Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

02 September, 2010

Skim kawalan harga sempena Raya 3 - 17 sept

Cathy Tagok, PPDNKK Sri Aman

SRI AMAN, Rabu (10 Feb) – Skim Kawalan Harga sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2010 bakal berkuatkuasa di Sri Aman, Saratok, Betong dan Lubok Antu mulai 3 hingga 17 September ini.


Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Bahagian Sri Aman berkata sejumlah 18 barangan terkawal mengikut harga maksimum (syiling) runcit telah disenaraikan dalam skim kawalan harga ini.

Barangan kawalan ini ialah ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal), daging lembu tempatan, daging kerbau tempatan, daging kerbau import (India), telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji), telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji). kubis bulat import Indonesia dan China (tidak termasuk kubis Beijing), cili merah, tomato, kelapa biji (kawalan harga maksimum di peringkat borong sahaja), kelapa parut (kawalan harga maksimum di peringkat runcit sahaja), santan (kawalan harga maksimum di peringkat runcit sahaja), kacang tanah import, bawang merah kecil (India) dan ikan kembung (8 hingga 11 ekor sekilogram).

“Harga maksimum (syiling) sekilogram jualan barangan kawalan seperti Ayam Hidup adalah RM6.70, Ayam Standart RM8, Ayam Super RM8.80, daging lembu tempatan RM28, daging kerbau tempatan RM23, Telur Ayam Gred A sebiji 34 sen, Telur Ayam Gred B pula ialah 33 sen sebiji dan gred C pula ialah 32 sen sebiji.

“Kubis bulat import RM3, cili merah RM12, tomato RM5.50, kelapa parut RM3, santan RM6, kacang tanah import RM6.50, bawang merah kecil RM5 dan ikan kembung RM8,” menurut kenyataan berita dari pihak berkenaan.

Kesemua harga kawalan yang telah ditetapkan oleh pihak kementerian katanya ini berdasarkan kepada beberapa fasa pungutan harga yang ditetapkan secara bulanan dan mingguan menerusi pemantauan harga di semua daerah sejak bulan Januari hingga Ogos tahun ini.

“Kawalan harga ini juga berpandukan kepada pandangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), pengimport, pengeluar, pembekal serta pemborong barang-barang tersebut.

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kerenah birokrasi,keperluan untuk peniaga mendapatkan lesen bagi menjual barang harga terkawal semasa skim kawalan musim perayaan ini telah pun dimansuhkan,” katanya.

Bagaimanapun katanya undang-undang yang mewajibkan peniaga menjual barang harga terkawal tidak melebihi harga maksimum dan perletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barang harga terkawal masih akan dikuatkuasakan oleh pihak kementerian.

“Individu yang didapati bersalah boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM15,000 atau dua tahun penjara di bawah Akta Kawalan Harga 1946 atau boleh dikompaun sehingga RM7,500. Bagi pertubuhan perbadanan, denda maksimumnya ialah RM25,000 atau boleh dikompaun sehingga RM12,500.

“Pihak kementerian akan meneruskan usaha-usaha untuk melindungi pengguna daripada perbuatan para peniaga yang tidak beretika iaitu mengaut keuntungan berlebihan pada tahap tidak munasabah semasa musim perayaan,” katanya.

Orang ramai dari keempat-empat kawasan daerah berkenaan juga dinasihatkan untuk menghubungi pihak PPDNKK Sri Aman menerusi talian 083-323836 jika terdapat peniaga yang bertindak melanggar skim kawalan harga terkawal ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment