Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 November, 2010

Kumpulan Hek Hek lawat Batang Ai


Caption: IKHLAS...Elison (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Gudang (kiri) ketika berlangsungnya sesi perjumpaan ringkas di Taman Negara Batang Ai pada malam Ahad lepas.


LUBOK ANTU, Isnin (29 Nov) – Keindahan alam semulajadi di kawasan Ulu Batang Ai, Lubok Antu akhirnya menarik minat beberapa orang kakitangan kerajaan dan swasta untuk melakukan ekspedisi ke kawasan berkenaan bermula hari Sabtu hingga Ahad lepas.

Mereka adalah Roland Entigie (Pembantu Perubatan), Jugah Asin (Pembantu Perubatan), Elison Linggoh (pemilik restoran), Edwin Nanggah (RTM Sri Aman), Stonton James (RTM Sri Aman), Vyonnie Maclean Pugie (Guru), Gilbert Meur (Guru), penulis (Utusan Sarawak), Jones Mukan (JKR Sri Aman) dan Morgan Alban (Golden Pearl).

Mereka yang mengelarkan diri sebagai Kumpulan Hek Hek itu telah memulakan perjalanan dari Pengkalan, Empangan Hidroelektrik Batang Ai pada jam 9 pagi hari Sabtu lepas dengan menggunakan dua buah perahu yang dikemudi oleh Semelang Andah dan Belansai Ijok.

Dengan matlamat untuk melawat keindahan alam semulajadi di kawasan Ulu Batang Ai, Lubok Antu kumpulan ini telah berkesempatan untuk memancing ikan di beberapa buah kawasan terbabit sebelum singgah untuk bermalan di situ selama semalam di Taman Negara Batang Ai.

Di sana, kedatangan mereka telah disambut oleh petugas Taman Negara iaitu Gudang anak Gajah dan Salang sebelum bermulanya sesi ucapan ringkas dan penyampaian cenderahati kepada kedua-dua petugas serta penduduk Ulu Batang Ai di situ.

Ekspedisi ke Ulu Batang Ai kemudiannya diteruskan lagi pada keesokan harinya dengan melawat beberapa buah kawasan dan menjala ikan di situ dengan menggunakan perahu sebelum kesemua rombongan berangkat ke pulang ke Pengkalan Hidroelektrik Batang Ai pada jam 2 petang.

Perjalanan ke Taman Negara yang dianggarkan mengambil masa selama dua jam (bergantung kepada keadaan sungai) dari itu Pengkalan Hidroelektrik Batang Ai nyata memberi pengalaman baru terhadap peserta ekspedisi berkenaan.

Ketua rombongan, Elison Linggoh ketika ditemui merakamkan penghargaan terima kasihnya kepada petugas Taman Negara Batang Ai dan penduduk di situ atas kerjasama mereka ketika berlangsungnya aktiviti berkenaan.

“Mereka (petugas dan penduduk) banyak menghulurkan bantuan kepada kami tanpa diminta. Sebagai ketua, saya berasa amat terharu di atas bantuan mereka terhadap kami sebagai ‘orang baru’ di kawasan Ulu Batang,” katanya.

Tamat

Manfaat sebaik mungkin peruntukan MRP


Caption: MANFAATKAN...Rayong (kanan) menyampaikan cek MRP kepada seorang penerima ketika berlangsungnya majlis berkenaan di Pekan Engkilili.


ENGKILILI, Isnin (29 Nov) – Penerima Projek Kecil Luar Bandar (MRP) harus memanfaatkan sebaik mungkin peruntukan yang mereka perolehi daripada wakil rakyat kerajaan selepas ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa menyampaikan nasihat ini kepada para penerima MRP di kawasan pentadbiran beliau menerusi majlis penyerahan cek MRP di Pekan Engkilili baru-baru ini.

Ini kerana menurut beliau MRP akan membolehkan sesebuah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan dan pertubuhan budan kerajaan untuk melaksanakan sesuatu program dalam kawasan masing-masing dari masa ke semasa.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi MRP bagi pelbagai jenis tujuan. Oleh itu penerima JKKK harus memanfaatkan sebaiknya peruntukan yang mereka perolehi daripada kerajaan.

“Jangan salahgunakan MRP yang anda peroleh. Ini kerana MRP tidak diberi kepada penerima beberapa kali dalam satu tahun sebaliknya diberi secara bergilir kepada semua pihak yang terdapat di sesebuah kawasan DUN,” menurut beliau.

Beliau juga menambah bahawa sumbangan BN dalam menaiktaraf hidup penduduk menerusi pemberian MRP harus dibalas kembali dengan menyokong kerajaan menjelang pilihan raya negeri akan datang.

Terdahulu Rayong telah menyampaikan cek MRP kepada 11 buah penerima dalam kawasan DUN Engkilili yang mencatatkan jumlah keseluruhan bernilai RM60,000 menerusi majlis berkenaan.

Tamat.

Ramlah boss PPWS Taman Hijrah II, Simunjan



Caption: UNTUK ALBUM...Ahli jawatankuasa PPWS cawangan Taman Hijrah II bergambar kenangan sebaik sahaja selesai mesyuarat terbabit.


SIMUNJAN, Isnin (29 Nov) – Ramlah binti Haji Labah secara rasminya telah dipilih sebagai Pengerusi Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) cawangan Taman Hijrah Fasa II, Simunjan.

Beliau dipilih untuk meneraju PPWS cawangan Taman Hijrah Fasa II menerusi mesyuarat penubuhan Ahli Jawatankuasa pertubuhan berkenaan di kediaman Khartina binti Amat, Pekan Simunjan hari ini.

Mesyuarat terbabit turut memilih Mariam binti Morsidi sebagai Timbalan Pengerusi, Hasmi binti Muchek sebagai Naib Pengerusi, Ara @ Khartina binti Amat sebagai Setiausaha dan Bibi binti Sili sebagai Bendahari PPWS.

Enam orang ahli yang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa PPWS cawangan Taman Hijrah Fasa II pada mesyuarat terbabit adalah Fatimah binti Naruddin, Haliza binti Yusuf, Zaileha binti Yunus, Sahayah binti Haji Kundang, Ayanti binti Sitam dan Mila binti Rahman.

Khartina ketika ditemui memberitahu penubuhan PPWS cawangan Taman Hijrah II, Simunjan ini bertujuan untuk menggalak serta memberi peluang kepada kaum wanita bagi melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sosial selepas ini.

Sebagai permulaan kata Khartina beberapa aktiviti sosial telah dirancang antaranya ialah kerja gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran Masjid Darul Hijrah bersempena dengan ketibaan I Muharam, 1432, ini nanti.

“Justeru kami berharap agar penubuhan PPWS cawangan Taman Hijrah II dapat mendorong kepada kemajuan hidup wanita dan lain-lain komuniti di kawasan Simunjan pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama pada mesyuarat itu ialah Pengerusi PPWS Daerah Sri Aman, Saidah binti Saibi, Sanisah binti Haji Bujang (Timbalan Pengerusi PPWS Daerah Simunjan) dan Kanselor Hajah Aben binti Abang Aneh.

Tamat.

Lawatlah Ulu Batang Ai - Gadang


Caption: SERIUS...Gudang ketika sedang menyampaikan taklimat ringkas mengenai kawasan Ulu Batang Ai, Lubok Antu kepada pelawat di situ.


LUBOK ANTU, Isnin (29 Nov) – Orang ramai digalak untuk melawat dan mencintai keindahan alam semulajadi yang terdapat di kawasan Batang Ai, Lubok Antu selepas ini.

Petugas Taman Negara Batang Ai, Gadang anak Gajah berkata demikian ketika menyampaikan amanat ringkas kepada kumpulan pelawat dari Sri Aman yang menginap di situ pada malam Ahad lepas.

Katanya kawasan Ulu Batang Ai dan Ulu Engkari menyimpan ribuan khazanah flora dan fauna yang tidak ternilai terhadap mana-mana individu serta kumpulan yang mahu melancong ke kawasan berkenaan selepas ini.

“Bagaimanapun saya ingin mengingatkan pelawat untuk mematuhi peratuhan keselamatan ketika menggunakan perahu menyusuri kawasan tasik Batang Ai hingga ke sini pada masa akan datang.

“Misalannya tiga orang pelawat hanya digalak untuk menumpang satu perahu bukan lima orang kerana jika mengambil kira jumlah mereka termasuk pengemudi (depan dan belakang) kesemuanya adalah tujuh orang.

“Tindakan ini boleh membahayakan diri mereka ketika menyusuri ke kawasan sungai Ulu Batang atau Ulu Engkari. Oleh itu jika mana-mana pihak berniat demikian selepas ini saya galakkan mereka untuk bertanya kepada orang berpengalaman terlebih dahulu,” katanya.

Pelawat yang mahu memasuki ke kawasan Taman Negara Batang Ai katanya juga dinasihat untuk mendaftarkan diri masing-masing ke pusat pentadbiran taman berkenaan sebelum itu.

“Ini membolehkan pihak kami mengetahui tujuan dan kehadiran anda di sini selepas itu. Menerusi bayaran RM8 seorang, kawasan Ulu Batang Ai sememangnya menjanjikan keseronokan para peserta ketika menjelajahi kawasan ini di masa akan datang,” menurut Gudang.

Tamat.

Pugie dan Meur dapat ikan Patin


TEWAS!! Guru SMK Melugu, Sri Aman, Vyonnie Maclean Pugie (kiri) dan Guru SK Keranggas, Pantu, Gilbert Meur (kanan) merakamkan gambar kenangan ketika berjaya menewaskan seekor ikan Patin seberat 3.5 kilogram ketika memancing ke Ulu Batang Ai, Lubok Antu bermula 27 hingga 28 November lepas. Vyonnie dan Gilbert adalah merupakan antara 10 orang kakitangan kerajaan dan swasta yang telah melakukan ekspedisi ke Ulu Batang Ai, Lubok Antu pada waktu berkenaan. Kesemua peserta telah menginap di Taman Negara Batang Ai dan meluangkan sepenuhnya masa untuk meninjau keindahan alam semulajadi di kawasan berkenaan menerusi aktiviti terbabit. - 29 Nov

29 November, 2010

Kecimpunglah dalam bidang penanaman getah - Rayong


Caption: PENGHARGAAN...Dr Rayong (kanan) menerima cenderamata daripada Tr Lidom sambil disaksikan oleh Nyalau (kanan beliau) dan tetamu khas yang lain pada majlis berkenaan.

ENGKILILI, Sabtu (27 Nov) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa mengalakkan rakyat dalam kawasannya untuk berkecimpung dalam aktiviti penanaman getah mulai sekarang.

Beliau menyatakan galakan terbabit ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat bertempat di Rumah Lidom, Sungai Paya Ulu Skrang dalam daerah Kecil Engkilili, Sri Aman baru-baru ini.

Katanya penanaman getah nyata membuahkan hasil kepada penduduk di kawasan luar bandar samaada mereka berkecimpung dalam bidang pertanian berkenaan secara estet atau kecil-kecilan selama ini.

“Selain kelapa sawit, rakyat di kawasan Engkilili juga boleh meraih pendapatan yang cukup lumayan daripada projek penanaman getah secara persendirian atau kerjasama daripada pihak lain.

“Lagipun harga komiditi getah berada pada kedudukan yang cukup baik pada masa sekarang. Sayua yakin penglibatan rakyat Engkilili dalam aktiviti penanaman getah boleh menjamin masa depan ekonomi mereka selepas ini,” katanya.

Selain itu Rayong juga mengalakkan rakyat di kawasan Engkilili untuk memberikan fokus terhadap cara menaiktaraf ekonomi masing-masing dan bukannya berbincang tentang hal politik semasa.

Tabiat berkenaan menurut beliau hanya merugikan masa yang cukup berharga buat diri masing-masing untuk mengubah taraf hidup iaitu daripada mundur kepada lebih berdaya maju selepas ini.

“Justeru saya meminta rakyat dalam kawasan Engkilili untuk terus bekerjasama dengan kerajaan sekiranya kita turun padang bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan di kawasan mereka selepas ini,” katanya.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak. Hadir sama ialah Senator Doris Spohia Brodie, Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat, Pegawai JASA Parlimen Lubok Antu, Geoffery Baja dan kakitangan kerajaan yang lain.

Tamat….

Kerajaan BN ambil sektor pertanian


Caption: PENGHARGAAN...Nyalau (kiri) menyaksikan Tr Lindom (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Dorris (kiri) ketika berlangsungnya program itu.


ENGKILILI, Sabtu (27 Nov) – Kerajaan sentiasa mengambil berat mengenai peranan sektor pertanian dalam mempertingkatkan taraf hidup rakyat dan pembangunan ekonomi di negara ini, demikian kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak.

Menurutnya, walaupun cita-cita negara adalah untuk menjadi sebuah negara maju berasaskan bidang perindustrian menjelang tahun 2020 namun kerajaan tidak akan sesekali mengabaikan sektor pertanian mempertingkatkan tahap ekonomi negara ini.

“Kerajaan telah menjadikan ekonomi berasaskan perindustrian untuk mempertingkatkan taraf hidup masyarakat disamping mempercepatkan proses pembangunan di negera menjelang Wawasan 2020.

“Namun kita harus sedar bahawa kerajaan tidak akan sesekali mengabaikan sektor pertanian memandangkan sektor pertanian juga mampu menyumbang ke arah peningkatan taraf hidup masyarakat dan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat bertempat di Rumah Lidom, Sungai Paya Ulu Skrang dalam daerah Kecil Engkilili, Sri Aman baru-baru ini.

Kata Nyalau, semua para pemimpin negeri menyedari akan betapa pentingnya sektor pertanian dalam menjana kekuatan ekonomi dalam masa negara pada ketika ini sedang melangkah maju menjelang ke arah tahun 2020 berasaskan sektor perindustrian.

“Mungkin rakyat selama ini menganggap bahawa sektor pertanian adalah sebuah sektor yang hanya dilaksanakan oleh golongan kelas bawahan, kotor dan sering dikaitkan dengan kemiskinan.

“Namun bukti sektor ini membantu dalam menangani krisis kegawatan ekonomi negara ditambahi pula dengan penggunaan Teknologi Komunikasi serta Internet (ICT) dalam pelbagai sektor pertanian,” katanya.

Justeru kata Nyalau sudah tiba masanya bagi rakyat di negeri ini mengubah persepsi negatif diri masing-masing terhadap bidang pertanian memandangkan sektor ini bukan sahaja untuk golongan kelas bawahan dan sering dikaitkan dengan kemiskinan.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Ahli Dewan Negara, Senator Doris Spohia Brodie, Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat, Pegawai JASA Parlimen Lubok Antu, Geoffery Baja dan kakitangan kerajaan yang lain.

Tamat..

Pusat Gym Sokanjaya Betong dibuka


Caption: MENARIK...Mesin Trade Mill merupakan salah satu kemudahan yang terdapat di Pusat Kesihatan dan Gimnasium Sokanjaya Betong.

SRI AMAN, Sabtu (27 nov) – Pusat Kesihatan dan Gimnasium Sokanjaya Betong telah dibuka kepada ahli-ahli pusat yang telah berdaftar dengan pihak kelab Sokanjaya mulai sekarang.

Setiausaha Kelab Sokanjaya Jabatan Kerja Raya (JKR) Betong, Frauline Engkamat menerusi laman web facebooknya memberitahu Pusat Kesihatan dan Gimnasium Sokanjaya Betong ini berada di bawah pengurusan Encik Randi.

“Pusat Kesihatan dan Gimnasium Sokanjaya Betong telah dibuka secara percuma kepada semua ahli kelab Sokanjaya JKR Betong pada 8 November lalu hingga 14 November lepas.

“Bagaimanapun mulai 15 November lepas, Pusat Kesihatan dan Gimnasium Sokanjaya Betong ini hanya dibuka kepada ahli pusat yang telah mendaftar dengan pihak Sokanjaya,” menurut beliau.

Pusat Kesihatan dan Gimnasium Sokanjaya Betong katanya akan mengenakan bayaran bulanan sebanyak RM10 sebulan kepada para ahli pusat yang telah berdaftar dalam pusat berkenaan.

“Pendaftaran telah dibuka dan borang permohonan boleh didapati daripada pihak JUB. Justeru saya mengalakkan semua ahli sokanjaya untuk melaksanakan aktiviti senaman dan kesihatan di pusat berkenaan selepas ini,” menurut beliau.

Tamat.

Desmond pandai masak


INGIN CUBA...Timbalan Residen Sri Aman, Desmond Douglas Jerukan sedang mencuba memasak sendiri tempahan makanan beliau di Cafe Azree dalam Bandar Sri Aman baru-baru ini. Desmond, 42, yang kini sebagai menjawat Timbalan Residen Bahagian Pembangunan, Sri Aman pernah dijemput untuk menghadiri jamuan makan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya, Kuala Lumpur. Walaupun sibuk sebagai seorang timbalan residen namun beliau amat jarang melepaskan peluang untuk bermain badminton atau bermain lain-lain aktiviti sukan bersama rakan pada waktu lapang. - 27 Nov, Facebook : desmond Jerukan

Utusan Sarawak bantu Haslinda cari keluarga


Caption: KENANGAN...Gambar bertarikh 19 Julai menunjukkan Haslinda (baju putih, tengah) ketika bergambar kenangan bersama anak dan ahli Persatuan Chee Chuan Khor Simanggang seperti yang dipaparkan dalam Utusan Sarawak pada 20 Julai lepas.


SRI AMAN, Jumaat (26 Nov) – Akhbar tempatan iaitu Utusan Sarawak dan blog pemberitanya sriamannews.blogspot.com (Utusan Sarawak Sri Aman) ternyata berjaya menemukan kembali Haslinda binti Jawawee bersama saudara keluarganya di Muar, Johor pada bulan ini.

Terdahulu Haslinda bersama tujuh orang anaknya tinggal di sebuah rumah kosong belakang kawasan Jirat (kubur) Cina, Jalan Sabu, Sri Aman semenjak ditinggalkan oleh suaminya setahun lebih yang lepas.

Persatuan Chee Chuan Khor Simanggang yang mendapat tahu tentang masalah hidup beliau dan anak-anak mula menghulurkan bantuan berupa tilam dan pakaian disamping membaiki semula rumah usang yang didiami oleh lapan orang beranak terbabit selepas itu.

Kisah penderitaan hidup beliau bersama tujuh orang anaknya kemudiannya dipaparkan dalam akhbar Utusan Sarawak dan laman blog Utusan Sarawak Sri Aman pada 20 Julai lepas sebelum beberapa orang saudara beliau memulakan usaha untuk menjejak Haslinda dipercayai sepanjang bulan November ini.

“Terima kasih kepada Utusan Sarawak dan sriamannews kerana mempaparkan kisah Haslinda dan keluarganya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sri Aman telah pun memberi bantuan untuk keluarga Haslinda sebanyak RM450 sebulan,” menurut petikan komen oleh ‘Kak Tiha’ pada laman blog berkenaan.

Keluarga Haslinda dari kampung halamannya di Muar, Johor juga turut mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Chee Chuan Khor Simanggang, agensi kerajaan dan wakil rakyat yang telah turun padang bagi membantu kehidupan keluarga terbabit selepas itu.

Bagaimanapun Utusan Sarawak pada dua hari lepas telah dimaklumkan oleh penduduk yang mendakwa melihat sebuah keluarga datang mengunjungi keluarga Haslinda di rumah kosong berkenaan.

“Saya melihat Haslinda berpelukan sambil menangis bersama ahli keluarga terbabit. Saya percaya keluarganya dari Muar, Johor telah datang ke Sri Aman untuk mencari saudara mereka iaitu Haslinda.

“Haslinda patut pulang kembali ke Johor untuk mencari kehidupan baru di sana. Bagi saya ini adalah merupakan langkah terbaik yang patut beliau lakukan mulai sekarang daripada tinggal di sini,” menurut seorang penduduk yang tinggal tidak jauh daripada kediaman Haslinda berkenaan.

Tamat.

Sokanjaya Betong lawat Kapit



Caption:

1. UNTUK ALBUM...Rombongan JKR Betong bergambar kenangan di hadapan Fort Slyvia, Kapit ketika berlangsungnya aktiviti itu.

2. CERIA...Pasukan futsal wanita JKR Betong dan Kapit bergambar kenangan sebaik sahaja tamat perlawanan futsal bersempena program itu.


SRI AMAN, Jumaat (26 Nov) - Seramai 60 orang ahli Kelab Sokanjaya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong telah melibatkan diri aktiviti lawatan muhibbah ke JKR Kapit bermula 12 hingga 14 November lepas.

Setiausaha Kelab Sokanjaya JKR Betong, Frauline Engkamat menerusi kenyataan beritanya memberitahu aktiviti ini bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan tali silaturahim antara kakitangan JKR Betong dan JKR Kapit.

“Beberapa aktiviti telah diadakan bagi memeriahkan aktiviti ini. Antaranya ialah perlawanan futsal, senamrobik, bolasepak persahabatan, lawatan dan majlis makan malam bersempena aktiviti ini,” katanya.

Pada 13 November katanya, acara perlawanan persahabatan futsal wanita (seri 0-0) dan lelaki (seri 2-2) diadakan untuk kedua-dua pihak di Stadium Tertutup Bleteh Kapit sebelum berlangsungnya perlawanan bolasepak persahabatan (JKR Betong menang 2-1) di Stadium Terbuka Kapit.

Sebaik sahaja selesai perlawanan tersebut para ahli rombongan Kelab Sokanjaya JKR Bahagian Betong kata Frauline telah dibawa untuk berkunjung ke tapak Fort Sylvia dan Muzium Dewan Suarah Kapit.

“Pada sebelah malamnya rombongan kami telah diraikan dengan jamuan makan malam di perkarangan Depo JKR Kapit yang diserikan dengan pertandingan joget, nyanyian spontan, upacara cabutan bertuah dan Man & Ladies of The Nite sebelum berangkat pulang ke Betong pada keesokan hari.

“Dengan tahun 2010 hampir melabuhkan tirai, kembara ke Kapit adalah yang terakhir pada tahun ini bagi Kelab Sokanjaya JKR Bahagian Betong. Justeru diharap agar hubungan muhibah antara dua pihak dapat diperkukuhkan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Tamat

Harden sifatkan Rayong sebagai jambatan BN


Caption: SERIUS...Harden ketika berucap pada majlis kesyukuran Dr Rayong di Selindung Ili, Engkilili kelmarin.


ENGKILILI, Jumaat (26 Nov) – Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis menyifatkan Dr Johnnical Rayong Ngipa sebagai jambatan yang menghubungkan rakyat dan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili semenjak tahun 2006 lepas.

Rayong, ADUN Engkilili yang diterima kemasukannya dalam BN sebelum ini dianggap oleh beliau sebagai seorang wakil rakyat yang berkebolehan dalam memimpin rakyat di kawasannya untuk menikmati kemajuan daripada kerajaan selepas ini.

“Justeru saya berharap agar semua rakyat, pegawai kerajaan dan ketua kaum di Engkilili memberi sepenuh kerjasama terhadap beliau (Rayong) dalam menjayakan segala program pembangunan di sini mulai sekarang,” katanya.

Harden yang juga ADUN Simanggang berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran sempena kemasukan Rayong ke dalam Parti Bersatu Rakyat Sarawak atau SUPP yang berlangsung di Rumah Changgai Junong, Selindung Ili, Engkilili kelmarin.

Selain itu beliau juga mengingatkan rakyat di Engkilili bahawa usaha pembangunan dalam kawasan mereka tidak harus disandarkan ke bahu wakil rakyat sebaliknya perlu dibantu secara bersama oleh mereka sendiri dan kakitangan kerajaan yang lain.

“Rakyat dalam kawasan Engkilili juga perlu menolak kehadiran ‘langgau’ (penghasut) yang cuba mengagalkan rancangan pembangunan di kawasan mereka lebih-lebih ketika menjelang pilihan raya negeri kelak.

“Masa depan pembangunan hidup lebih penting dari mendengar hasutan orang lain. Maka itu adalah amat penting sekiranya semua rakyat Engkilili bekerjasama dengan wakil rakyat mereka untuk tujuan pembangunan dari masa ke semasa,” katanya.

Harden menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan bagi tahun 2011 bernilai RM3,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Changgai manakala RM2,000 lagi untuk biro wanita rumah panjang berkenaan.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri George Chan Hong Nam. Hadir sama ialah ADUN Engkilili, Dr Rayong, ADUN Opar, Ranum Mina, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Sie Hua Thong, Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat, pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

28 November, 2010

Hi guys!

Sorry kerana tidak update blog. Penulis berkunjung ke Ulu Batang Ai selama dua hari.

Lepas ni kita update k ;)

25 November, 2010

George Chan yakin BN sudah sedia hadapi pilihan raya


Caption: SELAMAT DATANG...Dr Chan (dua kiri) sambil diapit oleh Rayong (kiri) dan Harden (kanan) sedang menyaksikan persembahan tarian singa sebaik sahaja tiba untuk merasmikan majlis terbabit hari ini.

ENGKILILI, Khamis (25 Nov) – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri George Chan Hong Nam yakin bahawa Barisan Nasional (BN) Negeri sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri yang diramal akan berlangsung tidak lama lagi.

Beliau yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) berkata ia disebabkan wujudnya perubahan positif tentang sokongan semua rakyat Sarawak terhadap BN sebelum ini.

“Lagipun sebab lainnya adalah sering berlaku pertelingkahan dikalangan pihak pembangkang yang tampak saling tidak bersetuju antara satu sama lain berhubung sesuatu isu sebelum ini.

“Senario ini menimbulkan peluang baik bagi BN untuk menang. Justeru saya yakin faktor ini perlu dipertimbangkan oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud untuk menentukan bila tarikh pilihan raya negeri dilangsungkan kelak,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas diminta untuk memberikan komen mengenai kenyataan Taib yang menyatakan bahawa tarikh pilihan raya negeri sudah pun berada di dalam fikiran beliau ketika ditemui pemberita kelmarin.

Terdahulu Chan telah merasmikan Majlis Kesyukuran sempena kemasukan ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa ke dalam SUPP yang berlangsung di Rumah Changgai Junong, Selindung Ili, Engkilili hari ini.

Rayong akan terus mempertahankan kerusi DUN Engkilili manakala Datuk Francis Harden Hollis selaku Timbalan Setiausaha Agong SUPP merangkap ADUN Simanggang diberi mandat untuk mempertahankan kerusi DUNnya pada pilihan raya negeri kelak seperti yang diumumkan oleh beliau pada majlis itu.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, ADUN Opar, Ranum Mina, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Sie Hua Thong, Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat, pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

Jangan bertopengkan BN lawan saya - Rayong


Mugshot: DR JOHNNICAL RAYONG NGIPA

ENGKILILI, Khamis (25 Nov) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa tidak kisah sekiranya terdapat mana-mana pihak pembangkang yang mahu bertanding untuk merebut kerusi DUN beliau pada pilihan raya negeri kelak.

Bagaimanapun beliau tidak mahu sekiranya calon yang mahu bertanding untuk merebut kerusi DUN Engkilili pada pilihan raya negeri ini nanti terdiri daripada mereka yang ‘bertopeng’kan Barisan Nasional (BN).

“Golongan ini mempunyai agenda politiknya tersendiri untuk berbuat demikian. Justeru saya meminta agar pihak terbabit berhenti berbuat demikian menjelang pilihan raya negeri ini kelak,” katanya tanpa mendedahkan identiti orang berkenaan.

Rayong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran sempena kemasukan beliau dalam BN bertempat di Rumah Changgai anak Junong, Selindung Ili, dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman hari ini.

Selain itu beliau juga yakin bahawa kemasukannya dalam BN akan membolehkan lebih banyak kawasan penempatan rakyat di DUN Engkilili menerima pembangunan daripada kerajaan BN selepas ini.

“Saya meminta rakyat melupakan kisah politik di sini mulai sekarang. Paling penting ialah rakyat terus mengundi BN pada pilihan raya negeri kelak agar kawasan Engkilili dapat dimajukan dari masa ke semasa,” katanya.

Rakyat kata Rayong perlu mengundi calon BN pada pilihan raya negeri kelak sebagai tanda terima kasih mereka terhadap sumbangan kerajaan dalam memajukan hidup mereka selama ini.

Beliau pada majlis itu telah mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 untuk JKKK Rumah Changgai dan RM3,000 lagi untuk biro wanita rumah panjang terbabit bagi tahun 2011.

Majlis ini dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam. Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, ADUN Opar, Ranum Mina, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Sie Hua Thong, Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat, pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

Lina Dana hilang semenjak 12 November - Tolong lapor polis kalau tahu


Caption: HILANG...Pihak polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan kedudukan Lina anak Dana yang dipercayai hilang semenjak 12 November lepas hingga sekarang.

SRI AMAN, Khamis (25 Nov) – Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Betong meminta bantuan orang ramai untuk mencari Lina anak Dana, 16, dari Rumah Lanyau Linsom, Layar, Betong yang dipercayai hilang semenjak 12 November lepas.

Pelajar perempuan tingkatan 4 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Layar, Betong itu dipercayai hilang sekitar jam 5 petang ketika tamat sesi persekolahan di sekolah terbabit pada hari berkenaan.

“Si bapa telah pergi ke sekolah berkenaan untuk mencari Lina sekitar waktu itu untuk membawanya pulang ke rumah sebelum mendapati bahawa anaknya gagal dikesan setelah puas mencari,” kata jurucakap polis ketika dihubungi hari ini.

Si bapa kemudian dimaklumkan oleh orang ramai bahawa anak perempuannya itu dilihat mengikut seorang lelaki pergi dari sekolah terbabit setelah puas menanya rakan-rakan anaknya berhubung perkara berkenaan sebelum itu.

Menurut sumber orang ramai kata polis, Lina dilihat menumpang kenderaan Perodua Kancil berwarna Maroon milik lelaki terbabit untuk pergi dari sekolah itu pada waktu petang hari tersebut.

“Si bapa seterusnya bertindak membuat laporan polis pada waktu pagi 19 November lepas untuk tujuan tindakan lanjut setelah anak perempuannya tidak pulang ke rumah selama seminggu.

“Lina masih hilang hingga ke hari ini. Justeru kami meminta orang ramai menghubungi Sarjan Chimbie Jaritan di talian 014 – 8982669 atau 083-472767 sekiranya mendapat maklumat mengenai kedudukan terkini pelajar perempuan berkenaan,” katanya.

Tamat.

Lelaki pengsan selepas pick up masuk parit

SRI AMAN, Khamis (25 Nov) – Satu peristiwa kemalangan kecil membabitkan seorang lelaki telah menarik perhatian orang ramai yang sedang membeli-belah di Pasaraya Lian Yii sekitar jam 8 malam tadi.

Sumber dari tempat kejadian memberitahu peristiwa dipercayai bermula apabila seorang lelaki mahu memandu keluar kenderaannya dari kawasan perkarangan dalam berdekatan bangunan Sebor.

Bagaimanapun kenderaan jenis pacuan empat roda yang dipandu oleh beliau tiba-tiba menjunam masuk ke longkang yang terletak di luar bangunan berkenaan sebaik sahaja kenderaannya dipandu keluar.

Sebaik sahaja kenderaan pacuan empat roda berkenaan terjunam ke dalam longkang, lelaki terbabit dilihat terus keluar dari kenderaannya lalu pengsan di tempat kejadian berkenaan.

Orang ramai kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian kemalangan kecil ini untuk menghulurkan bantuan kepada lelaki terbabit yang dipercayai mengalami pitam atau strok ketika memandu kenderaan tersebut.

“Beberapa orang penduduk kemudiannya bertindak menghantar lelaki tersebut ke hospital untuk tujuan rawatan lanjut. Kami percaya mangsa mengalami masalah kesihatan ketika cuba memandu kenderaan itu,” kata sumber.

Tamat.

KPSU Betong anjur bengkel pengurusan di Saratok


Caption: UNTUK ALBUM...Wahab (duduk tengah) sambil diapit oleh Easkandar (kanan) ketika merakamkan gambar kenangan bersama peserta dan tetamu undangan khas pada program itu.


SARATOK, Rabu (24 Nov) - Seramai 45 orang peserta telah menghadiri Program Bengkel Pengurusan Persatuan Belia Peringkat Bahagian Betong bertempat di Dewan Masyarakat Saratok bermula dari 19 hingga 21 November lepas.

Program Bengkel Pengurusan Persatuan Belia Peringkat Bahagian Betong ini adalah merupakan anjuran Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Bahagian Betong.

Penguasa KPSU Betong, Easkandar Nazim bin Haji Mohd Eastern memberitahu Program Bengkel Pengurusan Persatuan Belia Peringkat Bahagian Betong ini membabitkan peserta yang berumur 19 tahun ke atas.

“Para peserta menerusi program yang berlangsung selama tiga hari berkenaan telah diberi pendedahan mengenai hal ehwal pengurusan, kepimpinan dan persatuan dalam diri masing-masing.

“Ia bertujuan untuk mewujudkan kecekapan dikalangan para ahli dalam mengendalikan sesebuah persatuan yang mereka sertai selepas ini,” katanya sambil menambah bahawa para peserta terdiri daripada mereka yang bergiat aktif dalam Saberkas, KRT, Sekolah dan Ngo di Bahagian Betong.

Justeru beliau berharap agar para peserta yang menghadiri bengkel ini dapat memanfaatkan sepenuhnya ilmu pengetahuan yang mereka peroleh demi memajukan persatuan masing-masing di masa akan datang.

Majlis penutupan rasmi dan penyampian sijil kepada semua peserta telah disempurnakan Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Bandar. Haji Abdul Wahab Aziz merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaka.

Tamat.

Manfaat sepenuhnya bantuan pertanian dari kerajaan


Caption: MANFAATKAN...Harden (tengah) menyempurnakan simbolik penyerahan anak ayam kepada Tr Thomas (kiri) pada majlis berkenaan.


SRI AMAN, Rabu (24 Nov) – Penduduk luar bandar perlu memanfaatkan sepenuhnya bantuan pertanian yang diberi oleh kerajaan terhadap mereka selepas ini demikian menurut Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Katanya bantuan pertanian daripada kerajaan bertujuan untuk membantu mengeluarkan penduduk luar bandar dari kelompok kemiskinan menjelang kemajuan negara pada tahun 2020 kelak.

“Kerajaan telah melakukan pelbagai usaha bagi menaiktaraf hidup penduduk luar bandar antaranya pemberian baja pertanian terhadap mereka, bantuan haiwan ternakan secara percuma (seperti ayam) dan banyak lagi.

“Oleh itu saya meminta penduduk luar bandar memanfaatkan bantuan terbabit sebaik mungkin. Kerajaan tidak mahu bantuan berkenaan disia-siakan oleh penduduk luar bandar selepas ini,” menurut beliau.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Anak Ayam di Rumah Thomas, Brangan Ulu, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu beliau juga turut menasihatkan penduduk luar bandar untuk mengubah corak pemikiran lama masing-masing sekiranya berniat untuk memajukan keluarga mereka di masa akan datang.

“Corak pemikiran lama penduduk boleh dilihat apabila mereka masih lagi mahu melaksanakan kerja bertani secara sara diri di atas tanah milik masing-masing berbanding penduduk yang terlibat dalam projek pertanian komersial.

“Ini boleh menyebabkan mereka ketinggalan dalam kemajuan hidup berbanding penduduk luar bandar yang bijak mengubah pandangan masing-masing. Jika usaha untuk mewujudkan golongan penduduk berpendapatan tinggi pada tahun 2020 maka pemikiran seperti ini harus disingkirkan,” kata beliau.

Majlis penyerahan anak ayam oleh Jabatan Pertanian Sarawak kepada penduduk Rumah Thomas, Brangan Ulu turut disaksikan oleh Pegawai Veteriner Jabatan Pertanian Sri Aman iaitu Chana Langkan.

Tamat.

Projek Estet Mini Getah ubah taraf hidup penduduk - Mong


Caption: RASMI...Mong sedang menyempurnakan upacara pecah tanah projek RME di Selepong dengan menggunakan jentolak pada majlis berkenaan.


SRI AMAN, Rabu (24 Nov) – Pembabitan penduduk luar bandar dalam projek Mini Estet Getah (RME) bakal mengubah masa depan hidup mereka selepas ini demikian menurut Menteri Muda Permodenan Pertanian, Mong anak Dagang.

Ini kerana pembabitan penduduk luar bandar dalam projek berkenaan katanya dilihat amat sesuai sejajar dengan peningkatan harga jualan getah pada masa sekarang iaitu RM8 hingga RM9 sekilogram.

“Saya yakin lebih ramai penduduk akan memohon projek ini dengan adanya kerjasama daripada agensi kerajaan yang lain seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah, RISDA.

“Justeru saya berharap agar penduduk di kawasan luar bandar mengambil kesempatan untuk bergiat dalam projek RME bagi mengubah taraf hidup ekonomi masing-masing mulai sekarang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai Majlis Pecah Tanah Projek REM di Selepong, Sri Aman kelmarin.

Mong turut menambah bahawa usaha penanaman getah dianggap mudah diuruskan oleh pemiliknya disamping dapat menjana pendapatan dalam masa yang singkat selepas itu.

Terdahulu seramai 68 peserta dari enam buah rumah panjang dari kawasan Selepong, Sri Aman terlibat dalam perlaksanaan projek RME di atas tanah berkeluasan 170 hektar.


Menerusi kos perlaksanaan projek RME yang menelan hampir RM800,000 terbabit, usaha penanaman benih anak getah bagi tujuan itu dijangka akan bermula pada bulan Jun tahun hadapan.

Hadir sama pada majlis itu ialah wakil Pejabat Daerah Sri Aman, Rickson Jauu dan Pengerusi RME Selepong, Maxwell Mujok Udin.

Tamat.

23 November, 2010

Bank Islam sumbang tiga ekor lembu untuk penduduk Kampung Sessang, Kabong


Caption: IKHLAS...Malek (kanan) menyampaikan bungkusan daging kepada wakil penduduk kampung Sessang sambil diperhatikan oleh Maslem (dua kiri) pada majlis itu.

KABONG, Selasa (23 Nov) - Sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha, individu yang berkemampuan mahupun pihak swasta masih lagi mengambil peluang untuk menjalankan ibadat korban bagi membantu golongan yang memerlukan.


Di Sarawak, pihak Bank Islam Malaysia Berhad kelmarin telah memilih Kampung Sessang di Kabong untuk melaksanakan ibadat korban bagi sambutan Perayaan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Ketua Wilayah Malaysia Timur Bank Islam, Abdul Malek Abdullah ketika ditemui memberitahu pihaknya telah menyumbang sebanyak tiga ekor lembu kepada penduduk Kampung Sessang bagi tujuan itu.

“Kakitangan Bank Islam secara keseluruhannya telah menyumbang sebanyak lapan ekor lembu untuk dikorban bagi diagihkan kepada golongan miskin, ibu-ibu tunggal dan anak-anak yatim.

“Tiga daripadanya disumbang kepada penduduk Kampung Sersang manakala selebihnya lima ekor lagi disumbang kepada masjid dan surau di Selangor serta Johor,” katanya sambil menambah bahawa pihak Bank Islam turut menyerahkan hamper dan duit raya kepada empat keluarga miskin di Kampung Sessang.

Selain beribadah aktiviti ibadat korban kata Malek juga mampu membentuk rasa tanggungjawab individu dan pihak swasta dalam membantu penduduk yang kurang berkemampuan.

Sementara itu Penghulu Haji Maslem bin Elin pula berpendapat aktiviti ini secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim bukan sahaja antara pihak penyumbang tetapi di kalangan penduduk kampung itu sendiri.

Tamat.

BN faham keperluan rakyat - Rayong


Caption: RASMI...Rayong sedang memalu gong sebagai simbolik perasmian majlis sambil disaksikan tetamu khas yang lain pada majlis itu.


ENGKILILI, Selasa (23 Nov) – Kerajaan Barisan Nasional (BN) sedar dan faham mengenai masalah pendidikan yang melanda penduduk dari kawasan luar bandar selama ini kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa.

Atas sebab ini kerajaan BN katanya tidak pernah sama sekali mengabaikan aspek pembangunan pendidikan penduduk yang tinggal dalam kawasan luar bandar Sarawak semenjak dari dahulu.

“Faktor masalah perhubungan dan kedudukan sekolah yang jauh dari penempatan penduduk luar bandar sememangnya menjadi isu utama bagi pendidikan anak-anak mereka selama ini.

“Oleh itu kerajaan BN telah merangka pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah ini. Ia termasuklah meneliti masalah perhubungan antara kedudukan penempatan dan sekolah sebelum langkah diambil bagi menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya.

Beliau beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pagar Sekolah dan Majlis Penyampian Sijil dan Hadiah Sekolah Kebangsaan Ijok, dalam daerah Kecil Engkilili baru-baru ini.

Selain itu Rayong juga mahu hubungan perpaduan antara penduduk berbilang kaum dalam daerah kecil Engkilili dipertingkat ke tahap lebih baik demi kebaikan semua pihak pada masa akan datang.

“Jangan gunakan isu politik demi mewujudkan jurang antara tiga kaum utama di sini iaitu Dayak, Cina dan Melayu kerana apa yang kerajaan mahukan sekarang ialah perpaduan yang kukuh dikalangan mereka.

“Sayugia diingatkan bahawa perpaduan boleh menyumbang kepada kelancaran proses pembangunan di kawasan kita. Justeru saya berharap agar semua pihak mengambil berat tentang perkara ini mulai sekarang,” katanya.

Tamat.

Pertandingan Tilawah Al Quran dan Nasyid Sri Aman bulan Disember ini

SRI AMAN, Selasa (23 Nov) – Satu pertandingan Majlis Tilawah Al-Quran bagi peringkat Daerah Sri Aman bakal diadakan pada bulan Disember ini nanti.

Pegawai Penerangan Bahagian Sri Aman dan Betong, Saini Bojeng menerusi kenyataan beritanya memberitu pertandingan ini terbahagi kepada dua zon iaitu Zon Lingga dan Zon Sri Aman.

“Majlis Tilawah Al-Quran bagi Zon Lingga akan berlangsung dari 8 hingga 9 Disember bertempat di Masjid Al-Hana, Lingga manakala Majlis Tilawah Al-Quran bagi Zon Sri Aman pula akan berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Hilir, Sri Aman dari 15 hingga 16 Disember.

“Pertandingan bagi Zon Lingga ini mencakupi 11 buah kampung dari kawasan Kampung Melayu Skait hingga ke Pekan Lingga manakala zon Sri Aman pula bakal mencakupi 16 buah kampung dari kawasan Kampung Sembau hingga bandar Sri Aman,” katanya.

Selain itu pertandingan ini kata Saini akan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori Lelaki (Qari), Kategori Perempuan (Qariah) dan satu kategori baru iaitu Jategori Saudara Baru.

Peserta yang memenangi pertandingan Majlis Tilawah Al-Quran ini katanya akan memenangi hadiah wang tunai bernilai RM200 manakala RM150 lagi untuk pemenang kedudukan naib johan dan RM100 untuk pemenang tempat ke-3.

“Mereka yang memenangi pertandingan Majlis Tilawah Al-Quran ini dipilih mewakili daerah Sri Aman untuk pertandingan pertandingan Majlis Tilawah Al-Quran bagi peringkat Negeri Sarawak,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa turut diadakan pada pertandingan Majlis Tilawah Al-Quran ini nanti ialah Pertandingan Nasyid bagi Kategori Tradisi dan Kategori Moden.

Justeru penduduk daerah Sri Aman yang berminat untuk kedua-dua menyertai pertandingan ini nanti boleh datang ke Pejabat Daerah Sri Aman dan Pejabat Agama Islam Sri Aman untuk mendapatkan borang penyertaan pertandingan.

Tamat.

Harden minta JKKK terus sebar dasar pembangunan BN



Caption: PENGHARGAAN...Tr Lewis (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Harden ketika berlangsungnya majlis itu.


SRI AMAN, Selasa (23 Nov) – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diminta untuk lebih kerap menerangkan dasar pembangunan kerajaan dikalangan penduduknya selepas ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis menyampaikan pesanan ini kepada JKKK di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Lewis, Ulu Paku, Batu Lintang baru-baru ini.

“Ini kerana JKKK merupakan pihak yang paling hampir dengan penduduk yang tinggal di bawah pentadbiran mereka bagi tujuan penerangan mengenai dasar pembangunan kerajaan dari masa ke semasa.

“Kita mahu JKKK berbuat demikian agar kerajaan lebih mudah melaksanakan projek pembangunan di kawasan mereka selepas ini. Jika penduduk tidak faham maka usaha ini akan menjadi sukar,” katanya.

Selain itu beliau yang juga ADUN Simanggang mahu penduduk untuk terus menyokong dasar politik pembangunan yang diilhamkan oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Taib Mahmud selama ini.

Dasar politik pembangunan oleh ketua menteri kata Harden memperuntukan pembangunan sama rata untuk semua penduduk di Sarawak tanpa mengira latar belakang kaum dan agama masing-masing selama ini.

“Oleh yang demikian saya meminta semua penduduk dalam kawasan DUN Simanggang untuk tidak memperlekehkan dasar politik pembangunan yang dilaksanakan oleh pihak Barisan Nasional menerusi Pehin Sri Taib.

“Kita mahu pembangunan yang dibawa menerusi dasar ini dapat menyenangkan hidup penduduk. Semua pihak perlu maklum bahawa dasar ini dapat mengubah hidup mereka demi kemajuan hidup pada masa akan datang,” katanya.

Tamat.