Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 September, 2010

Tuai Rumah perlu dampingi pegawai kerajaan - Mong


Caption: SYABAS…Mong (kanan) menyampaikan sijil tamat kursus kepada Meehan (kiri) sambil disaksikan oleh Johnathan (kiri sekali) dan Oliver (tengah) pada majlis itu baru-baru ini.


SRI AMAN, Isnin (20 Sept) – Ketua Kaum terutama sekali Tuai Rumah (ketua kampung) dinasihat untuk terus mendampingi pegawai jabatan kerajaan demi mempertingkatkan taraf kemajuan kampung masing-masing selepas ini.

Menteri Muda Pelancongan dan Warisan, Mong anak Dagang memberitahu hubungan akrab antara kedua-dua pihak membolehkan pegawai kerajaan memberi pandangan dan nasihat untuk membangunkan kawasan penempatan mereka.

“Pegawai kerajaan juga boleh membantu dalam soal penyaluran peruntukan pembangunan kepada mereka selagi Tuai Rumah terus mendampingi pegawai kerajaan dari masa ke semasa.

“Dengan kata lain pegawai kerajaan akan mudah mengetahui masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan penempatan Tuai Rumah itu. Justeru Tuai Rumah dinasihat agar tidak hanya goyang kaki duduk rumah tanpa mendampingi pegawai kerajaan di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ulangtahun Ke-13 Persatuan Iban Budaya Sri Aman (PIBSA) dan Penyerahan Sijil Ngajat kepada Ahli Kelab Sokanjaya Jabatan Kerja Raya Bahagian Sri Aman di sini baru-baru ini.

Selain itu kerajaan kata Mong juga tidak pernah meminggirkan nasib penduduk di kawasan luar bandar dan ia terbukti dengan adanya projek pembinaan jalan raya, bekalan elektrik luar bandar dan air bersih di kawasan mereka.

“Kerajaan akan meneruskan usaha untuk melaksana projek penyediaan infrastruktur asas terhadap mana-mana kawasan penempatan penduduk yang belum menerima kemudahan ini.

“Justeru saya berharap agar ketua kaum terus memainkan peranan penting untuk menyalurkan dasar kerajaan kepada penduduk demi memudahkan perlaksanaan projek pembangunan selepas ini ,” katanya.

Hadir sama ialah Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Meehan Jorai, Jurutera Awam JKR Sri Aman, Oliver Ngabong, Pengerusi PBISA, Johnathan Isau, ahli-ahli Kelab Sokanjaya dan PIBSA serta ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment