Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

22 October, 2010

Penduduk perlu cebur bidang pemprosesan makanan - Mong


Caption: MANFAATKAN ILMU...Mong (kanan) menyampaikan sijil kepada Nancy Tutong (kiri) sambil disaksikan oleh (dari kiri sekali) Douglas, Felicia, Nicholas dan Atiqah pada majlis itu.

SRI AMAN, Khamis (21 Okt) – Penduduk luar bandar digalak untuk menceburi bidang industri pemprosesan makanan di kawasan masing-masing selepas ini demikian menurut Menteri Muda Permodenan Pertanian, Mong anak Dagang.

Industri pemprosesan makanan seperti penghasilan mi dan makanan berasaskan snek bergoreng seperti krepek ubi dan sebagainya menurut beliau mempunyai potensi pasaran yang luas dikalangan penduduk tempatan jika ia dihasilkan menerusi kualiti yang baik.

“Dengan menghadiri kursus yang dikendalikan oleh agensi kerajaan seperti Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), penduduk berpeluang menghasilkan produk makanan tersendiri jika mereka cekap memanfaatkan ilmu pengetahuan yang diperoleh menerusi kursus itu.

“Lagipun penduduk boleh memanfaatkan pengalaman mereka sendiri ketika menikmati produk makanan yang dijual di pasaran tempatan untuk dijadikan sebagai sukatan bagi menghasilkan produk makanan ciptaan sendiri yang lebih baik selepas itu,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Muda Pelancongan dan Warisan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Kursus Teknologi Pemprosesan Makanan Hasilan Mi dan Snek Bergoreng bertempat di dewan Rumah Anyai, Entulang Entawa, Sri Aman hari ini.

Selain itu pembabitan penduduk luar bandar dalam industri seperti itu kata Mong dilihat mampu menyumbang ke arah peningkatan taraf ekonomi keluarga mereka pada masa akan datang.

Malahan penglibatan penduduk dalam indsutri terbabit tambah beliau lagi dapat membantu kerajaan untuk mencapai matlamat melahirkan golongan penduduk berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 kelak.

“Justeru kerajaan menerusi agensi mereka akan mengadakan lebih banyak program seumpama ini untuk mengalakkan pembabitan penduduk luar bandar dalam bidang pemprosesan makanan dari masa ke semasa,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Residen (Pembangunan Sosial) Sri Aman, Felicia Tan, Pengawai Penyelidik MARDI, Nicholas Daniel, Penolong Setiausaha MID Sarawak, Atiqah Dolha, wakil Pejabat Daerah Sri Aman, Shamsiah Deli, Pegawai Tadbir Sarawak, Douglas Amut, para kakitangan MARDI dan MID yang lain.

Seramai 73 orang peserta mengambil bahagian dalam Kursus Teknologi Pemprosesan Makanan Hasilan Mi dan Snek Bergoreng yang berlangsung selama dua hari di Rumah Anyai, Entulang Entawa.

Tamat.

No comments:

Post a Comment