Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 October, 2010

Azoya Team juara Futsal Zon Debak


Caption: WAKIL DEBAK...Razi (kiri), Fidtri (dua kiri) dan Busri (duduk depan) bergambar kenangan bersama pasukan juara lelaki dan wanita sebaik sahaja tamat pertandingan berkenaan.

- 20 Okt

Pasukan Azoya Team muncul juara Kategori Lelaki Pertandingan Futsal 1 Belia 1 Malaysia Zon Debak selepas menewaskan pasukan Bujang Belalang Ngiga Ambai menerusi perlawanan akhir yang berlangsung di Gelanggang Sukan Pelbagai Guna, Pekan Debak, Betong baru-baru ini.

Pasukan dari Rumah Sengalang Debak itu muncul juara menerusi gol penentuan sepakan penalti 3 – 2 ke atas pasukan Bujang Belalang Ngiga Ambai setelah kedua-dua pasukan terikat 2 – 2 sebaik saja tamat masa perlawanan akhir pertandingan berkenaan.

Sementara itu pasukan Queen KL FC dari Kampung Lalang muncul juara bagi Kategori Wanita setelah menewaskan pasukan 1 Seribas dalam satu lagi perlawanan akhir pertandingan berkenaan.

Dengan kemenangan ini, pasukan juara iaitu Azoya Team dan Queen KL FC masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM200 manakala pasukan naib juara iaitu Bujang Belalang dan 1 Seribas pula membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100.

Terdahulu Pengerusi Pengelola Pertandingan, Abang Busri Abang Morni berkata pasukan juara dan naib juara akan dipilih bagi mewakili zon Debak ke perlawanan akhir Pertandingan Futsal 1 Belia 1 Malaysia Peringkat Parlimen Betong pada 23 Oktober ini di Dewan Sukan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, Betong.

Beliau yang juga Pengerusi Kelab Sukan Komuniti (KSK) Debak berkata pemenang Peringkat Parlimen akan dipilih untuk mewakili Parlimen Betong ke pertandingan peringkat kebangsaan di Putrajaya pada 17-19 Disember tahun ini.

“Justeru saya menyeru semua pasukan yang terpilih untuk mewakili zon Debak pada pertandingan ini nanti agar berusaha bersungguh-sungguh pada perlawanan akhir di Betong kelak,” katanya.

Terdahulu sejumlah 19 buah pasukan berentap dalam Pertandingan Futsal 1 Belia 1 Malaysia bagi kawasan zon Debak berkenaan.

Pertandingan anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong dengan kerjasama Kelab Sukan Rekreasi Debak dan Kelab Sukan Komuniti Debak ini telah dirasmikan oleh Penolong Pegawai Belia dan Sukan Betong,. Mohd Fidtri Mansor.

Hadir sama ialah Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Saribas, Mohammad Razi Sitam merangkap Pengerusi Jawatankuasa Gelanggang Sukan Pelbagai Guna Pekan Debak.

Tamat.

No comments:

Post a Comment