Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

16 November, 2010

Kawasan Nanga Skrang perlu diperkenal - Shamshuddin


Caption: TAHNIAH...Shamshuddin (kiri) sedang menyampaikan APC kepada Desmond (kanan) sambil disaksikan oleh (dari kiri sekali) Rahman, Felicia, Golnar Daud dan Jack Aman pada majlis itu.

SRI AMAN, Isnin (15 Nov) – Kawasan Nanga Skrang di Engkilili harus diperkenalkan dengan meluas sebagai pusat eko pelancongan di Sri Aman selepas ini demikian menurut Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji.

Menurut beliau Nanga Skrang mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri kerana kawasan berkenaan menjadi titik mula kemunculan Bandar Sri Aman pada masa sekarang.

“Apabila Rajah Putih Sarawak iaitu James Brooke membuka penempatan dan Kubu James di Nanga Skrang sekitar tahun 1860-an dahulu penduduk Cina, Melayu dan Iban mula berhimpun di sini sehingga mewujudkan aktiviti ekonomi dan sosial yang rancak.

“Bagaimanapun kekerapan banjir di Nanga Skrang menyebabkan Brooke memindahkan pusat tadbirnya ke lokasi sekarang (Sungai Batang Lupar) hingga menjurus kepada pembukaan Kubu Alice dan penghijrahan penduduk ke kawasan Bandar Sri Aman pada masa sekarang,” katanya.

Shamsuddin berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2010 Malam Mesra Sekalung Budi Pentadbiran Rando Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Selain itu beliau juga mengalakkan penduduk yang menetap sepanjang tepi kawasan jalan raya di Sri Aman untuk mengusahakan tanaman yang boleh menghasilkan makanan selain daripada tanaman komersial seperti sawit.

“Langkah ini penting untuk menyokong usaha menjadikan Sri Aman sebagai hab pengeluaran makanan pada masa akan datang dalam mewujudkan sumber makanan berterusan untuk semua penduduk,” katanya.

Hadir sama ialah Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pelanconga dan Warisan, Abdul Rahman Sebli Sanusi, Timbalan Residen Sri Aman, Desmond Douglas Jerukan dan Felicia Tan, Pegawai Daerah Sri Aman, Bujang Mudin, Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat, Setiausaha Majlis Daerah Sri Aman, Nelson Mujah Girie dan para kakitangan kerajaan di sini.

Shamshuddin akan pulang ke Kuching esok (hari ini) untuk memegang jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Sarawak dan jawatan Residen Sri Aman bakal dijawat oleh Abdul Rahman Sebli Sanusi berkuatkuasa 1 Disember kelak.

Seramai lapan orang kakitangan kerajaan menerima APC, 35 orang menerima Surat Penghargaan Perkhidmatan Cemerlang, tujuh untuk Anjakan Gaji, empat bagi Pegawai Bersara dan empat orang lagi untuk Pegawai Berpindah Tugas menerusi majlis berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment