Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

09 October, 2010

Adili kes mahkamah bumiputera selepas join bengkel kata Nyalau


Caption: TAHNIAH...Nyalau (tengah) menyampaikan sijil penyertaan bengkel kepada Temenggung Nunong (kiri) sambil disaksikan oleh Hang Tuah (kanan) ketika berlangsungnya majlis itu.


LUBOK ANTU, Sabtu (9 Okt) – Ketua kaum dinasihat untuk lebih cekap mengendalikan sesuatu kes yang membabitkan masyarakat setempat menerusi ilmu yang mereka peroleh daripada kursus Mahkamah Bumiputera selepas ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak berkata demikian ketika berucap merasmikan Bengkel Pengendalian Kes Mahkamah Bumiputera bertempat di Balai Nendak, Hilton Batang Ai Longhouse Resort, Lubok Antu baru-baru ini.

Katanya keputusan kes yang ditentukan oleh Ketua Kaum menerusi perbicaraan di Mahkamah Bumiputera akan menentukan sama ada mereka bertindak adil dan berkesan ketika mengendalikan kes yang membabitkan masyarakat setempat di kawasan masing-masing.

“Pemanca, Penghulu dan Temenggung adalah antara golongan Ketua Kaum yang terbabit dalam melaksanakan pelbagai kes membabitkan masyarakat setempat di kawasan masing-masing bagi peringkat Mahkamah Bumiputera.

“Kecekapan mereka mengendalikan sesebuah kes akan dinilai oleh masyarakat setempat menerusi hasil keputusan Mahkamah Bumiputera. Justeru saya menasihatkan Ketua Kaum ini untuk bijak serta adil ketika mengeluarkan kata putus di Mahkamah Bumiputera,” menurut beliau.

Terdahulu seramai 60 orang Ketua Kaum dari kawasan Lubok Antu dan Betong mengambil bahagian dalam Bengkel Pengendalian Kes Mahkamah Bumiputera terbabit bermula dari 6 hingga 7 Oktober lepas.

Para peserta telah diberikan taklimat mengenai ceramah bertajuk Pengenalan Kepada Sistem Perundangan Malaysia, Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992, Proses Perbicaraan Kes Mahkamah Bumiputera / Merekod Nota Prosiding dan Permohonan Untuk Dikenali Sebagai Komuniti Bumiputera.

Objektif utama program terbabit adalah untuk mempertingkatkan tahap pengetahuan, kemahiran dan kefahaman para peserta selaku Pegawai Pengetua agar lebih yakin serta berkebolehan dalam melaksanakan tugas membabitkan kes pelanggaran adat dan pertikaian harta masyarakat setempat.

Malahan bengkel ini juga bertujuan membolehkan Ketua Kaum mengendalikan perbicaraan kes dalam mahkamah secara betul selaras dengan proses, tatacara dan kaedah seperti yang terkandung dalam Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992 serta Kaedah-Kaedah Mahkamah Bumiputera 1993.

Bengkel yang diserikan dengan aktiviti secara berkumpulan, rumusan aktiviti dan tayangan video ini telah dijayakan oleh pemangku Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak, Hang Tuah Merawin, Winston Bale Utot, Henry Ginjom Lajim dan Thomas Akin Jelimin.

Tamat.

No comments:

Post a Comment