Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 December, 2010

Cari udang isi cuti sekolah


Caption: SERONOK...Khazimah, Normayuna dan Nursufia ketika menangguk senik di kawasan parit Taman Hijrah Simunjan.


SIMUNJAN, Selasa (7 Dis) – Cuti sekolah sememangnya dinantikan oleh semua pelajar yang berniat untuk melaksanakan pelbagai aktiviti sosial di kawasan masing-masing dalam tempoh waktu berkenaan.

Mungkin ada pelajar yang merancang untuk mengadakan aktiviti perkhemahan di hutan, merancang untuk mengadakan perkelahan tepi pantai, melancong ke lain-lain kawasan menarik dan banyak lagi.

Namun begitu tinjauan rambang di Simunjan hari ini mendapati bahawa terdapat para pelajar yang meluangkan waktu cuti sekolah dengan menangguk ‘senik’ iaitu sejenis anak udang di kawasan parit besar Taman Hijrah.

Mereka yang meluangkan waktu cuti sekolah dengan menangguk senik ini adalah Khazimah binti Ali Akbar, 19, Normayuna binti Azman, 13 dan Nursufia binti Osman,12 tahun.

“Kebanyakkan pelajar menghabiskan waktu cuti sekolah mereka dengan berkhemah di hutan, melancong mahupun berkelah berbanding ketiga-tiga kami yang mahu meraih rezeki sampingan ketika waktu ini.

“Justeru kami bertiga mengambil keputusan untuk menangkap ‘senik’ yang sememangnya terdapat cukup banyak dalam kawasan parit Taman Hijrah semenjak bermulanya cuti sekolah lepas,” kata Khazimah.

Katanya ketiga-tiga mereka mampu menangguk sebanyak 200 hingga 500 gram anak udang (senik) ketika air pasang besar berlaku di kawasan sungai berdekatan Pekan Simunjan pada setiap petang.

Senik terbabit katanya akan dijual kepada penduduk yang berminat ataupun dijadikan sebagai santapan pada waktu makan tengahari mahupun makan malam bersama ahli keluarga masing-masing.

“Bagaimanapun kawasan parit Taman Hijrah bukan sahaja menerima kedatangan kami bertiga malahan turut menarik perhatian lain-lain penduduk yang mahu menangguk senik atau mencari siput sungai di sini.

“Mereka datang seawal jam 3 petang ke sini dan kehadiran mereka seolah-olah seperti satu pesta. Cuti sekolah bagi kami bertiga nyata amat menghiburkan jika pandai dimanfaatkan dengan betul,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment