Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

09 October, 2010

Pesara tentera tolong bantu sebar dasar BN - Harden


Caption: PENGHARGAAN...Harden (kanan) sedang menyemat Pingat Jasa Malaysia di dada seorang penerima sambil disaksikan oleh Nalang (tengah), Abah (kiri) dan Monday (kanan) pada majlis itu.

SRI AMAN, Sabtu (9 Okt) – Pesara atau bekas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diseru untuk membantu Barisan Nasional (BN) bagi menyebar dasar pembangunan kerajaan kepada rakyat selepas ini kata Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.


Ini kerana pesara ATM menurut beliau merupakan kelompok individu yang disegani rakyat di atas sumbangan mereka dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara semenjak negara mengecapi kemerdekaan 53 tahun lepas.


“Bekas dan pesara ATM sebenarnya masih boleh menyumbang jasa mereka kepada negara dengan membantu menyebar dasar pembangunan kerajaan kepada semua rakyat lapisan kaum dalam negara ini khususnya di Sri Aman.


“Sumbangan bekas ATM seumpama ini secara tidak langsung akan dapat membantu kerajaan melaksanakan projek pembangunan untuk dengan penuh lancar di masa akan datang,” katanya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam JasaMu Dikenang bersempena dengan Kutipan Derma Rayuan Hari Pahlawanan Tahun 2010 bertempat di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.


Selain itu Harden juga menasihatkan bekas dan pesara ATM untuk mendaftarkan diri dalam PBTM di cawangan masing-masing bagi menentukan hala tuju hidup mereka selepas ini.


“Dengan mendaftarkan diri masing-masing dalam PBTM, kebajikan hidup pesara tentera akan sentiasa dijaga dan mendapat perhatian daripada pihak kerajaan dari masa ke semasa.

“Justeru saya berharap agar mereka yang belum berbuat demikian terus bertindak mendaftarkan diri masing-masing dalam PBTM selepas ini demi memperkuatkan lagi kesatuan terbabit di masa akan datang,” katanya.


Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Sarawak, Mejar Monday Juhid, Timbalan Yang Dipertua PBTM Bahagian Sarawak, Nalang Selingau, Pembantu Khas Ahli Parlimen Sri Aman, Abah Unggie, ahli jawatankuasa PBTM Sri Aman dan penduduk di sini.


Harden pada majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada PBTM cawangan Sri Aman manakala RM5,000 lagi pula daripada Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.


PBTM cawangan Sri Aman kini mempunyai lebih 500 orang ahli seumur hidup.
Turut berlangsung pada majlis itu ialah penyampaian Pingat Jasa Malaysia kepada penerima.

Tamat.

No comments:

Post a Comment