Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 November, 2010

Toh Heng San, Jonathan Krai, mari kita berdamai - Rayong


Caption: RASMI...Rayong (tengah) ketika menyampaikan kata aluannya pada majlis perjumpaan dengan ketua kaum di Majlis Daerah Lubok Antu.

ENGKILILI, Sabtu (6 Nov) – Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam merupakan seorang pemimpin yang berprinsip dan bukannya seperti yang digambarkan oleh bekas ahlinya, Toh Heng San baru-baru ini.

Bekas wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili, Toh Heng San menerusi siaran akhbar pada hari Rabu lepas mendakwa George Chan bukan seorang presiden parti yang berprinsip berhubung pengesahan ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa dalam parti SUPP pada hari Ahad lepas.

“Beliau (George Chan) sebenarnya adalah merupakan seorang presiden parti yang bijak. Ini kerana beliau telah menerima penyertaan saya dalam parti SUPP seperti yang diinginkan oleh majoriti penduduk di DUN Engkilili selama kini.

“Pelbagai perkara boleh terjadi dalam dunia politik. Keputusan parti SUPP untuk menerima kemasukan saya dalam parti ini dibuat atas kepentingan parti serta rakyat dan bukannya untuk kepentingan peribadi semata-mata,” menurut Rayong.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai mengadakan perjumpaan khas dengan penyokong dan ahli SUPP Engkilili bertempat di Bilik Mesyuarat, Majlis Daerah Lubok Antu, di Pekan Engkilili hari ini.

Selain itu Rayong juga berharap agar Toh Heng San dan juga bekas calon SUPP untuk kerusi DUN Engkilili 2006 iaitu Johnatan Krai Pilo untuk bekerjasama dengan beliau bagi membangunkan kawasan Engkilili selepas ini.

“Saya sebenarnya amat berharap agar dapat bekerjasama dengan Toh Heng San dan Krai dalam membangunkan kawasan DUN Engkilili yang kini kian pesat membangun hasil peruntukan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kedua-dua mereka harus berhenti mempertikaikan penyertaan saya dalam parti SUPP selepas ini kerana apa yang saya lakukan adalah untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada penduduk di sini dan bukan untuk kepentingan diri sendiri,” katanya.

Rayong juga merakamkan penghargaan dan rasa terima kasihnya terhadap Pengerusi BN Sarawak merangkap Ketua Menteri iaitu Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan Presidennya iaitu George Chan kerana menerima kemasukan beliau dalam BN.

Terdahulu seramai empat orang Penghulu, tujuh orang Kaunselor, tiga orang Kapitan dan 27 orang Tuai Rumah dari kawasan DUN Engkilili hadir pada sesi perjumpaan khas bersama Rayong bermula dari jam 10 pagi hingga jam 2 petang.

Tamat.

No comments:

Post a Comment