Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 October, 2010

Sempena Piala Sarawak 2010: Jangan kisahkan keputusan pengadil - Shamshuddin


Caption: SEDIA BERJUANG...Shamshuddin (tengah) ketika merakamkan gambar kenangan bersama pihak pegawai pengurusan dan pemain skuad Merpati Putih Sri Aman sebelum keberangkatan mereka ke Kuching pada 17 Oktober ini.

- 15 Okt

Skuad Merpati Putih Sri Aman dinasihat agar tidak mengambil kisah terhadap segala keputusan pengadil ketika berlangsungnya Kejohanan Bolasepak Piala Sarawak 2010 di Kuching bermula 17 hingga 21 Oktober ini nanti.

Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan para pegawai pengurusan, jurulatih dan pemain yang mewakili skuad Sri Aman ke kejohanan berkenaan bertempat di bilik persidangan Pejabat Residen Sri Aman hari ini.

Menurut beliau skuad Merpati Putih perlu memberi lebih banyak fokus ketika turun menentang skuad Mukah dan Kuching dalam perlawanan saingan Kumpulan C pada 19 dan 21 Oktober kelak.

“Biarlah penonton menilai perlawanan kita pada kejohanan itu kelak. Jangan pertikai atau mengambil kisah terhadap segala keputusan yang dikeluarkan oleh pengadil ketika menentang Mukah dan Kuching dalam Kumpulan C ini nanti,” menurut beliau.

Selain itu Shamshuddin juga menasihatkan semua pemain skuad Merpati Putih untuk mempamerkan rentak permainan yang lebih professional demi menyingkirkan persepsi negatif penonton terhadap mereka selepas ini.

“Dahulu orang katakan bahawa skuad Merpati Putih adalah skuad belasahan (under dog). Justeru skuad Merpati Putih perlu membuktikan bahawa mereka adalah pasukan yang kuat dan bermain secara professional pada kejohanan itu kelak,” menurut beliau.

Shamshuddin juga merakamkan penghargaan terima kasihnya terhadap Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis dan Menteri Muda Pertanian, Mong Dagang di atas sokongan mereka terhadap pasukan berkenaan sebelum ini.

Hadir sama ialah Pengurus Skuad Merpati Putih, Wan Shaferi Wan Abdullah, penolongnya, Zaidil Haji Ripin, Penolong Jurulatih, Tahir Ibrahim dan Pegawai Tadbir Sosial Pejabat Residen Sri Aman, Zaidi Sarkawi.

Pemain kesebelasan utama skuad Merpati Putih Sri Aman akan dibarisi oleh Abang Yahya Haji Abang Sulaiman, Aza Zakri Jahar, Abdul Mutalif Tamin, Abdullah Sanyut, Abang Zainul Akhbar Abang Budiman, Jameri Budiman, Awang Zaharuddin Awang Ahmad, Wan Saberi Wan Sarbini, Tuanku Mazuan Wan Sarbini, Mohd Israk Haji Ismail serta Trevor Saga Banga.

Manakala selebihnya pemain simpanan ialah Victor Abit, Mackenzia Richard Riot, Nicoleson Kumpang, Abang Mohd Zaini, Hairil Jaafar, Noorfaizal Abang Tamizi, Frankie James, Abang Jolhadi Abang Budiman, Akmal Nerawi, Mohd Zulfadzli Tahir dan Nick Yunus Illahi.

Kesemua pemain yang membarisi skuad Merpati Putih Sri Aman kali ini telah dipilih menerusi Kejohanan Bolasepak Piala Datuk Francis Harden Hollis yang berlangsung di Sri Aman pada bulan Julai lepas.

Tamat.

No comments:

Post a Comment