Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 November, 2010

Snowdan masih usahakan penubuhan SMK di Pantu


Caption: TERUSKAN USAHA...Snowdan (tengah) menyampaikan Anugerah Tokoh Murid Lelaki SK Pantu kepada Tagek Simon sambil disaksikan oleh (dari kiri sekali) Tr Edwin, Anji dan Louis pada majlis berkenaan.


PANTU, Rabu (17 Nov) – Usaha untuk mewujudkan sebuah sekolah menengah yang baru dalam kawasan zon Balai Ringin masih lagi diteruskan demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin iaitu Snowdan Lawan.

Snowdan ketika berucap merasmkan Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah 2010 Sekolah Kebangsaan (SK) Pantu hari ini memberitahu usaha untuk memohon pembinaan sebuah sekolah menengah baru telah ditekankan semula oleh beliau pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lepas.

“Buat masa ini penduduk zon Balai Ringin termasuk dari Pantu mempunyai pilihan untuk memasuki dua buah sekolah menengah yang terdekat antaranya ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balai Ringin dan SMK Melugu.

“Bagaimanapun kedua-dua sekolah menengah terbabit didapati sesak dan tidak mampu menampung jumlah kemasukan pelajar baru dari zon kita (Balai Ringin). Ini mendorong saya untuk berusaha mendapatkan sebuah sekolah menengah baru yang terletak di kawasan daerah kecil Pantu mulai sekarang,” katanya.

Snowdan berharap pembukaan sekolah menengah baru di kawasan Pantu akan dapat memberi lebih banyak pilihan terhadap murid sekolah rendah dari zon Balai Ringin yang mahu melangkah masuk ke alam pembelajaran tingkatan 1 di masa akan datang.

Sementara itu beliau turut menasihatkan golongan pelajar agar tidak mudah lupa daratan sekiranya mereka berjaya menjadi orang yang berjaya pada suatu hari kelak.

“Pelajar yang berjaya perlu berbakti semula kepada guru dan penduduk di kawasan mereka dengan melakukan sumbangan pembangunan dari segi ekonomi dan sosial terhadap hidup mereka selepas itu,” menurut beliau lalu mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 bagi tahun 2010 dan RM10,000 bagi tahun 2011 untuk sekolah itu.

Hadir sama ialah wakil Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Anji Haji Hussein, Guru Besar SK Pantu, Louis Aum, Yang Dipertua PIBG SK Pantu, Tr Edwin Jawa Dundang, para kakitangan sekolah, ketua kaum dan penduduk di sini.

Seramai 218 orang murid pra sekolah dan murid SK Pantu menerima sijil dan hadiah pada majlis berkenaan. Majlis turut dimeriahkan lagi dengan persembahan deklamasi puisi oleh murid sekolah tersebut.

Tamat

No comments:

Post a Comment