Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 December, 2010

Skim Kawalan Harga sempena Krismas bermula 23 Dis ini



Mugshot: WAN ROSLAN ESMANTO


SRI AMAN, Selasa (21 Dis) – Skim Kawalan Harga sempena Musim Perayaan Hari Krismas 2010 bakal berkuatkuasa di Sri Aman, Saratok, Betong dan Lubok Antu mulai 23 Disember hingga 27 Disember ini.

Ketua Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Bahagian Sri Aman, Wan Roslan Esmanto Wan Johari berkata sejumlah 14 barangan terkawal mengikut harga maksimum (syiling) runcit telah disenaraikan dalam skim kawalan harga ini.

Barangan kawalan ini ialah ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal), ayam belanda import, daging lembu tempatan, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang, daging kambing biri-biri import tanpa tulang (tanpa paha), paha daging kambing biri-biri import bertulang, telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji), telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji), tomato dan cili benggala hijau.

“Harga maksimum (syiling) sekilogram jualan barangan kawalan seperti Ayam Hidup adalah RM6.70, Ayam Standart RM8, Ayam Super RM8.80, ayam belanda import RM32, daging lembu tempatan RM28, daging kambing tempatan bertulang RM32, daging kambing biri-biri import bertulang RM18, daging kambing biri-biri import tanpa tulang (tanpa paha) RM20 dan paha daging kambing biri-biri import bertulang RM20,

“Manakala itu Telur Ayam Gred A sebiji 34 sen, Telur Ayam Gred B pula ialah 33 sen sebiji dan gred C pula ialah 32 sen sebiji. Harga runcit tomato dan chili benggala hijau bagi satu kilogram pula ialah RM6 dan RM13,” katanya.

Selain itu undang-undang menurut Esmanto yang mewajibkan peniaga menjual barang harga terkawal tidak melebihi harga maksimum dan perletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barang harga terkawal masih akan dikuatkuasakan oleh pihak kementerian.

“Individu yang didapati bersalah boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM15,000 atau dua tahun penjara di bawah Akta Kawalan Harga 1946 atau boleh dikompaun sehingga RM7,500. Bagi pertubuhan perbadanan, denda maksimumnya ialah RM25,000 atau boleh dikompaun sehingga RM12,500.

“Pihak kementerian akan meneruskan usaha-usaha untuk melindungi pengguna daripada perbuatan para peniaga yang tidak beretika iaitu mengaut keuntungan berlebihan pada tahap tidak munasabah semasa musim perayaan,” katanya.

Orang ramai dari keempat-empat kawasan daerah berkenaan juga dinasihatkan untuk menghubungi pihak PPDNKK Sri Aman menerusi talian 083-323836 jika terdapat peniaga yang bertindak melanggar skim kawalan harga terkawal ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment