Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 October, 2010

Sabar kalau mahukan pembangunan - Nyalau


Caption: BERJIWA RAKYAT...Nyalau sedang berbual dengan penduduk sebaik sahaja tiba untuk merasmikan majlis berkenaan.

ENGKILILI, Jumaat (29 Okt) - Masyarakat tempatan terutamanya di kawasan luar bandar diseru agar lebih bersabar untuk menikmati hasil faedah pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak, demikian kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Katanya, masyarakat di kawasan luar bandar harus bersabar memandangkan kerajaan tidak boleh bertindak melaksanakan segala projek pembangunan sekaligus atau secara serentak di seluruh pelusuk kawasan negeri ini dalam satu masa.

“Projek pembangunan di setiap kawasan dalam negeri ini telah dilaksanakan secara berperingkat atau lebih tersusun dan atas sebab inilah terdapat kawasan tertentu yang belum menikmati hasil pembangunan secara menyeluruh.

“Kerajaan dibawah kepimpinan BN Sarawak tidak mahu melaksanakan segala projek pembangunan untuk kebaikan masyarakat secara ‘melepaskan batuk di tangga’ memandangkan kerajaan ingin memastikan agar setiap projek yang siap mampu membawa perubahan taraf hidup dalam masyarakat,” katanya.

Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program 1Malaysia Bersama Pemimpin bertempat di Rumah Ensudin, Tisak, Ulu Skrang dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu katanya, terdapat sesetengah masyarakat luar bandar berpendapat bahawa pihak kerajaan sentiasa mengutamakan projek pembangunan di dalam kawasan bandar berbanding dengan kawasan luar bandar dan pendapat ini ternyata tidak benar sama sekali.

Malah kata Nyalau, pihak kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memastikan agar penduduk yang menetap di kawasan dalam dan luar bandar sama-sama menikmati pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan semenjak dari dulu lagi.

“Apa yang paling penting pada masa sekarang ialah masyarakat tempatan terus menghulurkan sokongan mereka kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli parlimen BN di kawasan masing-masing,” katanya.

Program yang dirasmikan oleh beliau ini turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa dan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) bagi Parlimen P.203 Lubok Antu iaitu Geoffery Baja anak Ricky Maba.

Rayong dan Nyalau menerusi program berkenaan telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 dan RM15,000 kepada Rumah Ensudin bagi tujuan pembinaan jalan ke rumah panjang terbabit.

Kedua-dua mereka juga turut mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 (Rayong) dan RM3,000 (Nyalau) kepada biro wanita rumah panjang berkenaan menerusi program terbabit.

Tamat.

No comments:

Post a Comment