Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

25 November, 2010

George Chan yakin BN sudah sedia hadapi pilihan raya


Caption: SELAMAT DATANG...Dr Chan (dua kiri) sambil diapit oleh Rayong (kiri) dan Harden (kanan) sedang menyaksikan persembahan tarian singa sebaik sahaja tiba untuk merasmikan majlis terbabit hari ini.

ENGKILILI, Khamis (25 Nov) – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri George Chan Hong Nam yakin bahawa Barisan Nasional (BN) Negeri sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri yang diramal akan berlangsung tidak lama lagi.

Beliau yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) berkata ia disebabkan wujudnya perubahan positif tentang sokongan semua rakyat Sarawak terhadap BN sebelum ini.

“Lagipun sebab lainnya adalah sering berlaku pertelingkahan dikalangan pihak pembangkang yang tampak saling tidak bersetuju antara satu sama lain berhubung sesuatu isu sebelum ini.

“Senario ini menimbulkan peluang baik bagi BN untuk menang. Justeru saya yakin faktor ini perlu dipertimbangkan oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud untuk menentukan bila tarikh pilihan raya negeri dilangsungkan kelak,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas diminta untuk memberikan komen mengenai kenyataan Taib yang menyatakan bahawa tarikh pilihan raya negeri sudah pun berada di dalam fikiran beliau ketika ditemui pemberita kelmarin.

Terdahulu Chan telah merasmikan Majlis Kesyukuran sempena kemasukan ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa ke dalam SUPP yang berlangsung di Rumah Changgai Junong, Selindung Ili, Engkilili hari ini.

Rayong akan terus mempertahankan kerusi DUN Engkilili manakala Datuk Francis Harden Hollis selaku Timbalan Setiausaha Agong SUPP merangkap ADUN Simanggang diberi mandat untuk mempertahankan kerusi DUNnya pada pilihan raya negeri kelak seperti yang diumumkan oleh beliau pada majlis itu.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, ADUN Opar, Ranum Mina, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Sie Hua Thong, Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat, pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment