Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 December, 2010

Skim Kawalan Harga sempena Krismas dilancar



Caption: SERIUS...Wan Roslan (dua kanan) ketika bersama kakitangannya memeriksa perlaksanaan SKH di Pasar Tamu Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Khamis (23 Dis) – Skim Kawalan Harga (SKH) sempena musim Perayaan Hari Krismas 2010 secara rasminya telah berkuatkuasa di Sri Aman, Saratok, Betong dan Lubok Antu mulai hari ini (23 Disember) hingga 27 Disember kelak.

Justeru Ketua Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Bahagian Sri Aman, Wan Roslan Esmanto Wan Johari menasihatkan para peniaga untuk mematuhi peraturan yang terkandung di dalam SKH ini demi mengelakkan tindakan undang-undang dalam tempoh terbabit.

“PPDNKK Bahagian Sri Aman telah mengumumkan sejumlah 14 jenis barangan terkawal mengikut harga maksimum (syiling) runcit menerusi SKH sempena perayaan Krismas ini.

“14 barangan kawalan ini ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam belanda import, daging lembu tempatan, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang, daging kambing biri-biri import tanpa tulang, paha daging kambing biri-biri import bertulang, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, tomato dan cili benggala hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Sarawak ketika melancarkan kempen Skim Kawalan Harga di Bandar Sri Aman dengan kerjasama Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) dan Pejabat Kesihatan Sri Aman pada pagi hari ini.

Selain itu katanya Individu yang didapati bersalah boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM15,000 atau dua tahun penjara di bawah Akta Kawalan Harga 1946 atau boleh dikompaun sehingga RM7,500 manakala pertubuhan perbadanan jika bersalah boleh didenda maksimum sebanyak RM25,000 atau dikompaun sehingga RM12,500.

“Justeru peniaga perlu mematuhi undang-undang yang mewajibkan mereka untuk menjual barang harga terkawal tidak melebihi harga maksimum dan perletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barang harga terkawal terbabit,” katanya.

Selain itu Roslan juga menasihat penduduk Sri Aman terutama sekali mereka yang bakal menyambut perayaan Hari Krismas pada tahun ini agar berjimat cermat ketika membeli barangan keperluan untuk tujuan sambutan perayaan berkenaan kelak.

Terdahulu Roslan bersama 14 orang pegawai dari PPDNKK Sri Aman, pegawai pemantau harga Majlis harga Barang Negara, Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman dan MDSA telah memulakan kempen berkenaan di Pasar Tamu Sri Aman serta beberapa buah premis perniagaan yang lain pada jam 9.30 pagi hari ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment