Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

17 September, 2010

Serius Hayati 1Malaysia - Harden



Caption:

1. FOKUS...Harden (tengah) sambil diapit oleh Shamshuddin (kiri) dan Masir (kanan) ketika menyaksikan acara yang berlangsung bersempena dengan Program Pentas Hari Malaysia malam tadi.

2. BERSEMANGAT...Seorang peserta deklamasi puisi, saudara Hamblin ketika sedang menyampaikan puisinya bersempena dengan Program Pentas Hari Malaysia malam tadi.

SRI AMAN, Jumaat (17 Sept) – Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis mahu penduduk berbilang kaum di kawasan Sri Aman untuk lebih menghayati erti sambutan Hari Malaysia selepas ini.

Ini kerana Hari Malaysia menurut beliau disambut untuk menandakan kelahiran sebuah negara baru yang dibentuk menerusi gabungan negeri di Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura (Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965) berbanding dengan Hari Kemerdekaan.

“Ada dua perkara berbeza mengenai sambutan Hari Malaysia dan Hari Kemerdekaan. Hari Kemerdekaan disambut oleh penduduk Tanah Melayu selepas mereka bebas dari penjajahan British pada 31 Ogos 1957.

“Hari Kemerdekaan kemudiannya diangkat sebagai Hari Kebangsaan untuk semua penduduk selepas Persekutuan Malaysia dibentuk pada 16 September 1963. Bagaimanapun Hari Malaysia dirai sebagai tanda penubuhan negara kita dan ia tidak sama dengan Hari Kebangsaan Malaysia,” menurut beliau.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Pentas Hari Malaysia bersempena dengan sambutan Hari Malaysia Peringkat Daerah Sri Aman di Stesen Bas Sri Aman malam tadi.

Semenjak Sarawak membantu pembentukan Persekutuan Malaysia, negeri ini kata Harden mula menikmati proses transformasi pembangunan yang ketara di bawah teraju ahli politik pada masa dahulu dan sekarang.

“Malahan perpaduan erat dikalangan penduduk berbilang kaum dalam negeri ini nyata menyumbang kepada pembangunan pesat negeri Sarawak dibawah pimpinan Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

“Sambutan Hari Malaysia harus dihargai oleh semua pihak terutama sekali golongan belia. Golongan ini perlu diterap dengan semangat nasionalisme demi hala tuju pembangunan negara khasnya Sarawak selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pegawai Daerah Sri Aman, Bujang Haji Mudin, Setiausaha Majlis Daerah Sri Aman, Jack Aman Luat, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Pentas Hari Malaysia ini telah dimeriahkan lagi dengan Pertandingan Ratu Hari Malaysia, persembahan lagu patriotik, persembahan tarian etnik, koir MAKSAK, persembahan deklamasi puisi dan persembahan nyanyian oleh artis rakaman Iban tempatan.

Dianggarkan seramai 500 orang penduduk hadir untuk menyaksikan Program Pentas Hari Malaysia walaupun hujan lebat turun di Bandar Sri Aman bermula jam 5 petang hingga 9 malam tadi.

Tamat.

No comments:

Post a Comment