Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

04 October, 2010

Promosikan sukan Futsal - Harden


Caption: RASMI...Harden (tengah) sedang menyepak bola sebagai simbolik perasmian pertandingan futsal sambil disaksikan oleh Shyennier (kiri) dan TR Michael John (tiga kiri) di Undop, Batu Lintang.


SRI AMAN, Isnin (4 Okt) – Promosi sukan Futsal perlu ditingkatkan dikalangan belia demi menarik penglibatan lebih ramai golongan berkenaan ke dalam sukan itu selepas ini demikian menurut Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Promosi mengenai sukan kata beliau adalah amat penting memandangkan sukan Futsal katanya boleh mewujudkan daya kecergasan fizikal dan mental yang tinggi dalam diri pemain khususnya para belia.

“Kerajaan mahu melahirkan golongan pelapis pembangunan negara yang cergas dan sihat menerusi penganjuran pelbagai aktiviti sukan dari masa ke semasa termasuklah sukan Futsal.

“Kita tidak mahu golongan belia kita terjerumus dalam masalah sosial seperti pengambilan dadah, menghidu gam, gengsterisme dan sebagainya kerana ia boleh mengancam kesinambungan pembangunan negara pada masa akan datang,” menurut beliau.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan sepak mula Pertandingan Futsal 1Belia 1Malaysia Peringkat Parlimen P.202 Sri Aman bagi Zon C Simanggang di Batu Lintang, Undop, baru-baru ini.

Selain itu beliau juga mengalakkan para belia untuk memanfaatkan sepenuhnya setiap kemudahan sukan yang dibina oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di kawasan mereka selepas ini.

“Kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit demi mempertingkatkan kemudahan sukan penduduk di negara ini khasnya di Sarawak. Justeru kerajaan mahu penyediaan kemudahan sukan ini tidak disia-sia oleh semua penduduk,” katanya.

Terdahulu pasukan Sokanjaya dan L.4 FC berjaya melangkah ke pusingan akhir pertandingan terbabit pada 9 Oktober ini setelah muncul sebagai juara dan naib juara bagi saingan Kumpulan A.

Manakala pasukan Belia Kampung Muhibah dan Galaticos pula melangkah ka pusingan akhir pertandingan itu setelah muncul sebagai juara dan naib juara bagi Kumpulan B. Sejumlah 11 buah pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan Futsal untuk Zon C Simanggang bermula 2 hingga 3 Oktober lepas.

Hadir sama untuk menyaksikan upacara sepak mula kejohanan ini ialah Pegawai Jabatan Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman, Shyennier Jean Serit, Tuai Rumah Michael John dan Kanselor Sawing Sumar.

Sementara itu Pertandingan Futsal 1Belia 1Malaysia Peringkat Parlimen P.202 Sri Aman bagi Zon A Balai Ringin juga menyaksikan pasukan KSK Balai Ringin A, Tentera, Sonet 18B dan Tunas Futsal mara ke pusingan akhir kejohanan berkenaan pda 9 Oktober ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment