Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

11 October, 2010

DUN Simanggang sebenarnya pesat membangun, bukan hambar tegas Harden


Caption: SELAMAT TINGGAL...Wakil keluarga angkat (kiri) sedang menerima cenderamata daripada peserta anak angkat (kanan) sambil disaksikan (belakang dari kiri) Sii, Aidi, Harden, Shamshuddin dan Walter pada majlis itu kelmarin.


SRI AMAN, Isnin (11 Okt) – Tahap pembangunan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang sebenarnya boleh dikatakan berada pada tahap membanggakan dan bukannya hambar seperti yang dianggap oleh pihak tertentu sebelum ini.

Wakil rakyatnya merangkap Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Hari Komuniti 1Malaysia 2010 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Rumah Jegai Jawa, Sungai Purai, Batu Lintang, Sri Aman petang kelmarin.

Menurut beliau tahap pembangunan membanggakan di kawasan beliau ini mencakupi projek penyediaan kemudahan Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES), Bekalan Air Bersih, pembinaan jalan raya dan juga jambatan.

“Misalannya projek penyediaan kemudahan RES kini sudah mencakupi sebanyak 90 peratus kawasan penduduk DUN Simanggang dan selebihnya 10 peratus lagi bakal dilaksana pada tahun 2011.

“Ia membabitkan pemohonan lewat (late applicant) daripada 76 buah keluarga di kawasan Klassin hingga Jegai, Batu Lintang. Menerusi peruntukan bernilai RM4.1 juta kelak, kerja penyediaan kemudahan RES untuk kesemua keluarga ini akan siap sepenuhnya dalam tempoh tahun hadapan,” menurut beliau.

Selain itu pelan cadangan mengenai pembinaan jalan raya bertar sepanjang 7.5 kilometer yang menghubungkan kawasan simpang Nyemungan hingga ke Ulu Paku, Batu Lintang kata Harden juga telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

Malahan cadangan untuk membina sebuah jambatan baru di kawasan itu (Undop, Batu Lintang) juga katanya sudah pun dikemukakan kepada pihak kerajaan bagi tujuan kelulusan selepas ini.

“Projek penyediaan kemudahan bekalan air terhadap penduduk sama ada air bersih dari Loji Rawatan Ai, Empango, Bayai atau dari sistem Graviti Feed kini juga sudah mencakupi hampir 70 hingga 80 peratus kawasan penduduk dalam kawasan DUN Simanggang.

“Kita akan dapat menyaksikan bahawa projek pembangunan penduduk akan berjalan dengan lebih pesat di kawasan DUN Simanggang mulai tahun hadapan,” kata Harden.

Justeru beliau berharap agar semua pihak sedar bahawa pembangunan dalam kawasan DUN Simanggang sedang berjalan dengan pesat dan bukannya hambar seperti yang dianggap oleh pihak tertentu sebelum ini.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Penolong Pengarah KEMAS Sarawak, Azrul Aidi Philip Abdullah, Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiyai, Ketua Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Sii Hua Tung, para kakitangan kerajaan dan penduduk di sini.

Seramai 38 orang peserta mengambil bahagian dalam program anak angkat yang diadakan menerusi majlis berkenaan bermula 8 hingga 10 Oktober lepas. Ia membabitkan penyertaan sebanyak 26 buah keluarga angkat dari sekitar kawasan Batu Lintang.

Tamat.

No comments:

Post a Comment