Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 December, 2010

4,000 penduduk meriahkan Kempen Cegah Jenayah IPD Sri Aman


Caption: TERTARIK...Kopral Tony (baju kuning) bersama ahli keluarga sedang seronok melihat motorsikal berkuasa tinggi milik polis yang dipamerkan pada kempen itu hari ini.


SRI AMAN, Isnin (20 Dis) – Seramai 4,000 penduduk membanjiri kawasan Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman bagi menyaksikan pelbagai aktiviti menarik yang dianjurkan menerusi Kempen Pencegahan Jenayah di sini hari ini.

Kempen Pencegahan Jenayah yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sri Aman iaitu Masir Kujat dan bermula dari jam 6.30 pagi hingga 1 petang hari ini merupakan anjuran Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman.

Antara aktiviti yang menarik perhatian penduduk menerusi kempen itu ialah pameran cegah jenayah, pameran unit udara dan pasukan gerakan marin, kaunter pendaftaran rakan cop dan kaunter PDRM bersama pelanggan, demonstrasi unit anjing pengesan, penggunaan T–Baton, persembahan pancaragam PDRM IPK Sarawak dan Persembahan Nyanyian Kombo IPK Sarawak.

Dianggarkan juga seramai 400 orang penduduk mengambil bahagian dalam pertandingan larian ‘cegah jenayah’, pertandingan mewarna kanak-kanak berumur 6 tahun kebawah, pertandingan melukis kanak-kanak berumur 12 tahun kebawah dan pertandingan senaman kenyalang.

Seorang penduduk, Gilbert Meur, 34, dari Tajur ketika ditemui memberitahu kempen ini sangat penting bagi menyedarkan penduduk tentang betapa penting langkah pencegahan jenayah di kawasan masing-masing untuk sepanjang masa.

Katanya rakyat perlu sedar tentang tanggungjawab diri masing-masing untuk membantu pihak polis bagi menjaga harta benda dan keselamatan nyawa daripada pihak penjenayah selepas ini.

Sementara itu Morgan Alban dari Nyakai pula berpendapat kempen pencegahan jenayah perlu dianjurkan dengan lebih aktif oleh pihak polis mulai sekarang demi merapatkan hubungan kerjasama penduduk dengan mereka di masa akan datang.

“Saya setuju bahawa jenayah perlu menjadi musuh utama dalam hidup penduduk. Penduduk perlu disemai dengan sikap anti jenayah jika mahu kawasan Sri Aman terus aman untuk sepanjang masa,” katanya.

Terdahulu Ketua Jabatan Pengurusan, Ibupejabat Kontinjen Polis Sarawak, SAC Dato Ahmad Sofian Md Yassin, Residen Bahagian Sri Aman, Abdul Rahman Sebli Sanusi, Ketua Polis Daerah Sri Aman, Mat Jusoh Muhammad, Majistret Sri Aman, Zulhairil Sulaiman, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini hadir sama bagi memeriahkan sambutan majlis berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment