Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

01 November, 2010

Kerajaan masih usaha wujudkan politeknik di Betong kata Jabu


Caption: SEDIA...Jabu (tengah) sambil diapit oleh Romie (kanan) dan Mahamood (kiri) sebelum berangkat ke dewan untuk merasmikan majlis berkenaan.


BETONG, Sabtu (30 Okt) – Kerajaan Negeri masih lagi meneruskan usaha untuk menubuhkan sebuah Metro Politeknik yang serba berlainan di Betong berbanding dengan lain-lain politeknik dalam negara ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang berkata walaupun belum ada keputusan daripada pihak Kerajaan Pusat tentang pelan pembinaan politeknik di Betong sebelum ini namun beliau yakin bahawa hasrat itu akan dicapai pada masa akan datang.

“Metro Politeknik terbabit yang dicadang untuk dibina di Betong mempunyai kelainannya yang tersendiri berbanding dengan lain-lain politeknik di Malaysia terutama sekali dari segi kapasiti.

“Tapak pembinaan sudah pun dikenalpasti dan dihantar menerusi pelan cadangan pembinaan Metro Politeknik kepada pihak Kerajaan Pusat untuk tujuan kelulusan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) kelak,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Permodenan Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja tamat Majlis Graduasi Kali Pertama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Dewan Gemilang MRSM Betong hari ini.

Jabu bagaimanapun tidak mahu menyatakan butiran lanjut mengenai kos pembinaan, lokasi pembinaan Metro Politeknik dan tarikh pembinaannya kepada pihak pemberita ketika ditanya mengenai perkara berkenaan.

“Harapan saya ialah untuk melihat wujudnya kampus universiti di Betong selepas ini. Lagipun kita sudah mendapat petanda yang baik daripada pihak Kerajaan Pusat berhubung pelan pembinaan Metro Politeknik di Betong sebelum ini

“Justeru saya berharap agar Kerajaan Pusat meluluskan pelan pembinaan Metro Politeknik demi memacu pembangunan pendidikan di Betong pada masa akan datang,” menurut beliau.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Residen Betong, Datu Romie Sigan Daniel, Pengetua MRSM Betong, Mahamood bin Mat Zain, para pegawai kerajaan dan kakitangan MRSM Betong.

Seramai 95 orang pelajar tingkatan 5 MRSM Betong menerima sijil graduasi pada majlis berkenaan. MRSM Betong yang berada di kedudukan ke-11 berbanding 39 buah MRSM dalam negara ini mempunyai 49 orang guru dan 483 orang pelajar.

Tamat.

No comments:

Post a Comment