Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 October, 2010

Munggu Lalang juara Futsal Lelaki 1Belia 1Malaysia Betong




Caption:

1. UNTUK ALBUM...Salihin (bertopi) merakamkan gambar kenangan bersama pasukan yang berentap dalam perlawanan akhir berkenaan.

2. KAMI JUARA! Pasukan Munggu Lalang merakamkan gambar kenangan sebaik sahaja tamat perlawanan terbabit.

- 29 Okt

By Saleman Senin

Pasukan Munggu Lalang muncul juara Kategori Lelaki Pertandingan Futsal 1 Belia 1 Malaysia Parlimen P.204 Betong yang berlangsung di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan Betong baru-baru ini.

Pasukan dari Zon Betong berkenaan muncul juara setelah menewaskan pasukan Sir’ Rem Bunk yang mewakili Zon Tuie menerusi jaringan gol 4 – 2 menerusi perlawanan akhir yang berlangsung di dewan terbabit.

Gol pasukan Munggu Lalang ini dijaringkan oleh Maulana Omar dan Abdul Kadir manakala Mohd Hafiz dan Zufizan pula menjaring gol untuk pasukan yang muncul sebagai naib juara pertandingan berkenaan.

Sementara itu pula pasukan SMK Saint Augustine dari Zon Betong pula muncul juara Kategori Wanita setelah menewaskan pasukan Queen KL FC yang mewakili Zon Debak pada perlawanan akhir pertandingan berkenaan.

Gol berkenaan dijaringkan oleh Lengging anak Philip (5 gol) manakala Norashila Mohamad pula menjaringkan 1 gol bagi membenam pasukan Queen KL FC menerusi jaringan gol 6 – 1. Gol saguhati lawan pula dijaringkan oleh Freda Robert.

Kemenangan tersebut membolehkan pasukan Munggu Lalang dan pasukan SMK Saint Augustine membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM400 berserta piala manakala pasukan naib juara iaitu Sir’ Rem Bunk dan Queen KL FC pula membawa pulang hadiah wang tunai RM300 dan piala.

Terdahulu Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Mohamad Salihin bin Haji Kachon selaku mewakili Menteri Sumber Dan Alam Sekitar, Dato Seri Douglas Uggah Embas telah merasmikan pertandingan futsal anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong

Sejumlah 11 buah pasukan kategori lelaki dan dua pasukan kategori wanita menyertai pertandingan berkenaan setelah tujuh zon daripada parlimen P.204 Betong mengakhiri pemilihan untuk mewakili Parlimen P.204 Betong ke pertandingan peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Putrajaya pada 16 hingga 19 Disember tahun ini.

Antara Zon dalam Parlimen P.204 Betong ialah Zon 1 kawasan Tuie, Zon 2 kawasan Debak, Zon 3 Kawasan Sebemban, Zon 4 kawasan Spaoh, Zon 5 kawasan Penebak, Zon 6 kawasan Pelikoi dan Zon 7 kawasan Betong.

Lebih 60 buah pasukan menyertai pertandingan peringkat zon ini untuk merebut kemenangan dan mengisi slot pertandingan akhir berkenaan. Hadir sama ialah Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong, Merawi Ais, wakil Pegawai Pelajaran Daerah Betong, Mandau Anggan dan Guru Besar SK Mangut, Sufian bin Omar.

Tamat.

Proses pembangunan akan lancar jika penduduk terus sokong BN


Caption: PENGHARGAAN...Harden (kiri) dan Majuan (kanan) ketika menerima cenderamata daripada penduduk Rumah Panjang Radau pada majlis itu.

SRI AMAN, Jumaat (29 Okt) – Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis optimis bahawa proses pembangunan negeri akan berjalan dengan lancar jika penduduk terus menyokong kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.

Ini kerana kerajaan BN menurut beliau mempunyai keupayaan untuk memajukan negeri menerusi pentadbiran yang sistematik dan berkesan berbanding dengan kerajaan yang diteraju oleh pihak pembangkang.

“Anda boleh lihat bahawa Sarawak berkembang maju setelah kerajaan BN meneraju pembangunan negeri ini semenjak 30 tahun yang lepas menerusi Dasar Politik Pembangunan oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

“Ia merupakan bukti bahawa kerajaan BN mempunyai sistem pembangunan yang berkesan untuk penduduk. Justeru kesinambungan rentak ini bergantung kepada sokongan penduduk pada pilihan raya negeri kelak,” menurut beliau.

Harden berkata demikian ketika berucap merasmikan Program 1Malaysia Bersama Pemimpin bertempat di Rumah Sigan anak Anggeh, Randau, Undop, Batu Lintang, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu kerajaan BN katanya juga prihatin terhadap kebajikan hidup penduduk lebih-lebih lagi menegnai isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang sering diungkit oleh pihak pembangkang selama ini.

Peruntukan bernilai RM17 juta oleh Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri bagi tujuan penyukatan Tanah NCR sebelum ini membuktikan bahawa BN sedar tentang masalah yang melanda hidup penduduk.

“Lagipun Sarawak menerima peruntukan yang besar bagi tujuan pembangunan menerusi pembentangan Bajet 2011. Oleh itu adalah amat penting penduduk terus menyokong BN jika mahu pembangunan dilaksanakan oleh kerajaan selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sri Aman, Majuan Jeraie, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Bagi Parlimen P.202 Sri Aman, Whelton Lumpoi dan ketua kaum di sini.

Tamat.

Sabar kalau mahukan pembangunan - Nyalau


Caption: BERJIWA RAKYAT...Nyalau sedang berbual dengan penduduk sebaik sahaja tiba untuk merasmikan majlis berkenaan.

ENGKILILI, Jumaat (29 Okt) - Masyarakat tempatan terutamanya di kawasan luar bandar diseru agar lebih bersabar untuk menikmati hasil faedah pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak, demikian kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Katanya, masyarakat di kawasan luar bandar harus bersabar memandangkan kerajaan tidak boleh bertindak melaksanakan segala projek pembangunan sekaligus atau secara serentak di seluruh pelusuk kawasan negeri ini dalam satu masa.

“Projek pembangunan di setiap kawasan dalam negeri ini telah dilaksanakan secara berperingkat atau lebih tersusun dan atas sebab inilah terdapat kawasan tertentu yang belum menikmati hasil pembangunan secara menyeluruh.

“Kerajaan dibawah kepimpinan BN Sarawak tidak mahu melaksanakan segala projek pembangunan untuk kebaikan masyarakat secara ‘melepaskan batuk di tangga’ memandangkan kerajaan ingin memastikan agar setiap projek yang siap mampu membawa perubahan taraf hidup dalam masyarakat,” katanya.

Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program 1Malaysia Bersama Pemimpin bertempat di Rumah Ensudin, Tisak, Ulu Skrang dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu katanya, terdapat sesetengah masyarakat luar bandar berpendapat bahawa pihak kerajaan sentiasa mengutamakan projek pembangunan di dalam kawasan bandar berbanding dengan kawasan luar bandar dan pendapat ini ternyata tidak benar sama sekali.

Malah kata Nyalau, pihak kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memastikan agar penduduk yang menetap di kawasan dalam dan luar bandar sama-sama menikmati pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan semenjak dari dulu lagi.

“Apa yang paling penting pada masa sekarang ialah masyarakat tempatan terus menghulurkan sokongan mereka kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli parlimen BN di kawasan masing-masing,” katanya.

Program yang dirasmikan oleh beliau ini turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa dan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) bagi Parlimen P.203 Lubok Antu iaitu Geoffery Baja anak Ricky Maba.

Rayong dan Nyalau menerusi program berkenaan telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 dan RM15,000 kepada Rumah Ensudin bagi tujuan pembinaan jalan ke rumah panjang terbabit.

Kedua-dua mereka juga turut mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 (Rayong) dan RM3,000 (Nyalau) kepada biro wanita rumah panjang berkenaan menerusi program terbabit.

Tamat.

29 October, 2010

Pasukan Bomba Simunjan C juara takraw Zon ketua samarahan





Caption:

1. UNTUK ALBUM...Pasukan sepak takraw yang terlibat dalam pertandingan terbabit bergambar kenangan bersama tetamu undangan khas sebelum bermulanya pertandingan berkenaan.

2. BERAKSI...Antara rakaman aksi pasukan yang berentap untuk merebut tempat dalam pertandingan berkenaan.

Oleh Abang Yuseri bin Ismail

Pasukan Bomba Simunjan C muncul juara Pertandingan Sepak Takraw Piala Ketua Zon Samarahan anjuran Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan yang berlangsung di Pekan Simunjan baru-baru ini.

Kenyataan berita yang dihantar oleh wakil penganjur iaitu Abang Yuseri bin Ismail memberitahu pasukan Bomba C muncul juara setelah berjaya menewaskan pasukan Bomba Simunjan A dalam perlawanan akhir yang berlangsung di pekan berkenaan sambil disaksikan seramai 100 orang pengunjung pada perlawanan tersebut.

Manakala pasukan Bomba Simunjan B pula menduduki tempat ketiga setelah berjaya menewaskan pasukan Bomba Siburan B Pertandingan Sepak Takraw Piala Ketua Zon Samarahan.

Terdahulu Pertandingan Sepak Takraw Piala Ketua Zon Samarahan ini telah dirasmikan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan iaitu PPgB Sekan anak Gundah bertempat di Pekan Simunjan ini.

Sekan menerusi ucapannya berharap agar sukan Sepak Takraw terus menjadi sukan kegemaran bagi kakitangan kerajaan dan orang awam di Pekan Simunjan pada masa akan datang.

Beliau juga berharap agar penyertaan aktif orang ramai dalam sukan Sepak Takraw ini kelak akan dapat mencungkil lebih banyak bakat mereka menerusi sukan terbabit selepas ini.

Sementara itu Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah kepada pasukan pemenang bagi Pertandingan Sepak Takraw Piala Ketua Zon Samarahan terbabit telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan iaitu PTgB Malvin anak Amok.

Sejumlah empat buah balai dan satu pejabat zon menghantar pasukan dalam saingan Pertandingan Sepak Takraw Piala Ketua Zon Samarahan ini antaranya ialah Bomba Simunjan (3 pasukan), Bomba Siburan (2 pasukan), Bomba Serian (1 pasukan), Bomba Samarahan (1 pasukan) dan Pejabat Zon Samarahan (1 pasukan).

Tamat.

PPWS Sri Aman anjur kursus kek lapis


Caption: UNTUK ALBUM...Para peserta bergambar kenangan sebaik sahaja tamat kursus berkenaan kelmarin.


SRI AMAN, Khamis (28 Okt) – Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kawasan Sri Aman telah turun padang bagi memperhebatkan lagi industri pembuatan Kek Lapis Sarawak dikalangan penduduk Sri Aman.

Ia terbukti apabila pihak berkenaan dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah menganjurkan Kursus Keusahawanan Dan Kek Lapis Sarawak bertempat di Dewan Suarah Sri Aman baru-baru ini.

Pengerusi pengelola, Nur Khadijah Ibrahim ketika ditemui memberitahu kursus yang disertai oleh seramai 88 orang ahli PPWS Kawasan Sri Aman ini bertujuan untuk memantapkan ekonomi para usahawan ke arah kejayaan serta kemajuan hidup masing-masing pada masa akan datang.

“Kursus ini juga memberi peluang kepada kaum wanita untuk menambah ilmu pengetahuan mengenai langkah pembuatan Kek Lapis Sarawak yang kian popular pada masa sekarang.

“Lagipun kursus ini diadakan memandangkan Kek Lapis Sarawak telah mula memasuki pasaran global khasnya sekali di Malaysia. Justeru adalah amat penting bagi semua wanita untuk tidak melepaskan peluang bagi mempelajari cara membuat Kek Lapis mulai sekarang,” katanya.

Khadijah juga yakin bahawa usaha sebegini iaitu kursus pembuatan Kek Lapis akan dapat membantu kerajaan dalam mewujudkan golongan penduduk berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 kelak.

Terdahulu ceramah keusahawanan dan Kek Lapis Sarawak ini di Dewan Suarah Sri Aman ini telah disampaikan oleh Pengusaha Kek Lapis tempatan iaitu Mohd Halil bin Abduk Manap.

Hadir sama ialah wakil dari MPC, Megat Amirul, exco PPWS Sri Aman, Dorris Koh serta rombongan daripada ibupejabat PPWS Kuching.

Tamat.

Jangan lepas peluang apply loan pendidikan kata Harden


Caption: PENGHARGAAN...Wakil rombongan Roadshow (kanan) sedang menyampaikan cenderamata kenang-kenangan kepada Harden (kiri) ketika berlangsungnya majlis itu.


SRI AMAN, Khamis (28 Okt) – Pelajar dinasihat agar tidak melepaskan peluang untuk memohon biasiswa atau bantuan kewangan yang disediakan oleh kerajaan menerusi agensi selepas ini sekiranya berkelayakkan untuk menyambung pelajaran ke peringkat menara gading.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata pelajar lepasan SPM atau STPM sepatutnya tahu bahawa terdapat banyak agensi kerajaan yang menawarkan bantuan kepada mereka antaranya ialah Yayasan Sarawak, MARA, JPA dan Perbadanan Tabung Pelajaran Tinggi Nasional (PTPTN).

“Lagipun terdapat wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di sesetengah Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menubuhkan tabung bantuan pelajaran terhadap mana-mana pelajar kawasan mereka yang layak menyambung pelajaran ke universiti atau kolej.

“Justeru jika muncul peluang untuk memohon bantuan kewangan seperti ini maka saya mengalakkan para pelajara memohonnya. Jangan berlengah-lengah dan bergantung kepada peranan ibubapa jika layak untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” menurut beliau.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Roadshow Swinburne University dan Yayasan Sarawak bertempat di Rumah Michael John, Entebar, Ulu Undop, Batu Lintang, Sri Aman petang kelmarin.

Selain itu beliau juga turut menasihatkan golongan ibubapa untuk tidak membazirkan perbelanjaan kewangan masing-masing sebaliknya mengamalkan tabiat menabung untuk kesenangan anak-anak di masa akan datang.

“Ibubapa khususnya dari kawasan luar bandar perlu sedar bahawa kunci pembangunan kawasan mereka sebenarnya datang daripada halatuju pendidikan golongan anak kecil masing-masing.

“Jika anak-anak ini berjaya diasuh dengan baik dan menyambung pelajaran ke peringkat universiti hasil wang simpanan ibubapa sendiri maka tidak mustahil mereka boleh menyumbang kepada pembangunan kawasan masing-masing di masa akan datang,” katanya.

Oleh itu Harden menasihatkan ibubapa untuk lebih serius memikirkan masa depan pendidikan anak masing-masing mulai sekarang dengan mengamalkan tabiat menabung wang disamping mengalakkan mereka untuk belajar selepas ini.

Tamat.

MDSA lancar kempen kebersihan di Pekan Lachau pada 7 November ini


Mugshot: JACK AMAN LUAT

SRI AMAN, Khamis (28 Okt) – Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) akan menganjurkan Kempen Anti Nyamuk / Chikungunya dan Gotong-Royong bersama penduduk di Pekan Lachau, Sri Aman pada 7 November ini.

Setiausaha MDSA, Jack Aman Luat menerusi kenyataan berita memberitahu kempen terbabit bertujuan untuk mendidik penduduk tentang betapa pentingnya aspek penjagaan kebersihan di kawasan masing-masing selepas ini.

“Menerusi kempen ini pihak majlis mahu penduduk untuk mempertingkatkan tahap kebersihan di kawasan masing-masing demi membendung pembiakan nyamuk Aedes di penempatan masing-masing.

“Jika sarang pembiakan nyamuk Aedes dalam kawasan penempatan masing-masing tidak dibendung dengan segera maka penduduk akan terdedah kepada risiko serangan wabak Demam Denggi dan Chikungunya di masa akan datang,” katanya.

Kempen Anti Nyamuk dan Gotong-Royong yang akan bermula pada jam 9.30 pagi itu katanya juga bertujuan untuk mencantik serta memperindahkan kawasan penempatan penduduk berkenaan.

Kempen ini secara tidak langsung menurut Jack akan menaikkan lagi imej kebersihan Pekan Lachau dan seterusnya menarik minat penduduk dari lain-lain penempatan untuk menjaga kebersihan kawasan masing-masing selepas ini.

“Kempen Anti Nyamuk dan Gotong-Royong ini akan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sri Aman iaitu Masir Kujat. Justeru penduduk Pekan Lachau diminta hadir bagi menjayakan kempen terbabit,” katanya.

Tamat.

28 October, 2010

China masih berminat melabur di Sarawak kata Jabu



Caption: SELAMAT HARI JADI...Jabu sedang memotong kek harijadinya sambil disaksikan oleh (dari kanan sekali), Rayong, Wahab dan Romie pada majlis itu.


BETONG, Rabu (27 Okt) – Negara China masih menyimpan minat yang tinggi untuk melabur di negeri Sarawak khasnya dalam bidang pertanian demikian menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu anak Numpang.

Terbaharu katanya negara China telah menyimpan hasrat untuk melabur dalam penanaman gerah secara besar-besaran di negeri ini selain dari projek pertanian berskala besar yang lain.

“Bagaimanapun pihak Kerajaan Negeri terlebih dahulu perlu mengkaji sejauh mana usaha daripada Kerajaan China itu sendiri akan dapat memberi manfaat kepada rakyat negeri ini secara keseluruhannya menerusi projek berkenaan.

“Ini terutama sekali mengenai manfaat projek daripada Kerajaan China itu sendiri kepada pemilik tanah di negeri ini sebelum apa-apa perjanjian atau memorandum persefahaman ditandangani dengan kerajaan kita,” katanya.

Jabu yang juga Menteri Permodenan Pertanian berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Penghargaan 2010 yang berlangsung di Kompleks Kerajaan Negeri Betong hari ini.


Selain itu Kerajaan Negeri menurut beliau akan terus membina hubungan dan kerjasama yang baik dengan para pelabur negara China dalam industri pertanian mahupun bidang lain dari masa ke semasa.


Perkara ini kata jabu bakal dibincangkan bersama Timbalan Menteri Pertanian dari Repulik China serta rombongannya semasa menerusi lawatan mereka ke negeri Sarawak pada esok hari ini.

“Kita berharap agar perbincangan ini bakal membuka lembaran baru dalam industri pertanian moden di Sarawak yang sekaligus dapat memberi keuntungan terhadap penduduk negeri ini pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu Jabu turut menjelaskan bahawa perancangan pembangunan kawasan
luar Bandar di Bahagian Betong adalah berdasarkan keutamaan dan keperluan penduduk.


Katanya sebuah loji perawatan air dengan menggunakan sumber air dari Sungai Krian bakal dibina tidak lama lagi bagi mengatasai masalah kekuarangan bekalan air yang sering dihadapi oleh penduduk pada musim kemarau.


”Malahan kawasan Sessang, Nyabor dan Sebelak di Daerah Saratok juga akan dibangunkan sebagai pusat penamanan padi secara komersial sementara projek tanaman getah yang diusahakan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Kecil Perusahaan Getah, RISDA kini sedang berlangsung di Kabo / Awik juga di Daerah Saratok,” katanya.

Terdahulu majlis bertujuan bagi menghargai komitmen dan kerjasama jabatan kerajaan, pihak swasta dan individu yang telah banyak membantu menjayakan pelbagai program pembangunan dan aktiviti di Bahagian Betong sepanjang tahun ini.

Hadir sama ialah Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Haji Abdul Wahab Azizi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa, Residen Bahagian Betong, Datu Romie Sigan Daniel dan para pegawai kerajaan yang lain.

Tamat.

177 guru hadir taklimat modul di sri aman



Caption:

1. SERIUS...Sebahagian daripada para peserta yang menyertai taklimat modul berkenaan baru-baru ini.

2. TELITI...Seorang penceramah sedang menyampaikan sesuatu kepada para guru ketika berlangsungnya aktiviti berkumpulan menerusi program itu.


SRI AMAN, Rabu (27 Okt) - Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan kerjasama Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak telah menganjurkan Taklimat Modul Pentaksiran Perkembangan Murid Prasekolah Bahagian Sri Aman dan Betong di sini baru-baru ini.

Program yang berlangsung di Dewan Suarah Sri aman itu telah dikendalikan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Betong dan Pejabat Pelajaran Daerah Saratok.

Jurucakap penganjur ketika ditemui memberitahu seramai 177 orang guru prasekolah yang terdiri daripada 39 orang peserta dari Sri Aman, 23 orang dari Lubok Antu, 55 orang dari Betong dan 50 orang dari Saratok telah mengambil bahagian dalam program terbabit.

“Objektifnya ialah untuk mempertengahkan langkah penyediaan maklumat asas, penerangan definisi, konsep, istilah serta memberi contoh instrumen sebagai panduan guru dalam menjalankan pentaksiran dan menilai perkembangan murid di peringkat prasekolah.

“Ia satu proses yang sistematik untuk menggumpul maklumat tentang perkembangan murid bagi membantu guru membuat penilaian terhadap mereka dengan mengenalpasti tindakan susulan yang sesuai bagi membantu murid mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran di prasekolah,” menurut beliau.

Selain itu katanya program ini juga menekankan proses berterusan dalam pembelajaran serta penekanan kepada usaha ke arah penambahbaikan dan bukannya hanya sekadar pencapaian semata-mata.

Malah program berkenan katanya juga dapat memastikan murid mencapai tahap pengetahuan dan kemahiran tertentu sebelum memulakan persekolahan formal di tahun satu.

Terdahulu, Penyelia Kumpulan Prasekolah Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak, Atang Let ketika memberi taklimat mengajak semua guru mengambil perhatian serius kerana beberapa penambahbaikan dalam sistem pembelajaran prasekolah turut diketengahkan pada taklimat berkenaan.

Katanya sistem pengajaran prasekolah turut dimantapkan lagi dengan penekanan terhadap penggunaan Bahasa Inggeris yang lebih praktikal dalam urusan pembelajaran menerusi Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK).

Sesi taklimat sehari itu diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada penceramah-penceramah serta pegawai yang mengendalikan taklimat berkenaan oleh pegawai-pegawai pengelola yang merangkumi Daerah Sri Aman, Lubok Antu, Betong dan Saratok.

Tamat.

Kelab Kesihatan Betong anjur bolasepak persahabatan



Caption: UNTUK ALBUM...Dr Stephen (berdiri lima kiri) ketika bergambar kenangan bersama pasukan RCS dan Penguatkuasaan sebelum bermulanya pertandingan itu.

- 27 Okt

Kelab Sukan Pejabat Kesihatan Bahagian Betong (PKB) telah bergiat aktif dalam aktiviti kesukanan dengan menganjurkan Perlawanan Persahabatan Bolasepak Antara Unit bagi jabatan terbabit di sini baru-baru ini.

Perlawanan Persahabatan Bolasepak Antara Unit ini telah menyaksikan pertemuan di antara pasukan Unit Pentadbiran / Unit Kesihatan (RCS) menentang Unit Penguatkuasaan dari Pejabat Kesihatan Betong di Padang Kompleks Sukan Betong.

Menerusi perlawanan ini pasukan Unit Penguatkuasaan yang diketuai oleh Laja Ley telah berjaya menumpaskan pasukan gabungan Unit Pentadbiran / Unit Kesihatan (RCS) yang diketuai oleh Dr Jeffery Stephen menerusi jaringan gol 4 – 2.

Kesemua gol pasukan Unit Penguatkuasaan dalam perlawanan persahabatan ini dijaringkan oleh pemain serba lincah iaitu Albert Renggie dan Laja Ley manakala gol dari pasukan Unit Pentadbiran / Unit Kesihatan (RCS) itu pula dijaringkan oleh Bosman Mohd Rajuna.

Terdahulu jurucakap penganjur ketika ditemui memberitahu perlawanan bolasepak ini dapat mengeratkan lagi hubungan tali silaturrahim disamping memupuk semangat bekerjasama antara kakitangan Jabatan Kesihatan Betong.

“Perlawanan persahabatan ini sebenarnya adalah merupakan persiapan pihak kelab untuk menyertai mana-mana kejohanan bolasepak yang bakal dianjurkan oleh lain-lain pihak selepas ini.

“Kami juga merancang untuk mengadakan sesi perlawanan persahabatan menentang jabatan lain dan akan berusaha menggalakkan penglibatan para kakitangan pejabat kami dalam menyertai aktiviti riadah berfaedah selepas ini,” katanya.

Terdahulu Kelab Sukan Pejabat Kesihatan Bahagian Betong ditubuhkan untuk menggalakkan para kakitangan dalam bergiat aktif terhadap aktiviti sukan dan riadah dari masa ke semasa.

Tamat.

Guru pengsan, marah sebab belum dapat posting

BETONG, Rabu (27 Okt) – Seorang guru dari sebuah sekolah menengah di Betong dikejarkan serta-merta ke hospital ketika sedang melakukan urusan untuk mendapatkan kepastian mengenai status perpindahan tempat kerja beliau pada hari Isnin lepas.

Guru berusia sekitar 40-an terbabit dikejarkan ke hospital setelah mengalami kekejangan secara tiba-tiba dan hampir pengsan ketika mahu mendapatkan kepastian mengenai status perpindahan beliau di sini.

“Guru berkenaan dipercayai mengalami tekanan emosi sebelum ini. Beliau yang telah mengajar di Betong selama lima tahun manakala isterinya dua tahun pula telah cuba memohon untuk perpindahan tempat kerja ke daerah kelahiran asalnya beberapa kali sebelum itu.

“Pada hari Isnin lepas, guru terbabit bersama isterinya telah pergi ke pejabat urusan untuk meminta alasan daripada pegawai di sana mengenai sebab penting permohonan beliau masih belum diluluskan oleh pihak jabatan,” kata sumber.

Bagaimanapun guru lelaki berkenaan kata sumber tiba-tiba menangis sebelum mengadu mengalami sakit dada kepada si isteri yang sedang bertungkus-lumus cuba menenangkan emosi beliau pada ketika itu.

Melihat guru terbabit mulai mengalami kekejangan, para pegawai di pejabat berkenaan telah bertindak membantu beliau untuk dihantar ke Hospital Bahagian Betong bagi tujuan rawatan lanjut.

“Guru berkenaan sebenarnya sebelum ini telah mengalami penyakit “Achalasia of Gastric Cardia” dan pernah mendapat rawatan di sebuah pusat kesihatan dalam negeri kelahiran isteri beliau.

“Hakikatnya di sini ialah para kakitangan yang sering diberi keistimewaan dari segi kenaikan gaji dan bonus oleh kerajaan perlu bersyukur dan tidak terlalu mengharapkan sesuatu yang belum pasti selepas ini,” katanya.

Tamat.



26 October, 2010

Kerajaan, tolong upgrade gelanggang tenis di Sri Aman!




Caption: PERLU DIPERBAIKI...Salah satu daripada tiga buah gelanggang Tennis di Sri Aman perlu dibaikpulih semula untuk tujuan keselesaan pengguna selepas ini.


SRI AMAN, Isnin (25 Okt) – Memang tidak dinafikan bahawa sukan Tennis kini semakin mendapat sambutan mengalakkan daripada penduduk di bandar Sri Aman.

Menjelang jam 4.30 petang, kaki ‘Tennis’ dilihat akan mula berkunjung ke tiga buah gelanggang tenis yang terletak berdekatan dengan Rumah MAKSAK, Sri Aman untuk bermain di situ.

Rata-rata peminat sukan Tennis di bandar Sri Aman ini terdiri daripada ahli Persatuan Tennis Bumiputera Sri Aman, kakitangan kerajaan dan orang awam yang sering meluangkan masa selama satu jam setengah pada setiap hari.

Tinjauan Utusan Sarawak kelmarin mendapati bahawa penduduk memilih Tennis sebagai sukan untuk diceburi memandangkan ia mampu mempertingkat kecergasan tubuh badan pemain itu sendiri.

“Malahan sukan Tennis seperti ini juga bagi saya mampu mempertingkatkan daya kecergasan minda,” menurut Ellison Lingoh ketika ditemui di Gelanggang Tenis Sri Aman.

Bagaimanapun tinjauan rambang mendapati bahawa salah satu daripada tiga buah gelanggang Tennis di sini tampak usang dan perlu diperbaiki dengan segera oleh pihak kerajaan selepas ini.

Salah satu daripada tiga buah gelanggang Tennis terbabit hasil tinjauan berkenaan dilihat telah mengalami kerosakan pada lantai, pagar besi yang berlubang dan jaring Tennis yang mulai koyak.

Atas faktor ini salah satu daripada tiga buah gelanggang Tennis berkenaan dilihat tidak sesuai digunakan oleh pemain Tennis melainkan acapkali berlakunya kesesakan dikalangan pemain yang mahu bermain sukan terbabit pada setiap petang.

Para pemain terpaksa menunggu giliran masing-masing memandangkan gelanggang Tennis yang sedia ada tidak cukup untuk menampung keperluan permainan para penggunanya di sini.

Justeru diharap agar pihak kerajaan untuk menambah jumlah gelanggang Tennis yang sedia ada pada masa sekarang atau setidak-tidaknya memperbaiki semula salah satu daripada tiga buah gelanggang Tenis terbabit.

Tamat.

SK Nanga Kumpang lahir banyak YB


Caption: TERIMALAH….Nyalau (dua kanan) menerima cenderamata daripada Penolong Kanan 1 Lichong Jeli (dua kiri) semasa merasmikan kejohanan Olahraga SK Nanga Kumpang.


LUBOK ANTU, Isnin (25 Okt) – Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak melahirkan rasa kagumnya terhadap sumbangan yang diberi oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Kumpang selama ini.

Katanya SK Nanga Kumpang, Engkilili ini telah melahirkan empat orang pemimpin iaitu wakil rakyat yang bekerja untuk membangunkan hidup rakyat di Lubok Antu semenjak dahulu.

Mereka adalah bekas Ahli Parlimen Lubok Antu iaitu mendiang Andrew Janggi anak Moyang, Jawah anak Gerang, beliau sendiri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili iaitu Malcom Mussen anak Lamoh.

“Sebagai salah seorang murid SK Nanga Kumpang saya berasa amat bangga dengan kejayaan yang dicapai oleh sekolah ini dalam melahirkan barisan pemimpin yang pernah berkhidmat gigih untuk rakyat Lubok Antu semenjak dahulu.

“Ia adalah hasil usaha menerusi hubungan kerjasama dan kesungguhan antara para guru dan ibubapa sekolah berkenaan dalam usaha mendidik murid-murid yang menuntut di sekolah ini,” katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Olahraga Antara Rumah SK Nanga Kumpang, Engkilili baru-baru ini.

Selain itu kedudukan SK Nanga Kumpang yang terletak di kawasan luar bandar dan serba kekurangan dari segi kemudahan asas kata Nyalau tidak menghalang sekolah terbabit daripada melahirkan golongan individu berjaya selama ini.

Justeru rakyat yang menuntut di mana-mana sekolah rendah yang serba lengkap dari segi kemudahan asas kata beliau perlu menghargai sumbangan kerajaan dalam membangunkan kemudahan pendidikan sekolah selepas ini.

Terdahulu Nyalau menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM30,000 bagi membina dewan sekolah SK Nanga Kumpang.

Hadir sama ialah Pegawai Penerangan Parlimen JASA P.203 Lubok Antu Geoffery Baja anak Ricky Maba dan kakitangan-kakitangan kerajaan serta tuai rumah sekitar sekolah itu.

Tamat....

Buah nangka tumbuh dari akar pokok, di simunjan

UNRELEASED VERSION

Caption: AJAIB...Gambar menunjukkan buah Nangka yang berbuah daripada bahagian akar pokok milik Aban Nafri.


SIMUNJAN, Ahad (24 Okt) – Lazimnya golongan pekebun tahu bahawa setiap pokok termasuk Durian, Limau, Pisang dan sebagainya akan menghasilkan buah daripada dahan.

Bagaimanapun perkara sebaliknya berlaku apabila seorang penduduk dari Taman Hijrah, daerah Simunjan mendapati bahawa Pokok Nangka milik beliau menghasilkan buah daripada akar.

Penduduk yang dikenali sebagai Aban bin Nafri ketika ditemui memberitahu bahawa beliau menyedari kejadian pelik berkenaan ketika memantau perkembangan Pokok Nangka di belakang rumahnya kelmarin.

“Saya sudah menanam Nangka Belulang di bahagian halaman belakang rumah semenjak tiga tahun lepas dengan tujuan pengambilan benih bagi dijadikan sebagai benih untuk tanaman Nangka di lain-lain lokasi.

“Bagaimanapun, kisah ajaib ini bermula apabila saya mendapati bahawa sebiji buah Nangka kelihatan tergolek di atas tanah kira-kira sejauh dua kaki daripada pokok Nangka itu sendiri ketika memantau tanaman itu kelmarin,” menurut beliau.

Jelas Aban, buah Nangka berkenaan disangkakan jatuh daripada pokok itu sendiri sebelum beliau mendapati bahawa buah Nangka terbabit tumbuh daripada bahagian akar pokok berkenaan.

“Saya menyedari fenomena ajaib ini ketika cuba mengalihkan buah Nangka berkenaan sebelum menyedari bahawa buah terbabit masih elok dan bercambah daripada akar pokok berkenaan.

“Ini merupakan kali pertama saya menemui kejadian luar biasa seperti ini iaitu Nangka berbuah daripada akar. Buah biasanya bercambah daripada dahan pokok itu sendiri dan bukannya daripada akar,” menurut beliau.

Aban ketika berkata kepada Utusan Sarawak memberitahu bahawa beliau akan menyimpan buah Nangka pelik berkenaan untuk dijadikan sebagai kenangan bersama keluarga selepas ini.

Tamat.

BN Sarawak ada team player yang bagus - Rayong


Mugshot: DR JOHNNICAL RAYONG NGIPA

ENGKILILI, Ahad (24 Okt) – Sarawak mempunyai ‘barisan pemain’ iaitu para pemimpin Barisan Nasional (BN) yang cukup kuat serta bersatu-padu selama ini demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa.

Justeru beliau berharap agar rakyat bersama-sama menyokong teguh barisan pemimpin BN Sarawak demi merancakkan lagi proses pembangunan negeri khasnya di kawasan luar bandar pada masa akan datang.

“Kerajaan Negeri dibarisi oleh para pemimpin dari empat komponen utama BN iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP).

“Keempat-empat komponen parti BN ini telah berjaya mewujudkan proses tranformasi pembangunan yang berjaya di Sarawak dan memerlukan sokongan berterusan rakyat dari masa ke semasa,” menurut beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program 1Malaysia Bersama Pemimpin bertempat di Rumah Ensudin, Tisak, Ulu Skrang dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman kelmarin.

Selain itu rakyat di Engkilili menurut Rayong perlu sedar bahawa proses pembangunan dalam kawasan mereka perlu dilaksana secara berperingkat dan bukannya secara mengejut selama ini.

“Usaha untuk mewujudkan kemudahan bekalan air bersih, bekalan elektrik 24 jam dan jalan raya dengan lebih meluas di Engkilili sememangnya sudah berada dalam pelan perancangan kerajaan.

“Paling penting sekarang ini ialah rakyat terus menyokongn BN. Dengan berbuat demikian usaha kita untuk membina kemudahan ini di Engkilili tidak akan terbantut pada masa akan datang,” katanya.

Program yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak ini turut dihadiri oleh Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) bagi Parlimen P.203 Lubok Antu iaitu Geoffery Baja anak Ricky Maba.

Rayong dan Nyalau menerusi program berkenaan telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 dan RM15,000 kepada Rumah Ensudin bagi tujuan pembinaan jalan ke rumah panjang terbabit.

Kedua-dua mereka juga turut mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 (Rayong) dan RM3,000 (Nyalau) kepada biro wanita rumah panjang berkenaan menerusi program terbabit.

Tamat.

Nyalau harap Lubok antu dapat peruntukan dari Bajet 2011


Caption: TERIMA KASIH...Nyalau (tengah) menerima cenderamata daripada Tr Ensudin sambil disaksikan oleh Geoffery (kiri sekali) dan Rayong (dua kiri) pada majlis itu.


ENGKILILI, Ahad (24 Okt) – Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak berharap agar kawasan beliau menerima sebahagian kecil peruntukan pembangunan daripada kerajaan seperti yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2011 sebelum ini.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Oktober lepas mengumumkan peruntukan bernilai RM2.1 bilion bagi tujuan pembinaan dan naiktaraf kemudahan jalan raya di Sabah dan Sarawak.

“Peruntukan terbabit amat penting demi membolehkan cadangan projek pembinaan Jalan Murat – Darai – Pancor sepanjang 25 kilometer yang menghubungkan beberapa buah rumah panjang dalam kawasan Ulu Skrang dilaksana selepas ini.

“Malahan peruntukan terbabit juga amat penting bagi membolehkan cadangan projek pembinaan jalan raya sepanjang 22 kilometer aitu Jalan Brayun – Basi – Lubok Tedong di bina di kawasan ini,” menurut beliau.

Nyalau meluahkan harapan terbabit ketika ditemui pemberita pada Program 1Malaysia Bersama Pemimpin bertempat di Rumah Ensudin, Tisak, Ulu Skrang dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman kelmarin.

Selain itu beliau juga telah mengemukakan cadangan untuk membina beberapa batang jalan raya dalam kawasan Parlimen Lubok Antu bagi tujuan kelulusan bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

“Jalan merupakan aspek pembangunan infrastruktur yang paling penting kepada semua rakyat khasnya bagi kawasan luar bandar di Lubok Antu. Dengan adanya pembinaan jalan raya di Lubok Antu saya bahawa yakin tahap sosio-ekonomi rakyat akan dapat dipertingkat pada masa akan datang,” katanya.

Program yang dirasmikan oleh beliau ini turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa dan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) bagi Parlimen P.203 Lubok Antu iaitu Geoffery Baja anak Ricky Maba.

Rayong dan Nyalau menerusi program berkenaan telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 dan RM15,000 kepada Rumah Ensudin bagi tujuan pembinaan jalan ke rumah panjang terbabit.

Kedua-dua mereka juga turut mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 (Rayong) dan RM3,000 (Nyalau) kepada biro wanita rumah panjang berkenaan menerusi program terbabit.

Tamat.

Saidah Saibi dan keluarga sambut hari lahir unik


TAHNIAH... Pengerusi Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Sri Aman Saidah Saibi (dua kanan) telah menyambut Hari Ulangtahun Perkahwinannya Ke-36 di kediamannya di Jalan Sukun, Sri Aman bersama suaminya, Abang Naim Abang Pauzi baru-baru ini. Menariknya ialah beliau menyambut harijadi pada tarikh lahir yang sama dengan si suami, anak dan cucu iaitu 08 /10 sementara suami beliau 10 / 10 dan mereka bertemu jodoh pada 18/10 (8+10). Anak bungsu beliau juga lahir pada 10 / 10 sementara cucu termuda lahir pada 13 / 10. Justeru untuk mengabdikan keistimewaan berkenaan maka beliau menyambut harijadi pada 20.10.2010 supaya ia kelihatan lebih unik. Hadir sama untuk meraikan hari ulangtahun tersebut ialah semua pengerusi cawangan dan para ahli termasuk Pengerusi PPWS Kawasan Sri Aman, Nur Khatijah Abdullah dan Penghulu Haji Abdul Samad Abdul Rahim. - 24 Okt


23 October, 2010

Netbook 1Malaysia Jalur Lebar TM untuk penduduk - Razak

Seorang security guard sedang memantau perjalanan majlis

Sok sek sok sekkkk

Amoi : "Soli ah adik manis, hadiah suda abis. i kasi u cek 2o sen kasi u bili itu gula gula,"
Budak " Benci lah u all, i report sama i bapak,"

Amoi 1: "Adik, mali kita begamba, masuk paper maaa,"
Amoi 2: "Ya maa...bole jadi modeling ma,"
Adik : "Hihi,"

Adik manis :"Hi bang, i nak tempah chicken chop, kentang goreng dan pepsi,"
Brother : "Sain sini dulu, lepas tu kita nikah,"
Pakcik :" oii oii potong line ker? aweks tu aku punya tauu,"

Pakcik 1 :"Ermm, bergambar ni boleh dapat duit ke?"
Pakcik 2 :"Kontrol kontrol..."
Pakcik 3 : "Perut aku buncit. aku kasi kempis ya.."
Brother : "Hihi aku berlakon pegang handphone ler,"

Kaum lelaki sedang berebut mengisi borang untuk mendapatkan awekss idaman di situ.

Pakcik :"Ok sain sini borang dapat laptop free,"
Borther 1: "Mereka cakap dapat keta free, bukan laptop,"
Brother 2 :"Yalah..dapat heli free juga,"
Brother 3 :"Sain borang ni dapat kawin 5 ker?"

Budak 1 :"eeekkkk..."
Budak 2 : " uuuUukkkk,"
Budak 3 :"blerrrrkkkkk,,"

Razak (kiri sekali) : "Ok, kita nyanyi ramai-ramai..hepi birthday to u..hepi birthday to u..,"
Adik manis: " Hahaha taik idung i masuk dalam kek,"
Brother cermin mata : "Mana taik hidung u? i makan,"
Makcik : "gigi palsu i atas kek tu,"

Makcik 1:"Psst..ada wartawan ambil gambar...control! control!,"
Makcik 2 :"Yalah, masuk Utusan Sarawak..glamour la lepas ni,"
Makcik 3: "Hidung tak mancung, pipi tersorong sorong,"
Budak :"Muka u buruk juga la,"

Budak : "Ada makan ka ini majlis?"
Makcik:"Telefon kasi u makan,"
Kakak: "StreamyX cucuk dalam u hidung ok,"
Makcik 2: "StreamyX tu karipap ker?"


Caption: UNTUK ALBUM...Razak (belakang dua kiri) bersama tetamu undangan khas ketika bergambar kenangan bersama peserta peraduan mewarna di sini.


SRI AMAN, Sabtu (23 Okt) – Penduduk berumur 18 tahun ke atas dan pesara kerajaan digalak untuk memohon Netbook (komputer riba) 1Malaysia Jalur Lebar Telekom Malaysia (TM) menerusi cawangan TM di kawasan masing-masing mulai sekarang.

0Penolong Pengurus Jualan Pengguna, TM Kuching, Abdul Razak Haji Jon berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Kaunter Terbuka Untuk Melanggan Jalur Lebar TM 1Malaysia di TM Net cawangan Sri Aman hari ini.

“Tujuan utamanya ialah untuk mengalakkan penduduk memanfaatkan sepenuhnya kebaikan kemudahan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) agar mereka tidak ketinggalan dalam arus kemajuan negara selepas ini.

“Oleh itu selagi pemohon mempunyai nombor telefon rumah TM yang aktif dan juga mempunyai liputan internet Streamyx di kawasan masing-masing maka mereka layak untuk memohon Netbook terbabit (pemohon berumur 18 tahun ke atas dan pesara kerajaan),” katanya.

Razak turut menambah bahawa permohonan Netbook 1Malaysia Jalur Lebar TM ini terbuka kepada semua penduduk berumur 18 tahun ke atas dan pesara kerajaan tanpa mengira kaum dan agama.

Terdahulu dianggarkan seramai 250 orang penduduk membanjiri premis TM di Jalan Club, Bandar Sri Aman bagi memeriahkan sambutan Program Kaunter Terbuka Untuk Melanggan Jalur Lebar TM 1Malaysia bermula jam 8 pagi hingga 5 petang hari ini.

Program anjuran Jualan Pengguna, TM Kuching ini turut dimeriahkan dengan Peraduan Merwarna Untuk Kanak-Kanak 4 hingga 6 Tahun, Cabutan Tiket Bertuah, Seni Free Sand, Persembahan Bakat, Sambutan Harijadi untuk tiga orang pelanggan setia TM dan Pertandingan Karaoke.

Program Kaunter Terbuka Untuk Melanggan Jalur Lebar TM 1Malaysia turut mempromosi set telefon CPEO dan i – Talk Card bernilai RM20 kepada penduduk yang menghadiri program berkenaan.

Hadir sama ialah Penyelia Pemasaran TM Sri Aman, Burai Andar, Penyelia Jualan Pengguna TM Sri Aman, Ali Utek, Eksekutif Pemasaran Jualan Pengguna TM Kuching dan Rivena Lee.

Tamat.