Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 October, 2010

Jalan Simunjan hancur di gasak lori muatan lebih


Caption: MALANG...Sebuah lori pengangkut kelapa sawit tersadai di sebuah lokasi jalan Simunjan apabila tayarnya tersangkut dalam lubang di laluan jalan raya terbabit baru-baru ini.


SIMUNJAN, Khamis (13 Okt) – Penduduk di kawasan Batang Ulu dan Batang Hilir, Simunjan menuntut pihak berkuasa untuk memantau pergerakan lori yang membawa barangan muatan berlebihan selepas ini.

Ini kerana pergerakan lori berkenaan dakwa mereka telah menyebabkan berlakunya masalah kerosakan jalan raya yang teruk di beberapa kawasan tertentu di Simunjan selama ini.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Eddie mendakwa pergerakan lori di Simunjan telah menimbulkan permukaan laluan jalan yang beralun serta berlubang sehingga sekarang.

Lori yang membawa muatan buah kelapa sawit, kayu balak dan batu kerikil secara berlebihan dakwa beliau nyata menimbulkan masalah pengangkutan terhadap pengguna kenderaan di kawasan Simunjan.

“Struktur jalan yang tidak kukuh nyata tidak mampu menahan berat bahan muatan yang diangkut oleh lori-lori tersebut. Kesannya ialah berlakunya masalah jalan pecah, rosak serta berlubang,” katanya.

Seorang lagi penduduk iaitu Embu pula mendakwa kerosakan jalan raya di Simunjan menyebabkan para pengguna kenderaan menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi disebabkan oleh perkara terbabit.

Katanya walaupun kerja membaiki jalan raya telah dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan selama ini namun pergerakan lori telah menyebabkan pembaikan tersebut hanya bertahan untuk beberapa hari sahaja sebelum ia rosak kembali.

“Dua minggu lepas sebuah kereta jenis Alza terjunam ke dalam parit besar berhampiran Kampung Empelas kerana terlanggar lubang selebar dua meter dengan ukuran dalamnya sebanyak 30 sentimeter ketika memandu dalam cuaca hujan lebat.

“Pemandu terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun keretanya mengalami kerosakan teruk. Justeru kami meminta jasa baik pihak berkuasa untuk memantau pergerakan lori berkenaan selepas ini,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment