secara sistematik dan teratur menerusi projek pembangunan yang akan dilaksana oleh kerajaan sepanjang masa.

Terdahulu Nyalau mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada Persatuan Tuai-Tuai Rumah Daerah Kecil Engkilili dan tajaan bernilai RM2,000 untuk penghasilan pakaian rasmi baru persatuan berkenaan.

Seramai 138 Tuai Rumah dari kawasan Engkilili hadir bagi memeriahkan majlis berkenaan. Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Johnnical Rayong anak Ngipa, Pemanca Samuel Lawen, Pengerusi Persatuan Tuai-Tuai Rumah Daerah Kecil Engkilili, Kanselor Roy Edward Entalai.

Tamat.

No comments:

Post a Comment